Pernah kah anda membayangkan wanita lain hidup tanpa memiliki bra yang sempurna dan hanya memakai bra untuk menutup payudara semata-mata? Mungkin anda bertuah kerana memiliki kehidupan yang sempurna dan mampu memiliki bra yang mencukupi dan terbaik untuk menutup dan menyokong payudara. Namun bukan semua wanita bertuah seperti anda. Mereka yang hidup dalam kedaifan bukan sahaja tidak mampu untuk membeli bra malah untuk membeli makanan demi kelangsungan hidup juga tidak mampu.
Atas kesedaran terhadap wanita yang kurang bertuah, jenama pakaian dalam terkenal, Neubodi telah menganjurkan kempen menderma bra yang sudah terpakai atau tidak diperlukan oleh wanita sejak tahun 2012 lagi. Mengikut kajian yang telah dijalankan, hampir satu hingga empat wanita di Malaysia mempunyai lebih daripada 10 bra dalam gerobok pakaian mereka. Namun, dalam jumlah itu 80 peratus yang mengaku tidak memakai keseluruhan bra milik mereka atas alasan tidak muat dan sebagainya.
Pada tahun ini, Neubodi mengalu-alukan setiap wanita seluruh Malaysia untuk mendermakan bra yang sudah tidak diperlukan lagi bermula 27 September 2018 hingga 4 November 2018 di mana-mana outlet Neubodi yang berhampiran. Selepas menderma setiap wanita bakal memperoleh baucar pembelian sebanyak 25 peratus.
Menurut Pengarah dan Pengasas Neobodi, Anne Tan, sepanjang enam tahun mengadakan kempen ini neubodi berupaya mengitar semula sebayak 100,000 bra yang disokong oleh tujuh organisasi bukan kerajaan. Tambahnya lagi, program ini juga secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat tentang kehidupan insan lain dan juga perspektif alam sekitar.
Bra yang sudah dipilih untuk di kitar semula ini akan didermakan kepada badan bukan kerajaan seluruh dunia yang menyokong serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Antara badan bukan kerajaan yang bekerjasama adalah Asha Nepal, Free The Girls, Uplift Project, Village Focus, FreeAGirl, dan Mothers Heart Foundation.