Gaya Hidup

Hangatkan Kembali Cinta Kalian, Berikut 7 Cara Cipta Mood BULAN MADU Di Rumah!

Mungkin ia tidak seindah di Switzerland, Korea mahupun Paris namun jika anda dan pasangan kreatif, rumah sendiri pun mampu mencetuskan suasana paling romantik saat berdua. Cara ini sesuai buat pasangan suami isteri yang sudah lama mendirikan rumahtangga.

Selain tidak memerlukan kos yang tinggi, anda mungkin lebih selesa kerana berada di tempat yang sudah anda kenali. Anda dan pasangan juga tidak terikat dengan masa. Tanpa perlu mengambil cuti berhari-hari, anda berdua masih dapat mencipta saat-saat yang membahagiakan.

Berikut cara-cara bagi mencipta suasana bulan madu yang romantik di rumah.

BEBAS DARIPADA URUSAN KERJA

Sampaikan pesanan cinta terlebih awal pada pasangan. Pastikan hari atau malam yang dipilih bagi mencipta suasana bulan madu bebas daripada sebarang urusan termasuk soal kerja. Jangan sesekali fikirkan kerja-kerja yang belum selesai di pejabat kerana waktu itu memang khusus untuk anda berdua.

CIPTA SUASANA BERBEZA

Bersihkan rumah dan ubah kedudukan perabot agar nampak berbeza daripada biasa. Tetapi perkara paling penting sebenarnya ialah anda perlu mengubah suasana bilik tidur. Pasang cahaya lampu malap dan tukar cadar baru. Beli bunga mawar segar, letakkan di meja makan dan bilik tidur.

HANYA BERDUA

Pastikan hanya anda dan pasangan saja di rumah. Jika sudah mempunyai anak, pandai-pandailah anda menghantarkan mereka sementara ke kampung, ke rumah adik-beradik dan sebagainya. Berikan apa saja alasan yang logik untuk meminta tolong meraka menjaga anak anda seketika.

SIAPKAN HIDANGAN ISTIMEWA

Jangan lupa sediakan juga menu kegemaran pasangan. Makan malam romantik tidak akan sempurna tanpa nyalaan lilin. Jangan lupa letakkan beberapa kuntum mawar merah di atas meja.

PAKAIAN CANTIK

Bagi si isteri, pilihlah pakaian yang dapat memberikan kesan romantik. Pakailah sesuatu yang cantik, baru dan kalau boleh usahakan memakai pakaian yang sedikit seksi untuk tatapan pasangan. Pakaian yang berbeza akan menambahkan kelainan suasana daripada biasa.

IRAMA DAN LAGU

Tidak lengkap makan malam tanpa iringan muzik. Tidak salah juga jika anda mengajak pasangan menari selepas makan. Apa hendak dimalukan, bukankah di rumah hanya ada anda berdua saja? Tetapi jika anda tidak sukakan muzik, cari filem romantik bagi mengisi masa berdua.

PELUKAN ERAT

Selesai makan malam dan menonton filem romantik, berikan urutan sensasi antara satu sama lain khususnya pada punggung, tangan dan tapak kaki. Selain itu, berikanlah pelukan dan ciuman bermakna buat pasangan yang membuatkan anda terasa kian intim dengan pasangan.AMY MOHD

Share
Published by
Suzi