“Sekian lama menunggu kehadiran si buah hati. Allah Maha Mendengar, dan saya yakin Allah itu sentiasa bersama kita yang selalu berdoa. Jika tertekan dengan pendapat orang, balaslah dengan senyuman. Untuk hati yang sedang diuji kesabaran, itu memang pahit pada awalnya. Namun percayalah, ia akan manis di penghujungnya. Terima kasih Allah untuk anugerah yang tidak ternilai ini.
Happy 1st Birthday “cukcham” Mak…Mak doa semoga Rahil menjadi anak yg soleh, penyejuk hati mak dan abah, berjaya bukan saja di duniawi tapi juga di ukhrawi..sebab ini negeri abadi kita tau nak. Nanti besar, solat jangan tinggal, hormat org tua, tolong orang yang susah, jangan sombong dan tinggi diri, sentiasa ingat Allah. Semoga Rahil sentiasa dalam Lindungan Allah. Mak sayangggg Rahil.”
Begitulah harapan seorang ibu buat zuriatnya yang baru meraikan ulangtahun kelahiran pertama. Nurul Hidayati Yahaya atau Ida, 37, isteri kepada pereka fesyen duo terkenal Rizmanruzaini iaitu Ruzaini Jamil berkongsi rasa gembira dan syukurnya di akaun Instagram.
Manakala Ruzaini juga berkongsi kesyukurannya bersama followers di Instagram dengan kapsyen berikut.
“Untuk Rahil, abah sangat sayang dengan Rahil. Hari ini tarikh hari lahir cheq, Abah doakan sentiasa menjadi khalifah yang terbaik didunia dan diakhirat. Panjang umur serta sihat selalu. Happy Birthday Wan Rahil.”
Majlis hari lahir Rahil diraikan dalam suasana sederhana namun meriah dengan kehadiran kenala rapat dan tak lupa Rizman serta isteri, Nurida Suraya dan anak mereka yang sangat adoreable, Rizqaa. Tema biru dipilih menjadikan majlis tersebut sangat sweet dan menenangkan jiwa!
5 TAHUN MENANTI ZURIAT
“Alhamdulillah setelah lama menunggu hampir 5 tahun, kami dikurniakan rezeki yang amat berharga dan bermakna. Rutin saya memang berubah 360 darjah selepas kehadiran Rahil. Namun, Allah SWT dah susun cantik perjalanan kerjaya dan kehidupan saya setelah memiliki zuriat.
Sekarang setiap kali habis waktu kerja saya akan terus pulang ke rumah. Waktu lunch pun saya akan pulang untuk menjenguk Rahil. Kalau dulu saya sering tidur lewat kerana nak siapkan assignment atau kerja pejabat, kini memang tidur awal kerana perlu tidur sekali dengan anak. Saya kekalkan work life balance
selepas kehadiran Rahil,” ungkap Ida yang berasal dari Perak dan bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian.RAHIL DILAHIRKAN PRA MATANG
Rahil adalah bayi pra-matang kerana lahir awal iaitu pada minggu ke-33. Due date sebenarnya pada 10 Disember 2020 tetapi dia lahir pada 26.
Pengalaman melahirkan Rahil membuatkan saya insaf. Sampai terfikir bagaimana ibu saya menanggung sakit sebanyak 7 kali untuk lahirkan anak-anaknya dulu. Saya sangat bersyukur kerana di saat Allah SWT ‘ambil’ semula ibu ketika saya hamil 7 bulan, Allah SWT hadirkan ibu mentua yang sangat penyayang. Beliau menjaga menantunya ini seperti anak sendiri.
Saya percaya semua ibu bapa sentiasa mengharapkan anak mereka menjadi insan cemerlang dalam akademik serta memiliki sahsiah terpuji, kukuh pegangan agama dan mendapat kerjaya yang bagus kelak. Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan soal agama dan akademik. Arwah ibu dan Abah tidak berkompromi bab solat, mengaji dan akademik. Semasa kecil, arwah Abah mewajibkan kami adik beradik solat berjemaah waktu Subuh, Maghrib dan Isya’. Saya juga khatam al-quran dengan arwah ibu.
Saya beritahu suami kalau boleh nak terapkan amalan solat berjemaah seperti arwah Abah ajar dulu. Kalau boleh juga, Rahil khatam al-quran dengan saya atau suami. Jadi, sejak mengandung kami mula belajar ilmu tajwid, bacaan dalam solat yang betul sebagai persiapan mendidik Rahil. Saat itu baru tersedar, banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Benarlah, kadang kala teguran Allah tu dihantar melalui anak.
Begitulah jua harapan kami terhadap Rahil. Paling penting, doa kami agar Rahil membesar sebagai insan soleh dan berbakti bukan saja kepada ibu bapa atau keluarga bahkan buat masyarakat serta negara.
Kami akan memberikan pendidikan terbaik buatnya dengan sifat-sifat mahmudah yang dapat membentuk dirinya ke arah kesempurnaan hidup di duniawi dan ukhrawi. Kami juga sepakat untuk memberi kebebasan kepada Rahil untuk memilih minatnya sendiri dalam kerjaya,” kongsi Ida yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi.
Ruzaini dan Ida bernikah pada 5 Februari 2016 serta memilih tema Bollywood dan tradisional Melayu untuk majlis resepsi.
Kredit Foto: Instagram @ida_deqda @ruzaini.jamil @rizmanruzaini
This website uses cookies.