Sebutir berlian merah jambu mempunyai warna dan kecerahan yang tiada tolok bandingnya dijangka dapat dilelong pada harga lebih AS$35 juta. Ia bersamaan RM154.7 juta dalam acara lelongan yang bakal diadakan di Bandar Raya New York Jun ini, lapor stesen penyiaran CNN.
Berlian merah jambu tersebut mempunyai berat 10.57 karat atau 2.114 gram amat istimewa dan unik. Ia merupakan berlian amat jarang ditemui dan diberi nama The Eternal Pink . Ia bakal dilelong empat tahun selepas ia ditemui di sebuah lombong milik syarikat De Beers di Bostwana.
Menurut firma lelongan Sotheby’s, selain dikelaskan secara rasmi sebagai berwarna ‘merah jambu keunguan’, ia adalah berlian warna berkenaan yang paling berharga pernah diketengahkan untuk sesi lelongan.
Ketua Barang Kemas Sothey’s bagi rantau Amerika, Quig Bruning berkata, berlian tersebut menyertai ranking berlian paling penting dalam sejarah.
“Warna ini adalah warna merah jambu paling cantik yang saya pernah lihat atau dijual di pasaran,” katanya.
Harga berlian sebahagian besarnya ditentukan oleh apa yang dikatakan oleh pakar-pakar gemologi sebagai empat C iaitu karat (carat), potongan (cut), warna (colour) dan kejernihan (clarity).
Berlian tersebut akan dipamerkan di Hong Kong pada Sabtu ini dan kemudian dipamerkan pula di beberapa bandar utama lain seperti Dubai, Singapura dan Geneva sebelum dibawa ke New York untuk acara lelongan.
Rekod lelongan berlian merah jambu atau berlian berwarna lain yang digilap dipegang oleh berlian seberat 59.6 karat (11.92 gram) yang dijual pada harga AS$71.2 juta (RM314.9 juta) dalam lelongan Sotheby’s di Hong Kong pada 2017. – Agensi.
Sumber: Kosmo