Hati perempuan mana yang tidak terkesan apabila hubungan yang diharap akan membawa ke jannah putus di tengah jalan. Namun, usahawan kosmetik ini tidak mahu mengalah dengan perjalanan hidupnya. Meskipun mengharapkan perkahwinan ketiganya berjalan lancar namun terpaksa akur dengan ketentuan jodoh untuknya.
Cerita wanita yang mesra disapa Joy Revfa tentang perkahwinan ketiganya, “Ya, memang benar, saya putus tunang. Kami merancang untuk berkahwin waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Semua persiapan sudah dah siap. Tapi, bila majlis perkahwinan asyik tertangguh lama-lama timbul rasa tak sesuai. Jadi bila rasa tak serasi dan rasanya elok saya meluahkan untuk tidak meneruskan hubungan,” tutur wanita yang pernah berkahwin dengan Hafiz Hamidun ini.
Kagum dengan semangat Pengasas MERVE Group Holdings Berhad ini yang tidak patah semangat dan terus merencana kehidupannya terutama dalam perniagaan dan anak tunggalnya. “Sedih memang lah sedih. Tapi, saya putus secara baik dan tidak timbul pergaduhan di antara kami. Bekas tunang seorang lelaki yang baik tapi mungkin kerana perkenalan kami terlalu singkat dan belum sempat kenal hati budi masing-masing,” kata wanita yang mudah mesra ini.
Wujud istilah serik untuk berkahwin lagi? “Dua kali gagal dalam perkahwinan dan kini putus tunang pula, sebenarnya saya setakat ini belum tertutup lagi pintu hati untuk menerima lelaki yang bergelar suami. Nak kata serik tu kadang-kadang serik juga, tapi bila masuk perkahwinan kali ketiga, saya kena betul-betul memilih siapa calon suami. Saya mencari yang sesuai dengan diri ini dan satu kepala,” bicara Joy Revfa.
Tambahnya lagi, “Kebanyakan circle saya adalah terdiri daripada lelaki yang berjaya dan berduit. Jadi saya bukan memandang lelaki yang kaya, berharta atau pun berkerjaya. Apa yang penting calon suami saya nanti dapat membimbing, memahami saya dan yang paling penting adalah keserasian.
Bagaimana mahu mencari keserasian? Sebab itu kita kena kenal dalam tempoh setahun atau dua tahun. Baru boleh tahu keserasian tersebut,” ujar ibu kepada seorang anak lelaki yang berusia 6 tahun ini. Semoga Joy Revfa dipertemukan dengan calon suami yang mempunyai husband material idamannya.
*Lipstik adalah item solek yang wajib bagi wanita, setuju tak?