Salah satu agenda kami sekeluarga pada setiap tahun ialah percutian. Selalunya musim cuti sekolah menjadi waktu terbaik untuk kami sekeluarga berkumpul memandangkan pada hari biasa saya dan suami sibuk dengan kerja, anak pula bersekolah.
Pada penghujung tahun lalu saya dan suami telah merancang satu percutian istimewa buat anak kami, Muhammad Farihin Zulqarnain bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-8 pada 27 Disember 2017. Kami ingin lakukan kejutan buatnya.
Destinasi percutian yang dipilih ialah pulau. Asalnya kami merancang untuk ke Pulau Mabul, Semporna namun akhirnya memilih Pulau Bohey Dulang yang sangat terkenal dengan keindahan yang menakjubkan.
Pulau Bohey Dulang antara kepulauan tercantik di dunia yang terletak di Celebes Sea, Semporna, Sabah. Ia juga salah satu pulau yang terdapat di Taman Marin Tun Sakaran. Puncak Pulau Bohey Dulang setinggi 300 meter. Dari puncak ini, kita boleh menikmati pemandangan keseluruhan pulau yang membiru!
Jiwa terasa tenang sekali melihat indahnya ciptaan Allah SWT. Namun begitu, sebelum dapat menikmati keindahan tersebut ada satu ‘syarat wajib’ iaitu perlu mendaki dan merentasi laluan yang agak sukar serta mencabar sejauh 600 meter.
Pulau Bohey Dulang turut menjadi tumpuan para jurugambar profesional seluruh dunia khususnya untuk mengambil gambar keunikan etnik Bajau laut Semporna. Kebanyakannya hidup secara nomad dan bilangan keluarga Bajau laut di Pulau Bohey Dulang tidak ramai.
26 DISEMBER 2017
Perjalanan dari Bandar Tawau ke pekan Semporna mengambil masa selama 1 jam 30 minit dengan menaiki kenderaan. Kami menginap di Dragon Inn Floating berdekatan jeti umum Semporna. Lokasi penginapan ini juga meriah dengan deretan chalet atas air (Dragon Inn Floating) serta kedai makanan laut (waterfront
) khususnya pada waktu malam.27 DISEMBER 2017
Perjalanan ke Pulau Bohey Dulang mengambil masa antara 30-40 minit dengan menaiki bot. Alhamdulillah! Perjalanan kami lancar yang hanya mengambil masa 30 minit. Dari jauh jelas kelihatan puncak bukit Pulau Bohey Dulang.
Setibanya di jeti pulau, perasaan tiba-tiba bercampur baur apabila pemandu pelancong memaklumkan laluannya berbatu dan licin. Kemungkinan tempoh pendakian mengambil masa sejam untuk tiba ke puncak. Kami sedikit risau memandangkan anak ada bersama. Dengan bebanan beg yang dipikul memerlukan stamina ekstra. Namun kami bertuah mempunyai seorang pemandu pelancong berpengalaman yang tidak jemu membantu pendakian kami.
Tepat pukul 11.28 pagi, kami selamat sampai di laluan puncak 600 meter bukit Pulau Bohey Dulang. Usai menikmati keindahan ciptaan Yang Maha Esa tiba masanya untuk menuruni puncak bukit. Saya hampir tergelincir kerana terpijak akar pokok yang licin.
Sebaik tiba di jeti kami tidak sempat untuk mandi dan snorkling
di pulau ini kerana kami akan terus ke Pulau Mantabuan. Di sana barulah boleh mandi dan snorkling sebelum ke Pulau Sibuan. Kami turut bertemu dengan masyarakat Bajau Laut Semporna di sini. Tepat pukul 6 petang kami selamat tiba di jeti umum Semporna.28 DISEMBER 2017
Pukul 11 pagi kami bergerak pulang dari pekan Semporna ke Bandar Tawau. Walaupun Pulau Bohey Dulang merupakan lokasi pendakian pertama kami (tanpa pengalaman) namun kami tidak akan serik untuk ke sini semula. Pengalaman itu paling bermakna. Kami pasti akan kembali suatu hari nanti dengan persiapan yang lebih rapi.
Kredit Foto: Asdiana Muh Ali
This website uses cookies.