Pernah tak rasa sakit perut yang amat sangat sehingga boleh menyebabkan pengsan ketika berada di awal kehamilan?
Ini mungkin terjadi apabila kandungan itu gugur akibat kehamilan luar rahim. Terdapat juga sebilangan bakal ibu yang mengalami pendarahan yang teruk semasa hamil. Adakah ini kerana janin tidak membesar di tempat yang sepatutnya sehingga dikatakan hamil luar rahim?
Kehamilan normal memerlukan tiga proses iaitu pengeluaran telur (ovum), percantuman ovum dan sperma menghasilkan zigot dan proses penempelan zigot di dalam rahim.
Dalam apa juga keadaan yang menyebabkan proses ini tidak berlaku atau berlaku pada kadar yang perlahan seperti salur fallopion yang tidak berfungsi dan rosak, akan mengakibatkan zigot tersangkut di dalam salur fallopian dan membenam ke dalam dinding salur fallopian yang sempit, dan ini dinamakan kandungan luar rahim.
Kehamilan luar rahim atau ektopik bermaksud di luar tempat. Kadar kejadian kehamilan luar rahim adalah lebih kurang 2 peratus apabila 98 peratus daripadanya merupakan kehamilan ektopik dalam tiub fallopian (tubal pregnancy).
Kadang-kadang zigot itu ditolak keluar dari tiub fallopian ke dalam rongga abdomen dan menempel dalam rongga abdomen menyebabkan kandungan abdominal (abdominal pregnancy), atau menempel pada ovari menyebabkan kandungan ovarian (ovarian pregnancy). Kadang-kadang kandungan luar rahim juga boleh berlaku pada bucu rahim (cornual pregnancy) dan pangkal rahim (cervical pregnancy).
Jenis-jenis kehamilan luar rahim
Punca kehamilan luar rahim ini biasanya tidak dapat dikenal pasti. Namun terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang wanita itu untuk mengandung luar rahim seperti pernah mengalami kehamilan luar rahim, pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis (seperti pembedahan appendiks terutamanya yang sudah pecah), pernah menjalani pensterilan tiub (tubal ligation), mempunyai sejarah penyakit radang pelvis (PID) atau Salpingitis (radang tiub fallopian), mengidap endometriosis, mengalami masalah kesukaran untuk mengandung dan menjalani rawatan kesuburan (infertility treatment), serta menggunakan alat dalam rahim (IUCD) untuk menjarakkan kehamilan.
Simptom kehamilan luar rahim
Pada peringkat awal kandungan luar rahim, kebanyakan wanita tidak mengalami tanda-tanda lain selain daripada tanda-tanda kehamilan biasa seperti tidak datang haid, loya, muntah dan pening. Kadang-kadang boleh berlaku sedikit pendarahan melalui faraj. Namun sekiranya kandungan luar rahim ini pecah, wanita berkenaan akan mengalami sakit perut yang kuat atau kejang, dan boleh jatuh pengsan yang memerlukan rawatan kecemasan.
Doktor boleh mengesahkan kehamilan luar rahim melalui beberapa cara:
(1) Secara klinikal: Setelah memeriksa sejarah kesihatan dan gejala-gejala yang dialami, doktor akan membuat pemeriksaan pelvik dan imbasan ultrasound. Jika doktor mengesyaki ada perdarahan dalaman telah berlaku dan terdapat tanda-tanda hamil luar rahim yang ketara seperti sakit perut yang kuat, pucat dan pengsan doktor akan terus membuat diagnosa dan memberi rawatan kecemasan serta membuat persediaan untuk pembedahan segera sebelum ia menjadi lebih parah.
(2) Melalui ujian darah beta hCG: Dalam keadaan tertentu seperti gejala klinikal tidak jelas, tetapi kehamilan luar rahim masih disyaki, ujian darah beta hCG (hormon yang dikeluarkan oleh tisu kehamilan) boleh dilakukan. Ujian darah ini perlu dilakukan sebanyak dua kali dalam selang tempoh 24 hingga 48 jam. Jika terdapat peningkatan tahap beta hormon hCG dalam tempoh 48 jam tetapi kurang daripada 66 peratus daripada tahap awal, kemungkinan kehamilan di luar rahim adalah sangat tinggi.
(3) Melalui pembedahan laparoskopi iaitu memasukkan kamera kecil yang fleksibel melalui pusat untuk melihat terus ke dalam rongga abdomen dan pelvik. Pembedahan ini mengesahkan sama ada kehamilan luar rahim atau tidak. Jika disahkan kehamilan luar rahim, pembedahan boleh terus dilakukan.
This website uses cookies.