Penyanyi veteran dan legenda Zaiton Sameon yang dahulu pernah popular dengan lagi Menaruh Harapan kini lega apabila dirinya diberikan status Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori fizikal dan mengharapkan ianya dapat membantu dirinya mengharungi kehidupan mendatang.
Zaiton yang kini berumur 66 tahun berharap status yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, memberi sinar baharu dalam kehidupannya. Malah pemberian status tersebut membolehkan dia layak memohon untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, status OKU ini melayakkan saya untuk mendapat bantuan tersebut,” katanya selepas majlis penyerahan kad OKU yang turut dihadiri Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Che Samsu Zuki Che Noh, petang tadi.
Zaiton layak menerima status OKU kategori fizikal selepas disahkan mengalami trauma kecederaan otak oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya. Pada 1990, Zaiton mengalami kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan anaknya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia, manakala dia mengalami kecederaan parah di kepala hingga hilang ingatan sementara.
Penyanyi itu juga memaklumkan, status tersebut memudahkannya untuk menjalani kehidupan yang selama ini serba kekurangan kerana tiada tempat bergantung.
“Saya tidak punya siapa-siapa dan hanya bergantung harap kepada anak angkat, Che Sikah Ismail yang menggalas tanggungjawab menjaga saya.
Sementara itu, Che Samsu memaklumkan, pemberian status tersebut berdasarkan pengesahan pihak hospital tentang keadaan penyanyi itu selepas pemeriksaan kesihatan dibuat. “Pihak hospital mengesahkan, Zaiton layak menerima status tersebut selepas pemeriksaan kesihatan ke atasnya dilakukan,” katanya.
Sumber: Utusan | Gambar: Facebook Che Sam
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***