Kalau hendak berjaya, restu ibu dan ayah adalah punca utama. Kerana mahu beri kesenangan pada keluarga, Siti Fatimah berkorban tenaga dan akhirnya mampu miliki perniagaan yang jarang dimiliki seorang wanita, lebih-lebih lagi bumiputera.
Siti Fatimah Rasol tidak lahir dalam keluarga senang. Malah pernah ayahnya terpaksa menjual tanah kerana ingin menyara anak sambung pengajian. Siti bertekad untuk bawa keluarga dan adiknya yang disahkan sakit mental keluar dari kemiskinan.
Perkenalan secara tak langsung dengan seorang tukang rumah membuka pintu rezeki untuknya memiliki kedai hardware.
“Masa mula-mula nak kenal barangan binaan rumah, saya diperkotak-katikkan tokey kedai. Maklumlah, orang perempuan mana kenal jenis batang paip waima skru yang begitu banyak. Mujur hati saya kering. Berulang-alik juga saya di kedai tersebut sehingga segalanya selesai. Sejak itu saya mula mencari peluang untuk meneruskan kerjaya tetapi pada masa sama mencari duit lebih dengan mengambil upah mengubah suai rumah,” katanya.
Demi mak dan ayah, Siti teruskan niat dalam bidang ini.
“Niat saya satu, saya nak ibu, ayah dan adik saya tinggal bersama. Apa saya makan, mereka makan. Saya kecewa andai mereka susah di kampung, saya di sini tak tahu apa-apa. Biarlah saya susah, asalkan mereka ada depan mata. Mungkin kerana itu niatnya, Allah bantu saya dalam hidup. Dugaan? Tak pernah surut tetapi hikmah selepas itu yang begitu indah tak tergambar.
Nak dijadikan cerita, saya bawa ayah berjalan-jalan dan ada sebuah lot kedai yang ingin disewa. Ayah menjentik hati saya untuk menyewa kedai itu walaupun kami tak tahu apa yang ingin dilakukan. Wang simpanan yang dikumpul hasil kerja-kerja mengubahsuai rumah orang saya gunakan untuk membayar duit muka. Dan akhirnya, kami duduk dalam kedai tanpa ada apa-apa perancangan.
Saya menangis. Habis hiba saya panjatkan pada Allah agar membuka hijab rezeki buat kami. Beberapa hari selepas itu, seorang kenalan memberitahu ada kedai hardware yang ingin dijual. Bayangkan, sebuah kedai hardware yang besar, menempatkan barangan yang hampir bernilai RM40,000 ingin dilepaskan hanya dengan harga RM8,000! Tanpa fikir panjang, saya beli kesemuanya.” ujarnya.
Warisan Trading Sdn Bhd yang bertempat di Dengkil ini adalah satu-satunya kedai hardware milik bumiputera. Sehingga kini, Siti sendiri tidak menyangkan setiap apa yang ada di depan mata ini adalah miliknya dan keluarga.
“Kesusahan hidup benar-benar memberi saya kekuatan untuk menjadi lebih baik. bila saya susah, saya mengadu pada ayah. Bila perniagaan saya ditipu, kedai dilanda musibah, saya minta ayah pinjamkan telinga untuk mendengar. Kata ayah ringkas, berdoalah, kerana Allah Maha Mendengar.
Tangan mereka pernah saya genggam setiap hari dan menangis untuk melempiaskan kesedihan dan kekecewaan kala di uji tetapi Allah balas dengan cahaya yang cukup untuk menyinari kembali kehidupan,” gugur air mata Siti kala berbicara.
Tak ada apa-apa yang saya bawa. Saya hanya bawa ibu dan ayah dalam hidup saya. Depan saya, ibu dan ayah bersungguh-sungguh meminta pada Allah. Bagai magis, keuntungan perniagaan berganda, suami pula menjadi pendorong semangat untuk menghalang saya berundur,” katanya.
Menurut Siti, kejayaan kita bukan 100 peratus daripada usaha kita semata-mata. Sebahagian besarnya adalah hasil dari keberkatan dan doa ibu dan ayah. Tolong jaga ibu dan ayah, berikan mereka kasih sayang dan perhatian. Duit kiriman setiap bulan, waima setiap hari yang disampaikan tak sama dengan penjagaan kita terhadap mereka setiap masa. Ibu dan ayah tiada galang ganti. Mungkin tak bererti lagi harta yang ada andai tidak dikongsi bersama mereka.
Apa yang saya kecapi kini semuanya untuk mereka dan jihad saya kepada agama dan bangsa. Peluang yang Allah berikan kepada saya ini saya cuba gunakan sebaik mungkin supaya rezeki itu terus berkembang dan berpanjangan.” Ujarnya mengakhiri perbualan.