Satu perempat daripada wanita hamil mengalami pendarahan ketika usia kandungan memasuki trimester pertama. Meskipun dianggap satu kelaziman di kalangan wanita hamil namun anda harus ambil tahu tahap pendarahan yang dialami.
Ibu hamil terutama yang menjalani prosedur IVF atau rawatan seumpamanya berisiko tinggi mengalami pendarahan ringan atau spotting iaitu warna darah merah hingga kecoklatan. Mungkin disebabkan dua embrio yang terlekat tetapi tidak kekal hingga menyebabkan pendarahan.
Pun begitu, terdapat juga situasi pendarahan yang menjadi tanda lebih serius seperti keguguran. Walau apa pun penyebab pendarahan tersebut, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor.
APAKAH PUNCA PENDARAHAN?
Ada beberapa faktor yang mencetuskan pendarahan faraj kepada ibu-ibu hamil. Antaranya termasuk:-
- Hormon yang mengawal kitaran haid ketika anda sepatutnya datang haid yang dipanggil pendarahan penembusan. Mungkin boleh mengalaminya lebih daripada sekali.
- Telur yang disenyawakan telah terlekat pada lapisan uterus atau dipanggil pendarahan implantasi.
- Ketumbuhan pada dinding rahim atau fibroid.
- Jangkitan serviks atau faraj.
- Permukaan serviks terengsa disebabkan hormon kehamilan.
- Penyakit Von Willebrand atau penyakit keturunan yang disebabkan darah sukar membeku.
Terdapat sesetengah kes pendarahan pada awal kehamilan sebagai tanda keguguran atau kehamilan ektopik iaitu kehamilan luar rahim. Punca pendarahan yang lebih jarang berlaku ialah kehamilan molar.
Kehamilan ini terjadi apabila embrio tidak membesar dengan sempurna hingga sel yang membentuk plasenta terus membesar secara abnormal. Jika anda disahkan kehamilan molar ia perlu digugurkan segera.
LANGKAH PENGAWASAN
Tiada cara untuk menangani pendarahan faraj secara khusus. Perkara pertama yang perlu anda lakukan jika mengalami keadaan ini adalah dengan menghubungi pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Seterusnya, menjalani pemeriksaan bahagian dalam faraj dengan melakukan imbasan ultrasound. Prosedur imbasan ini boleh mengenalpasti sekiranya terjadi kehamilan luar rahim atau memeriksa keadaan bayi di dalam kandungan.
Seandainya doktor masih tidak dapat mencari punca permasalahan tersebut beberapa ujian rutin seperti darah dan air kencing akan diuji untuk memantau tahap hormon kehamilan.
ADAKAH BAYI BERADA DALAM KEADAAN SELAMAT?
Usah terlalu khuatir kerana pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan. Ramai wanita yang mengalami pendarahan pada awal kehamilan tetapi masih dapat meneruskan kehamilan dengan sihat. Spotting juga lazimnya akan berhenti dengan sendiri.
Walau bagaimanapun, dapatkan rawatan dan nasihat selanjutnya daripada doktor untuk memastikan tiada simptom lain yang boleh menjejaskan kandungan. Ibu hamil juga disaran agar berfikiran positif terhadap pendarahan ringan seperti yang dinyatakan di atas kerana kebiasaannya ia hanyalah satu misteri yang tidak membahayakan bayi mahupun nyawa anda.