Hanya 5 Hari Bertunang, TASHA SHILLA Kini Sah Bergelar Isteri Ahli Kewangan!

Sekalung tahniah diucapkan kepada pelakon cantik, Tasha Shilla yang selamat bergelar isteri hari ini. Memilih pagi Jumaat, 28 Februari 2020 sebagai tarikh bermakna untuk mendirikan rumah tangga… aktres berbakat ini akhirnya sah menjadi isteri selepas hanya mengikat tali pertunangan selama lima hari. Alhamdulillah, benda baik tidak perlu tangguh lama!

Difahamkan Tasha selamat bergelar isteri kepada ahli kewangan bernama Muhammad Atiq Idris berusia 33 tahun dengan sekali lafaz di Masjid Wilayah Jalan Duta, Kuala Lumpur. Anggun mengenakan persalinan nikah berwarna putih sedondon dengan suami tercinta, pasangan ini dikatakan hanya sempat berkenalan selama dua bulan sejak Disember lalu.

Tertarik dengan keperibadian masing-masing dan keserasian di antara mereka, Tasha dan Atiq sepakat mengikat tali pertunangan pada 23 Februari lepas. Berita pertunangan Tasha nyata mengejutkan ramai pihak memandangkan tiada desas-desus mengenai kisah percintaan mereka berdua bertebaran di Internet.

Biarpun melalui proses perkenalan yang singkat namun perhubungan Tasha dan suami mendapat sokongan baik daripada kedua-dua belah keluarga.

Menurut Tasha, dia memilih untuk tidak menghebahkan niat menamatkan zaman bujang kepada pengetahuan umum kerana baginya isu tersebut cukup peribadi dan memadai jika ia hanya dikongsi bersama keluarga serta sahabat karib.

Pada upacara ijab kabul yang berlangsung pagi tadi, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800 dan sebentuk cincin. Namun jumlah wang hantaran dirahsiakan. Adik Tasha,
Muhd Rizdwan Abdul Razak diwakilkan sebagai wali dan pasangan telah dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Wilayah, Ustaz Ihsan.

Kedua-dua mempelai dilihat cantik dan segak dalam persalinan serba putih ilham pereka terkenal, Hatta Dolmat pada majlis akad nikah. Sementara pada majlis resepsi pengantin
perempuan pula akan diadakan pada sebelah petang yang menyaksikan pasangan romantis ini bakal menyarung busana tradisional melayu klasik rekaan Zaimi Zulkafli.

Resepsi kedua pihak pengantin lelaki dijangka akan diadakan pada minggu hadapan. Ditanya perancangan selepas berkahwin, Tasha menjelaskan dia memilih untuk tinggal bersama Atiq di Singapura sebaik selesai majlis persandingan di sana nanti.

Moga ikatan suci yang terjalin di antara Tasha dan Atiq berkekalan hingga ke syurga serta dikurniakan cahaya mata yang comel sebagai penyeri rumah tangga.

Kredit foto: Blackpepper Production

Share
Published by
Suzi