Hampir Bawa Pingat Olimpik, Peminat Tertawan Senyuman DHABITAH Di Pentas Akhir 3m Papan Anjal!

Kehadiran Nur Dhabitah Sabri dalam arena sukan terjun di samping atlet berbakat besar seperti Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee terbukti berjaya melonjakkan nama negara dalam sukan berkenaan. Meniti usia 22 tahun, Dhabitah sememangnya memiliki aura tersendiri terutamanya ketika menyertai pertandingan.

Malah pesona anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah menarik perhatian media antarabangsa sewaktu temasya Sukan Olimpik Rio 2016 kerana sikapnya yang gemar tersenyum!

Mengimbas kembali momen Dhabitah dalam acara sukan dunia kira-kira lima tahun lalu, namanya meniti di bibir peminat sukan seluruh dunia yang tertawan dengan senyuman manis atlet muda ini. Walau terjunan Dhabitah ketika bertanding kurang kemas namun dia tetap melempar senyuman kepada penonton.

Aura positif Dhabitah cukup menyenangkan hingga rata-rata mereka yang menyaksikan acara sukan berkenaan memuji atlet kebanggaan Malaysia ini. Menyedari namanya diperkatakan ramai waktu itu, empunya diri berkata tindakannya yang dilihat sering tersenyum sebelum dan selepas membuat terjunan adalah kerana mahu menghilangkan perasaan gemuruh.

Hari ini, 1 Ogos 2021… Dhabitah sekali lagi menjadi bualan peminat sukan apabila kekal membawa aura positif dan mengukir senyuman tiap kali sebelum membuat terjunan di pentas akhir acara 3 meter papan anjal Olimpik Tokyo 2020.

Cukup konsisten sepanjang melakukan lima terjunan, Dhabitah mengakhiri acara tersebut di tempat keempat dengan 326.15 mata. Hanya dipisahkan 17.6 mata daripada atlet USA, Krysta Palmer yang mengutip 343.75 mata.

Walau tidak kesampaian membawa pingat Olimpik untuk negara namun Dhabitah berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan. Malah ketika ditemu bual Astro Arena sejurus acara tamat, Dhabitah yang mengalirkan air mata kegembiraan berkata, “Saya tak rasa pulang dengan tangan kosong, saya balik dengan something

iaitu experience.”

Dilahirkan pada 12 Julai 1999, anak bongsu kepada pasangan Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar ini mula didedahkan dengan sukan renang selepas kedua-dua ibu bapanya menyedari minat Dhabitah dalam bidang berkenaan sejak kanak-kanak lagi.

Dhabitah (kiri) sekitar tahun 2008

Sepanjang bergelar atlet, Dhabitah yang mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) telah berjaya merangkul pelbagai pencapaian membanggakan. Antaranya Anugerah Sekolah Sukan Bukit Jalil (Atlet Sukan Wanita Terbaik), 100 Plus Sports Awards (Atlet Harapan Malaysia 2016), pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014, pingat emas Asian Diving Cup 2015, FINA Diving Grand Prix, Sukan SEA 2015, Sukan SEA 2017 dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.

Atas kejayaan cemerlang dalam bidang sukan, Dhabitah diberi kepercayaan membawa obor terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Lebih membanggakan, atlet ini turut menjadi antara 200 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.

Dhabitah ketika terima pingat kebesaran YDP Agong ketika dia baru berusia 20 tahun
Di samping ibu tersayang

Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu, Dhabitah dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Wilayah (AMW). Moga kejayaan yang diraih Dhabitah terus menjadi inspirasi dan pencetus semangat buat ramai wanita untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

 

 

Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri / Astro Arena

 

IKLAN
Share