Pelakon dan pengacara tampan, Fahrin Ahmad baru saja meraikan anniversary yang ke-8 bersama isteri tercinta, Elena Hani Eleas. Mereka bernikah pada 9 Mei 2015.
Fahrin turut meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-43 pada tarikh yang sama.
Lapan tahun melayari bahtera rumahtangga, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang sangat comel bernama Khalifa Fahrel Fahrin yang kini berusia tujuh tahun.
Tulis isteri Fahrin di akaun Instagramnya: –
“Happy double 4 birthday my one and only @fahrinahmad_fa
“Semoga Allah sentiasa melindungi you, dilimpahi rahmat dan mendapat rezeki terbaik dari Nya.
“I love you muchosss”
Fahrin membalas semula hantaran isterinya itu dengan ayat yang ringkas namun penuh bermakna.
“Thank You & Happy 8th Anniversary to both of us… “
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para pengikut dan peminatnya menitipkan ucapan tahniah dan mendoakan Fahrin sekeluarga kekal bahagia selamanya.
SEJARAH PERCINTAAN
Terdahulu, Fahrin pernah berkongsi tentang kisah percintaannya dengan isteri tersayang. Menurutnya ia sangat mencabar kerana mereka jarang berjumpa.
Fahrin mengenali isterinya ketika menuntut di Matrikulasi Undang-Undang dan fakulti Undang-Undang di UiTM Shah Alam.
Selepas tamat pengajian, mereka membawa haluan hidup masing-masing sehinggalah mereka kembali bertemu.
Kalau dah jodoh takkan ke mana. Terdahulu, isteri Fahrin pernah bergelar peguam dan Ketua Pramugari Emirates Airline.
Pasangan ini memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan sebaliknya sekadar pertemuan mengikut adat dalam sebuah majlis tertutup dihadiri keluarga terdekat masing-masing.
Fahrin menikahi isterinya pada hari lahirnya yang ke-36. Ketika pernikahan, mereka merahsiakan jumlah wang hantaran.
Fahrin memberikan mas kahwin sebanyak RM80 kepada isterinya. Masing-masing turut memberikan sebentuk cincin pada majlis tersebut.
Semoga Fahrin dan isteri kekal bahagia sampai ke syurga.
Kredit Foto: IG Faharin Ahmad & Elena Hani Eleas
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Berpisah Pada Usia 42 Tahun, Ini Rahsia Gisele Bündchen Jaga Kesihatan Fizikal & Emosi
Supermodel Gisele Bündchen akhirnya mengesahkan khabar angin mengenai perceraiannya dengan suami, pemain besbol professional, Tom Brady. Tom dan Gisele berkahwin pada tahun 2009.
Pasangan tersebut telah lama berjauhan antara satu sama lain sejak quarterback profesional itu kembali bermain untuk National Football League (NFL). Gisele pula dikatakan mengembara dari satu bandar ke bandar lain untuk mencari ketenangan.
Kedua-duanya telah memuat naik kenyataan bersama di laman Instagram masing-masing mengesahkan perkara tersebut.
‘Kami mencapai keputusan bersama dan sangat menghargai masa-masa yang kami lalui sepanjang hidup bersama.
“Kami akan bersama-sama menjaga anak dan berikrar untuk memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang yang sangat diperlukan mereka,” kata Gisele.
Pasangan ini mula berpacaran pada tahun 2006 sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumag tangga pada wal tahun 2009. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Benjamin Rein, 13 dan Vivian Lake Brady, 10 tahun.
Tom turut memiliki seorang lagi anak lelaki bernama John Edward, 16, hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri yang juga pelakon, Bridget Moynahan.
Meskipun mengambil jalan untuk berpisah, Tom mendoakan yang terbaik buat bekas isterinya serta berharap kedua-dua mereka dapat terus melangkah maju ke hadapan.
“Sudah tentu perpisahan ini sesuatu yang menyakitkan dan sukar, seperti mana yang dilalui pasangan lain yang berpisah.
Walau bagaimanapun, kami akan saling menyokong antara satu sama lain dan akan meneruskan kehidupan masing-masing selepas ini, ” kata Tom.
Pasangan itu memiliki sebuah kediaman mewah bernilai RM77.5 juta di Indian Creek Village di Miami.
Melihat susuk tubuhnya yang ramping seperti anak dara, pastinya ia menjadi idola untuk wanita mendapatkan susuk tubuh sepertinya.
Walaupun sudah memiliki dua orang anak serta berhadapan saat sukar dalam perkahwinan dan tinggal secara berasingan, Gisele dikatakan sangat menitikberatkan penjagaan dirinya dan memastikan dia sentiasa aktif secara fizikal.
Gisele kini sibuk dengan kehidupannya sendiri dan meluangkan masanya jauh dari sisi Tom dengan berulang alik dari Miami dan New York.
Gisele sememangnya amat menggemari senaman antaranya termasuklah yoga, pilates, Brazilian Jiu-Jitsu, berenang, berjalan kaki dan mendaki.
Dedah Gisele dalam salah satu posting Instagramnya, yoga juga membantu melegakan tekanan dan bagus untuk meditasi. Selain itu, pilates menjadi antara kegemaran Gisele kerana ia membantu menguatkan otot serta membantu mengimbangi badan disebabkan oleh penekanan pada keseimbangan dan pengecutan otot.
Brazilian Jiu-Jitsu mungkin merupakan sesuatu yang baharu tetapi seni bela diri ini dikatakan boleh melatih setiap bahagian badan dengan menggunakan pergerakan yang banyak.
Menjengah ke laman Instagram miliknya, Gisele sering berkongsi aktiviti sukan air kegemarannya termasuklah berenang, surfing, paddle boarding dan wakeboarding.
Gisele juga amat sukakan aktiviti berjalan dan mendaki di mana aktiviti ini membantu membakar lemak sambil dapat menghirup udara segar bagi merehatkan minda.
Enggan berfikiran negatif dan terlalu memikirkan masalah, nampaknya pelbagai jenis senaman ini membantu Gisele menjaga kesihatan fizikal dan emosi! Inilah inspirasi untuk wanita masa kini. Bijak menjaga kesihatan diri secara fizikal dan emosi.
Kerana Keprihatinan, PENCINTA HAIWAN Ini Teruskan Usaha Membantu & Melindungi Kucing Jalanan Sepanjang PKP
Memelihara haiwan jinak dan manja sudah menjadi budaya dalam masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Antara sahabat Baginda yang begitu cintakan haiwan jinak itu ialah Abu Hurairah yang sentiasa membawa bersamanya kucing. Maka sebab itulah sahabat Nabi ini digelar Abu Hurairah yang bermaksud bapa kucing.
Sifat penyayang merupakan antara ciri-ciri peribadi Muslim sejati. Islam menekankan sikap ini bukan sahaja sesama manusia tetapi terhadap makhluk Allah SWT yang lain.
Inilah juga ciri-ciri yang ada pada wanita berusia 46 tahun ini yang dikenali sebagai Janah Ruhayu Jalal yang merupakan seorang Pembantu Peribadi. Kisah keprihatinannya ini boleh dijadikan inspirasi.
“Arwah Mak dan Abah adalah pencinta kucing. Jadi di rumah kami ada membela kucing dan kami sekeluarga sangat sayangkan haiwan.
Saya juga pernah menangis sampai bengkak mata apabila kucing mati sampaikan orang ingat ahli keluarga yang meninggal dunia.
Betapa pilunya hati kalau ada antara kucing yang kami bela itu mati sebab dah anggap haiwan itu sebahagian daripada keluarga kami.
Setelah kedua ibu bapa meninggal, saya memilih untuk hidup berdikari sehinggalah saya berkeluarga. Dan ketika itu juga saya tidak lagi membela kucing.
KEMBALI MEMBELA KUCING
Sampailah suatu hari, ketika anak-anak saya masih kecil mereka terjumpa seekor anak kucing berusia lebih kurang seminggu dan matanya masih belum terbuka. Anak kucing itu berjalan sendirian dalam hujan renyai. Suaranya seakan merintih minta untuk dibela.
Lantas anak-anak saya merasa sangat kasihan dan meminta kebenaran saya untuk menjaganya. Saya terpaksa membenarkan, mungkin kerana naluri keibuan yang tinggi. Saya membayangkan jika anak-anak saya sendiri yang berhadapan dengan situasi seperti anak kucing itu alangkah sedihnya.
Sejak itu terdetik di hati saya untuk kembali membela kucing setelah sekian lama tidak bebrbuat demikian. Sekarang di rumah saya membela kucing kampung dan kucing Siam mix breed pemberian rakan. Saya sendiri tak pernah membeli kucing.
Rumah saya sering menjadi tempat kucing-kucing luar datang untuk menumpang makan dan minum serta minta dikasihi. Ada juga yang beranak pinak namun saya anggap mereka seperti ahli keluarga.
Atas dorongan diri sendiri serta anak-anaklah saya teruskan niat membantu haiwan-haiwan jalanan ini. Bukan sahaja kucing bahkan juga anjing. Lebih-lebih lagi sejak Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) ni kebanyakan kedai makan tutup. Haiwan-haiwan jalanan ini tiada sumber makanan dan perlindungan.
Berhampiran rumah saya memang banyak kucing-kucing jalanan. Dan selalu nampak haiwan ini mencari makan di kedai-kedai. Begitu juga anjing.
Selalunya rutin saya adalah membawa sedikit makanan kucing di dalam beg. Apabila terserempak dengan kucing-kucing di mana-mana terutama yang jalanan saya akan bagi. Namun sepanjang PKP berlangsung ni memang setiap harilah saya akan mencari dan memberi haiwan-haiwan ini makan.
Rakan-rakan serta kenalan baru turut memberi sokongan moral kepada saya termasuklah sumbangan kewangan dan macam-macam lagi.
PUAS MEMBANTU & KONGSI REZEKI
Selain dapat berkongsi rezeki dan mendapat pahala, saya juga berpuas hati bila lihat haiwan-haiwan ini makan dan minum sekurang-kurangnya sekali sehari. Saya juga tak menyangka kerana ramai yang menyokong serta menyumbang tanpa diminta dari segi kewangan, makanan, bekas minuman dan sebagainya. Saya bersyukur dan gembira!
Saya merasakan selain usaha ini ada manfaat bersama saya juga mendapat kenalan-kenalan baru yang turut sama menyumbang dengan cara sendiri. Ternyata saya tak bersendirian kerana ramai yang memberi sokongan.
Sekurang-kurangnya saya juga dapat membantu dan mewakili mereka yang tak dapat keluar untuk memberi haiwan-haiwan ini makan.
Setiap hari pada pukul 5 petang saya akan keluar ke beberapa kawasan berhampiran dengan rumah yang jaraknya kurang daripada 3 kilometer untuk memberi haiwan-haiwan ini makan dan minum.
Biasanya makan kibbles dan air sahaja. Tetapi kalau ada rezeki sumbangan lebih, saya akan memberikan makanan basah dalam tin.
PERANCANGAN & NASIHAT
Salah seorang anak saya mengikuti kursus pemprosesan makanan di Kolej Vokasional. Saya berhasrt untuk membuka cat cafe suatu hari nanti dan mungkin boleh menggunakan kepakaran dia untuk merumuskan resipi makanan sihat untuk haiwan-haiwan ini.
Cat cafe itu nanti akan dikelilingi dengan petting zoo untuk kucing-kucing serta haiwan-haiwan terbiar. Kami juga akan merawat dan memberi haiwan-haiwan ini secara percuma kepada sesiapa yang berhajat untuk membela dengan penuh kasih sayang dan menganggap seperti ahli keluarga mereka.
Nasihat saya, jika ada kucing-kucing yang datang meminta makanan contohnya di kedai-kedai makan janganlah ditendang atau dimaki hamun. Sedekahlah sedikit kepada kucing apa yang kita ada. Percayalah kita tak akan rugi apa-apa. Sebaliknya pahala dan keberkatan yang kita akan dapat.
Haiwan-haiwan inilah yang sentiasa berzikir dan berdoa untuk kita. Kalau tak mahu memberi makan pun janganlah sampai menzaliminya kerana ia juga makhluk Allah SWT.
Sesiapa yang mahu membela kucing, tak perlu beli yang mahal dan keluarkan banyak wang. Saya sarankan ambil saja di jalanan kerana banyak yang cantik dan bersih.
Dengan pemberian vaksin berkala, pemakanan yang sihat serta vitamin yang sesuai dan kasih sayang yang secukupnya kucing-kucing ini boleh menjadi manja seperti haiwan idaman kita,” akhiri Janah yang merupakan ibu kepada tiga orang anak berusia antara 20, 18 dan 17 tahun.
Kredit Foto: Facebook Janah Ruhayu Jalal
Bella Kongsi Pengalaman Travel Solo Bas Ditahan Polis Mengesan Dadah Di Amsterdam
Persepsi sebuah perjalanan juga berbeza mengikut keperluan individu. Bagi Noornabilla Azemi, 29 tahun, sebuah perjalanan adalah menikmati keindahan sesebuah kawasan baharu dan menyingkap rahsia sejarah yang tersimpan rapi di kalangan penduduk tempatan. Perjalanan yang dirancang rapi juga menyediakan peluang untuk mengetahui cara hidup, makanan, budaya, adat dan bahasa masyarakat setempat. Menjejak kaki sendiri ke daerah yang dikunjungi sangat berbeza dengan melihat melalui gambar atau membaca semata-mata.
Menurut gadis yang lebih mesra disapa Bella ini, “Impian saya untuk melengkapi pengembaraan menawan 195 buah negara sebelum berusia 30 tahun. Setakat ini saya baru menjelajah ke Singapura, Thailand, Vietnam, Jepun, Korea Selatan, China, Laos, Kemboja, Dubai, Australia, United Kingdom, Netherlands, Jerman, Switzerland, Austria, Republic Czech, Hungary, France, Belgium, Denmark, Itali dan Sepanyol. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu diatur dan saya akan cuba sedaya-upaya untuk melengkapi kesemuanya. Saya masih mempunyai tiga tahun lagi untuk menyempurnakan impian tersebut.
Apabila mengembara secara solo kita tidak terikat dengan sebarang percaturan teman-teman dan boleh melakukan apa sahaja secara sendiri termasuk mahu menginap seberapa lama di sesebuah tempat. Saya tidak mempunyai ketentuan tertentu untuk tinggal berapa lama di sesebuah daerah. Kadang-kadang saya akan menetap di sana selama dua minggu dan ada juga sehingga tiga bulan lamanya. Semuanya bergantung kepada negara atau tempat yang dilawati,” ungkap pemegang Bachelor Engineering Technology Supply Chain Management, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini.
Sebuah perjalanan tidak hanya mencatat peristiwa indah dan sempurna semata-mata. Dalam sebuah lipatan sejarah tetap terpalit peristiwa pahit yang sukar dilupakan dan mendebarkan perasaan. Bella juga terpaksa mengharung peristiwa yang sukar dilupakan dan pasti terpateri kukuh dalam travelog perjalanan hidupnya. “Pengalaman pahit yang selalu menjadi masalah kepada saya adalah masalah bahasa. Kebanyakan negara tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan masih mengagungkan bahasa ibunda mereka. Mereka begitu bangga dengan bahasa pertuturan dan seakan tidak mahu langsung mempelajari bahasa Inggeris. Apabila tidak ramai yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris agak susah untuk berkomunikasi terutama untuk bertanya arah atau tempat yang ingin dituju.
Antara pengalaman yang sukar untuk dilupakan adalah apabila terpaksa bermalam di kaki lima. Pengalaman terpaksa tidur di kaki lima ini terjadi disebabkan saya terlepas kereta api yang sepatutnya dinaiki. Tiada hotel atau motel berdekatan memaksa saya untuk melelapkan mata seorang diri di kaki lima stesen kereta api sehingga pagi untuk menunggu perlepasan kereta api yang seterusnya. Ditambah pula dengan musim sejuk ketika itu maka menggigil kesejukan menusuk tulang sehingga pagi.
Namun, dalam banyak-banyak pengalaman, peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah apabila bas yang saya naiki dari Amsterdam ke Milan telah ditahan oleh pihak polis. Pada ketika itu saya seorang sahaja pelancong wanita dari Asia manakala yang lain pula adalah pelancong dari serata Eropah. Pihak polis tempatan telah menahan bas yang saya naiki dan menggeledah seluruh sudut bas tersebut.
Pihak polis sebenarnya telah mendapat laporan terdapat seorang penumpang yang membawa dadah. Saya terpaksa menanggalkan jaket, kasut dan stoking untuk tujuan pemeriksaan. Beg yang saya bawa juga turut diperiksa oleh pihak berkuasa. Selepas melalui pemeriksaan yang mendebarkan pihak polis telah menjumpai dadah dan ganja dibawa oleh dua orang lelaki.
Jantung berdegup pantas dan rasa ngeri menerpa apabila kedua-dua orang lelaki tersebut duduk betul-betul di hadapan kerusi saya di dalam bas. Alhamdulillah mereka tidak meletakkan apa-apa di dalam beg atau di tempat duduk saya. Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa cuaknya saya dan rasa hendak menangis mahu pulang ke Malaysia dengan segera,” ungkap Bella yang pernah melalui pengalaman ditahan oleh pihak imigresen ketika berada di Australia.
Menurut Bella sepanjang beberapa tahun berada di negara orang dia sangat beruntung kerana tidak pernah ditipu orang. Kerap juga dia mendengar keluhan rakan-rakan apabila ditipu oleh rakyat tempatan ketika melancong tetapi tidak bagi dirinya. Jika ada sekalipun hanya ketika sesi jual beli barangan.