Salah satu daripada keadaan mata tidak normal yang kerap berlaku adalah strabismus, atau lebih dikenali sebagai mata juling. Nona mendapatkan penjelasan Pakar Perunding Oftalmologi dan Oftalmologi Pediatrik dari Sunway Medical Centre Velocity, Dr Fiona Chew Lee Min, tentang masalah ini serta rawatan yang patut dilakukan.
Menurut Dr Fiona, mata juling berlaku disebabkan ketidakupayaan otot mata untuk menarik bola mata dengan sekata. Ini kemudian akan membawa kepada keadaan di mana mata ditarik dalam satu arah atau ke arah yang lain, dengan itu mewujudkan satu ketidakseimbangan pada mata.
“Mata juling adalah satu keadaan di mana jajaran mata tidak lurus. Terdapat banyak jenis mata juling bermula dari esotropia (mata menghala ke dalam), eksotropia (mata menghala ke luar), mata juling menegak seperti hipertropia
(mata menghala ke atas), hipotropia (mata menghala ke bawah) dan juga mata juling berputar (mata berputar).”Faktor Utama
Apakah cara untuk menentukan jika seseorang mengalami masalah ini? Kata Dr Fiona, terdapat tiga cara yang dilakukan untuk mengesan mata juling.
“Pertama, kita lihat pada seseorang untuk melihat jika matanya adalah lurus. Jika tidak maka orang itu ada mata juling. Kedua, kita boleh melihat pada kepala seseorang untuk melihat sama ada ia berpusing ke kiri atau kanan secara semula jadi atau secara abnormal ketika berjalan. Ketiga, lihat secara dekat muka seseorang itu. Jika satu sisi tampak jelas lebih terbentuk berbanding sisi yang satu lagi, ia juga adalah satu tanda kewujudan mata juling,” beliau berkata.
RAWATAN
Pembedahan hanya merupakan satu daripada pelbagai rawatan yang boleh dipilih oleh pesakit yang menghadapi mata juling untuk memperbetulkan keadaan mereka. Terdapat juga pelbagai pengubahsuaian dalam gaya hidup yang boleh dilaksanakan secara serentak untuk merawat keadaan ini.
“Mengurangkan masa penggunaan peralatan elektronik, menghabiskan lebih banyak masa di luar, memakai cermin mata khas atau kerap menjalani senaman khas juga boleh membantu menambahbaik dalam mengawal masalah mata juling.
Masalah mata juling boleh muncul pada sebarang usia dari peringkat yang masih muda sehingga tua. Jangan takut untuk berjumpa doktor mata anda, lebih awal anda merawatnya, lebih baik hasilnya,” kata Dr Fiona.
Rawatan terhadap masalah mata juling membantu pesakit agar kembali menikmati penglihatan yang baik serta meningkatkan konsentrasi mereka. Prospek kerjaya juga pasti lebih meyakinkan kerana mereka akan kelihatan seperti individu normal yang lain.
“Sebelum ini ramai yang memikirkan bahawa mata juling tidak dapat dirawat selepas zaman kanak-kanak berlalu. Namun penyelidikan saintifik dan kemajuan dalam pembedahan telah menunjukkan bahawa otak manusia adalah elastik dan boleh menyesuaikan diri, oleh itu mata juling yang dialami di kalangan kanak-kanak lebih tua dan juga di kalangan orang dewasa sehinggalah orang tua masih lagi boleh dirawat.
Perkara paling penting adalah untuk mendapatkan rawatan awal sebaik sahaja mata juling dikesan dan jelas dilihat, atau didapati telah mengganggu fungsi visual yang normal,” nasihat Dr Fiona.
“Rawatan mata juling sebenarnya mengubah kehidupan seseorang. Kanak-kanak dengan mata juling mempunyai penglihatan tiga dimensi yang berkurangan atau tidak ada langsung. Ini bermakna bahawa mereka tidak mampu untuk menganggarkan jarak dengan tepat. Juga, lapangan penglihatan mereka turut berkurangan, dan mereka mungkin menghadapi masalah kelambatan atau kelewatan dari segi pencapaian diri.
Disamping itu, oleh kerana penampilan luaran mereka nampak agak abnormal, kanak-kanak ini mungkin menghadapi risiko kemurungan, di samping berhadapan dengan masalah harga diri yang berkurangan dan juga lambat-laun menjadi anti-sosial,” terangnya.
This website uses cookies.