Hampir 2 Dekad Jadi Usahawan, KAK TON Enggan Tunjuk Mewah & Mahu Cetus Inspirasi!

Kejayaan usahawan kosmetik terkenal tanah air atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini nyata bukan calang-calang. Pasti ada keunikan dan tarikan tersendiri yang dimiliki wanita hebat ini hingga berjaya membuatkan perniagaannya kekal bertahan dalam industri selama hampir dua dekad. Bukan tempoh yang singkat tu!

Apatah lagi dengan persaingan bermacam-macam produk kosmetik yang dijual di pasaran ketika ini. Nona percaya, kalau barangan tersebut berkualiti… sudah tentu ia akan terus mendapat permintaan ramai.

Sejak kemunculan Kak Ton sekitar tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang. Hampir 18 tahun mengemudi perniagaan dan mencipta legasinya sendiri, Kak Ton atau nama sebenarnya Dr Zaiton Hassan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd.

Beberapa tahun menyepi dari industri, figura hebat berkenaan kini kembali aktif mengembangkan legasi. Tanggal 1 Disember lepas merupakan ulang tahun kelahiran Kak Ton yang ke-62! Tak sangka, Kak Ton masih tampil awet muda meskipun sudah meniti usia awal 60an.

Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia. Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai usahawan kosmetik, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 18 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’. Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar… mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu.

Kak Ton & anaknya, Nadia Annuar ketika fotografi bersama Nona

Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah. Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.

Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa. Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.

“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.

Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya… memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.

 

 

Kredit foto: Instagram Kak Ton & Nadia Annuar

Share
Published by
Suzi