Kronologi kisah rumah tangga Hana Azraa dan PU Abu Sufyan, yang dikatakan dibina sewaktu isteri lelaki itu sarat hamil, akhirnya menemui titik putus apabila Hana mengumumkan perceraian mereka.
Takdir tersebut walau bagaimanapun menggembirakan segelintir pihak, yang mendakwa itu sebagai kifarah ke atas Hana. Perkahwinan mereka tidak berkekalan, sebaliknya hanya bertahan kira-kira setahun.
Enggan terus berduka dengan tohmahan manusia, hari ini dia bangkit semula demi kebahagiaan diri dan dua cahaya matanya.
Saat dihubungi Nona, Hana Azraa kini kedengaran lebih tenang dan bahagia. Ramadan pertamanya sebagai ibu tunggal, namun berbeza tahun ini dengan kelahiran bayi kedua, Muhammad Uwais Al-Mateen, dua bulan.
“Alhamdulilah kak. Kehidupan Hana bersama anak-anak semakin baik. Mereka membesar dengan sihat dan sempurna. Anak sulung Hana, Afifah Aisyah, 4 tahun, sekarang ni sangat membantu. Dia sajalah harapan Hana untuk membantu apa yang patut.
Hana bersyukur kerana kedua-duanya memberi kerjasama yang baik. Tambahan Mateen sangat susah nak meragam. Dia hanya berbunyi bila nak susu je. Alhamdulilah thumma Alhamdulilah. Semoga Allah sentiasa permudahkan urusan kami,” cerita Hana atau nama penuhnya Nurhannah Azra Mohd Zakir.
Baru saja habis berpantang dan kini sambut Ramadan sebagai ibu tunggal sekali lagi, apa agaknya perasaan Hana… “Sebenarnya sangat teruja. Tapi Hana tahu hakikatnya sangat mencabar ye Mommies sekalian. Terutama dari sudut emosi.
Jadi bulan Ramadan ni, Hana cuba nak fokuskan pada diri dan ibadah semata-mata. Hana nak perbaiki mana lopong-lopong yang ada supaya kehidupan jadi lebih baik selepas ni. Bukan buat diri Hana sorang. Untuk anak-anak sebenarnya. Kami nak kehidupan yang tenang dan bahagia.”
PELAJARAN HIDUP
Dalam usia semuda 26 tahun, Hana sudah melalui pelbagai pengalaman termasuk berkahwin dan berpisah sebanyak dua kali. Kedua-duanya ‘menghadiahkan’ dua cahaya mata, sekaligus kurniaan terindah buat wanita berasal dari Kuala Lumpur itu.
“Ya kak. Terlalu banyak pengajaran dan pelajaran yang Hana dapat dalam kehidupan berumah tangga ni. Yang pertama sekali, kita perlu terima pasangan kita seikhlas hati. Kita kena terima hakikat bahawa tiada manusia yang sempurna. Kalau kesempurnaan yang kita cari, maka sampai bila-bilalah kita tak akan temui kebahagiaan.
Pengharapan kita sebenarnya hanya pada Allah SWT. Doa, doa dan terus berdoa. Hidup ni bukan nak dapatkan redha manusia semata-mata. Tetapi redha Allah dan pandangan dari Allah.
Selain itu, yang paling penting are communication and honesty. Komunikasi yang baik antara satu sama lain sangatlah penting. Janganlah ego dan mementingkan diri hanya demi kepuasan diri sendiri. Ingatlah dan kasihanilah pasangan kita. Mereka juga berhak untuk bersuara dan bahagia.
Apa-apa pun semuanya berbalik pada niat kita. Apa niat dan tujuan asal kita memilih pasangan menjadi isteri atau suami kita. Adakah untuk kepentingan diri ataupun kerana nak dapat redha Ilahi?
Kalau untuk dapatkan redha Allah, insyaAllah bahagia. Tanggungjawab mesti jalan. Jaga amanah yang Allah beri. Dia akan permudahkan segala urusan kehidupan kita yang mungkin pada awalnya terasa sulit.”
KEMBALI BERSEMANGAT
Ditanya tentang bagaimana meneruskan kehidupan sekarang, Hana yang memiliki kelulusan Diploma Tourism & Hospitality Management itu nampaknya begitu optimis menyusun semula rentak hidupnya.
“Kita tak boleh lemah! Bangkit! Jangan terasa ibarat kita ni wanita yang tiada apa-apa. Sebaliknya kalau kita gali, kita mempunyai beribu-ribu kelebihan tau! Paling utama mindset kita. Mindset kalau dari awal out, out-lah kita. Jadi, kena sentiasa positif.
Hidup ni tak lama. Nak bersedih, boleh. Hana pun sedih juga. Menangis juga. Tapi sampai bila? Apa hasilnya? Daripada menangis, lebih baik Hana bangun dan fokus pada kerjaya Hana. Usahakan empayar Hana Skincare Malaysia tu supaya lebih maju dan dikenali lagi di Malaysia ni. Itu lagi bagus. Betul tak?
Mentor Hana dari dulu sampai sekarang hanya lah Tuan Carl dan Belle Alyahya (owner Bella Ammara). Hana dah kenal mereka bertahun-tahun. Turun naik bisnes Hana, memang merekalah tempat rujukan. Banyak juga ilmu dan kata-kata semangat yang Tuan Carl bagi. Tapi tak apa, biasalah bisnes ni memang ada turun naiknya.
Hana dah asaskan Hana Skincare Malaysia ni hampir empat tahun. Semuanya atas usaha sendiri. Macam-macam yang Hana buat untuk pastikan produk terus mendapat tempat di hati pelanggan. Bukan sahaja kepentingan pada diri Hana, tapi pada agent kami dan dropship juga.
Hana belum lagi bergelar jutawan. InsyaAllah one day i’ll be the first millionaire in my family! Pendapatan Hana dengan titik peluh sendiri sudah cecah 6 angka. Dan Hana dah melahirkan beberapa orang agent dengan pendapatan 5 angka sebulan! Alhamdulilah thumma Alhamdulilah. Hana berharap sangat dapat bantu lebih ramai lagi mereka di luar sana untuk menjana pendapatan.”
Keadaan bisnes Hana dalam waktu PKP ni… “Terkesan juga tapi tak banyak. Pelanggan di luar sana masih membeli. Hana teruskan buat marketing macam biasa, promote di Instagram dan agent serta dropship Hana masih menjalankan kerja-kerja mereka dengan baik.
Rezeki Allah takkan pernah salah alamat. Kita sebagai hamba-Nya hanya perlu berusaha sahaja. Apa yang kita usahakan, besar mana yang kita usahakan, itulah hasil yang kita akan dapat! Trust the process!” jawabnya sambil tersenyum.
Ada cuba teroka bisnes lain? Soal penulis. “To be honest memang ada. Hana teringin nak buat Muslimah clothing line. Tapi masih lagi mencari-cari supplier dan contact mereka yang berpengalaman dalam bidang ni.
Selain daripada skincare, Hana sebenarnya sangat sukakan fesyen. Jadi Hana teringin nak bina satu Muslimah clothing yang up to date yet patuh syariah. Doakan Hana tau!”
HARAPAN
“Hana rasa sudah berjaya kalau suatu hari nanti dapat beli sebuah rumah TUNAI tanpa hutang untuk Hana dan anak-anak berteduh. Itulah fokus dan target Hana sekarang. Rumah tanpa hutang. Kereta dah lepas. Alhamdulilah.
Hana nak berikan kehidupan yang selesa buat kami anak-beranak. Nak Mak dan Ayah bangga dengan kejayaan dan turut merasa dengan segala yang Hana capai. Selagi masih ada Mak dan Ayah, serta anak-anak itulah yang akan dijaga sebaik-baiknya.
Menjawab soalan tentang kawin lagi… (ketawa) “Ya Allah. Belum terfikir lagi rasanya. Jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Doakan yang baik-baik untuk Hana ya. Hana tak minta lebih pun bila sentuh bab-bab pasangan ni. Cukup yang pandai menghargai, jujur dan mampu bimbing kami ke jalan yang diredhai agama.
Apa lagi nikmat yang ingin kita dustakan sebagai seorang isteri melainkan nikmat suami di sisi kan? Bersyukur Allah pinjamkan Hana seorang suami yang baik. Hana sentiasa mendoakan kebaikan dalam kehidupan sekarang dan akan datang. Sayang tak semestinya memiliki kan? Apa-apa pun doakan yang terbaik ya! Ada jodoh pasti bertemu, insyaAllah.”
MENGAJI ONLINE
“Sepanjang bulan Ramadan ni, Hana akan belajar mengaji secara online bersama seorang ustazah. Dia akan ajar dan betulkan bacaan tajwid Hana. Sesibuk mana pun, sekucar-kacir mana pun Hana dan anak-anak, Hana tetap akan cari waktu untuk mengaji online tu! Inilah masa untuk Hana betul-betul berkawan baik dengan Quran.
Kalau dengan zikir pula, Hana dah terbiasa dengan selawat tafrijiyah dan doa Nabi Yunus ketika dalam perut ikan paus tu. Makna dari selawat tafrijiyah sangat-sangat terkesan dalam jiwa Hana. Bila baca selawat tu dalam hati ni tak lain dan tak bukan mengharapkan bantuan Allah agar semua kesulitan Hana dan anak-anak dipermudahkan.
Dan kalau bab surah, Hana memang in love dengan Al-Waqiah. Dengan anak-anak pula, Hana akan perdengar atau bacakan surah Maryam.”
Masak apa untuk berbuka puasa tadi? Masakan yang Hana mahir?
“Sebenarnya Hana baru belajar masak lepas kawin. Sejak anak dara dulu memang kurang sikit ke dapur. Bukan bidang kepakaran Hana bab bab dapur ni. Tapi kalau nak suruh kemas-mengemas, boleh serah 100% dekat Hana.
Tapi tak bermakna Hana tak pandai masak langsung ye sekarang ni. Nak suruh Hana buat chicken black pepper boleh, kari ayam kapitan boleh, laksa utaqha boleh. InsyaAllah boleh. Sebab lepas kawin memang dah biasakan diri ke dapur. So bolehlah dari tak tahu langsung… jeng jeng jeng.
Dan untuk bulan puasa ni, tak semeriah tahun-tahun yang lepas. Dulu bazar, boleh tunjuk-tunjuk je nak makan apa. So Ramadan kali ni mudah je. Makan je apa yang ada dan apa yang dimasak. Konsepnya lebih kurang #syukurbersama dengan apa yang ada,” akhirinya penuh makna.