Hamil Di Usia 40-an TENGKU AMIRAH Tidak Tolak Rezeki! Amal Sikap Positif Elak Tekanan

Saat mengatur janji temu dengan personaliti ini, ternyata sifat rendah diri yang dimilikinya membuatkan penulis selesa untuk berbual dan bertukar pandangan dengannya. Ternyata, bergelar Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Teknologi dan Pengurusan Perisian (SOFTAM), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia banyak mendedahkan YM Dr Tengku Amirah Ibni Almarhum Tengku Haji Ismail dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau yang merupakan cicit kepada Almarhum DYMM Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Ibni Almarhum DYMM Bendahara Siwa Raja Tun Ali bangga memilih kerjaya sebagai seorang pensyarah di salah satu universiti terbaik di Malaysia.

“Bergelar pensyarah sememangnya menjadi impian saya sejak kecil lagi. Apatah lagi Almarhum ayahanda saya, Almarhum Tengku Haji Ismail Ibni Almarhum Tengku Haji Sham. juga merupakan pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia suatu ketika dahulu.

“Saya tertarik dengan tugas murni seorang pensyarah dalam mendidik anak bangsa. Tugas hakiki pensyarah adalah mengajar, mendidik serta menyelia pelajar di peringkat sarjana muda, sarjana dan juga PhD. Pensyarah juga perlu menyelidik dan berupaya meneroka bidang-bidang yang berkaitan dengan kepakaran masing-masing.

Melihat senarai jawatan serta penglibatan yang pelbagai dalam pertubuhan bukan kerajaan, penulis tertanya-tanya bagaimana wanita yang juga merupakan ibu kepada tiga cahayamata ini mempunyai cara tersendiri untuk membahagikan masa antara kerjaya dan rumahtangga.

“Wanita bekerjaya mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi pada masa yang sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Wanita harus sedar bahawa kesibukan dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab dalam urusan rumahtangga.

Keseimbangan kerjaya dan kehidupan bukan sekadar membahagikan masa sama rata antara keluarga dan kerjaya. Mereka mempunyai tanggungjawab terhadap suami, anak dan majikan. Tidak dinafikan   wanita memikul tanggungjawab yang besar di rumah. Tanggungjawab ini jauh lebih besar daripada sekadar memberikan layanan kepada suami, memberi anak-anak makan minum dan mengurus rumah. Wanita yang bergelar isteri merupakan sumber inspirasi atau faktor kemajuan suaminya.

Seseorang wanita yang bekerjaya turut mempunyai peranan sebagai seorang pekerja. Mereka seharusnya menggembeleng tenaga untuk memajukan negara. Sebagai seorang wanita bekerjaya, mereka seharusnya bersikap lebih profesional dan tidak terbawa-bawa masalah rumahtangga ke tempat kerja dan sebaliknya,” ujarnya yang memetik pepatah Arab yang menyatakan ‘pengurusan masa adalah penting bagi wanita yang bekerjaya kerana mereka perlu bijak dalam membahagikan masa antara tanggungjawab dalam kerjaya sebagai seorang pekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga’.

Dalam asyik bercerita mengenai kejayaannya dalam kerjaya, penulis tidak menyangka wanita berusia 45 tahun ini turut mempunyai anak kecil berusia 2 tahun dan masih menyusu badan. Dalam senario kebanyakan wanita takut untuk hamil ketika usia menginjak 40-an, Dr Amirah bersyukur dikurniakan rezeki untuk hamil kali ketiga ketika usianya mencecah 43 tahun.

“Alhamdulillah, Allah telah menganugerahkan anakanda yang ke-3 tatkala saya berusia 43 tahun.  Syukur bayi dilahirkan dalam keadaan sihat melalui  pembedahan  caesarean. Jurang 15 tahun dengan anakanda kedua memang agak janggal pada mulanya tetapi lama kelamaan saya rasakan ia merupakan momen yang indah buat kami sekeluarga.

Saya tidak mengalami sebarang alahan makan jarang berlaku seperti yang selalu dialami oleh wanita hamil. Saya tetap mempunyai selera makan dan tidak begitu cerewet memilih makanan.  Persediaan diri untuk proses mengandung juga diberi perhatian khusus. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan komplikasi kehamilan seperti pra-ekslampsia, plasenta previa, diabetis gestasi atau tekanan darah tinggi.

Anakanda ketiga dilahirkan secara pembedaran atau caesarean. Ketika kehamilan ketiga ini, saya banyakkan berdoa agar kehamilan selamat dan dipermudahkan olehNya. Elakkan kerja berat dan sebarang aktiviti lasak. Lakukan pemeriksaan kandungan mengikut jadual. Rehat dengan secukupnya serta sokongan dari suami dan ahli keluarga sangat penting. Sentiasa berfikiran positif selalu dan elakkan tekanan perasaan dan senantiasa pastikan pengambilan vitamin penting semasa hamil diambil dengan teratur.

Penjagaan semasa pantang adalah sama seperti amalan ibu-ibu lain, sementelah pula kelahiran secara caesarian, maka perlu penjagaan rapi dari bidan atau tukang urut. Saya mengambil pakej urutan dari tukang urut sepanjang tempoh pantang sehingga genap 60 hari. Menu makanan dimasak oleh pembantu rumah saya yang masakan berasaskan gizi makanan yang berzat dan berkhasiat serta elakkan dari bahan masakan yang ‘sejuk’ atau ‘tajam’ . Menu berasaskan ikan atau ayam serta sayur-an. Sehingga kini saya masih menyusukan anakanda saya yang berusia 2 tahun.

Apapun sebenarnya ramai yang melahirkan anak yang sihat tanpa komplikasi walaupun mengandung di usia yang lewat. Paling penting adalah ibu-ibu sentiasa memastikan diri dalam keadaan yang sihat agar risiko penyakit kronik dapat dielakkan dan menjadikan kehamilan adalah suatu yang tidak sukar. Pastikan pengambilan nutrisi adalah mencukupi sepanjang kehamilan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Share
Published by
Rosmah Idayu