9 Februari lepas genap 48 tahun usia Erra Fazira. Menghampiri umur 50 tahun namun keanggunan jelitawan ini tetap memikat pandangan peminat sampai sekarang. Mungkin juga kerana personaliti Erra yang suka tersenyum dan happy go lucky hingga jelas terpancar di raut wajah.
Sepanjang bekerjasama dengan selebriti ini, tak dinafikan Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek seorang yang mesra, ceria dan komited. Pendek kata, berurusan dengan Erra memang sangat menyenangkan!
Di samping sibuk dengan tawaran berlakon dan mengacara, aktres filem Maria Mariana ini tidak lupa untuk menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Ada saja waktu terluang, pasti Erra akan pergi beriadah seperti berbasikal bersama teman-teman dan anak tersayang, Engku Aleesya.
Tak hairanlah dia mampu mengekalkan susuk tubuh langsing dan kekal berstamina. Malah, peminat Erra sendiri mengetahui figura ini seorang wanita yang berjiwa lasak dan aktif bersukan.
View this post on Instagram
Menjengah media sosial Erra, ulang tahun kelahirannya baru-baru ini diraikan bersama kenalan rapat. Antaranya Chef Zam, pelakon Betty Benafe dan Tunku Hanis. Erra menerima kejutan daripada mereka ketika mengadakan sesi jualan koleksi tudung Heyrra by Erra Fazira secara live.
Rambang mata tengok koleksi terbaharu tudung Heyrra. Lebih menarik, setiap rekaan dinamakan sempena tajuk lagu-lagu popular dendangan Erra Fazira seperti Pertemuan, Hanya Di Mata, Ingin Tahu dan Ya atau Tidak.
Sementara itu, mengimbas kembali temu bual Nona bersama Erra ketika dia menjadi penghias cover Nona Oktober 2018, aktres ini mendedahkan jika tidak bergelar selebriti dia mungkin menjadi ahli perniagaan.
“Saya rasa saya akan menjadi seorang businesswoman. Sebab saya suka berniaga. Dari saya kecil lagi saya dah berniaga. Kecil-kecil dulu saya pergi sekolah.. saya berniaga keropok. Sayalah yang menggoreng, cabut sendiri ubi kayu dan segala-galanya saya buat sendiri.”
Disifatkan sebagai seorang wanita yang berdikari, Erra yang kini berstatus ibu tunggal enggan melihat perkara itu sesuatu yang menyukarkan. Sebaliknya, melontarkan kata-kata semangat ini buat semua wanita yang melalui nasib sama seperti dirinya.
“Jangan menghempas diri.. kita kena bangun. Kita tak ada orang lain untuk kita nak bersandar. Jadi, semua sandaran tu hanya kepada kita. Maka bangunlah. Kita ketepikan tanggapan orang lain terhadap kita. Tapi kadang-kadang yang paling sakit itu adalah tanggapan daripada keluarga atau saudara-mara sendiri.
Tapi tak apa, itu semua cliche. Kita buktikan bahawa ibu tunggal boleh membesarkan anak, boleh hidup dengan baik.. boleh didik anak dengan baik. Yang penting, kita balance dunia akhirat.”