Meskipun sudah lebih empat dekad berkahwin namun kemesraan Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd dan suami tercinta, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin tidak pernah pudar. Ke mana saja pergi pasti kelibat suami yang juga usahawan Mydin berkenaan setia berada di sisi suri hati. Pendek kata, macam kekasih sedang hangat bercinta!
Kesederhanaan Datuk Wira Dr Siti dan Datuk Wira Dr Ameer dari segi penampilan dan gaya hidup sememangnya menjadi inspirasi ramai. Walau sudah bergelar usahawan berjaya dan memiliki 68 cawangan Mydin di seluruh negara namun pasangan ini selesa dengan gaya hidup santai.
Artikel https://www.nona.my/suami-penyayang-humble-prihatin-datuk-dr-ameer-ali-optimis-bangunkan-mydin/
Bahkan figura korporat tanah air tersebut tidak kisah menggayakan koleksi baju Mydin walaupun berharga RM30. Yang penting, selesa dan cantik dipakai.
Tahun ini usia perkahwinan Datin Wira Dr Siti dan Datuk Wira Dr Ameer mencecah 45 tahun. Pasangan ini dilaporkan mendirikan rumah tangga pada tahun 1979 selepas berkenalan ketika menuntut di Western Michigan University, Amerika Syarikat.
Sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-44 tahun lalu, Datin Wira Dr Siti berkongsi momen indah di samping suami dan menitipkan ucapan romantis.
“Spending time with you will always be top of my bucket list! Thank you so much for your thoughtfulness, kindness and countless little things you do for me and our families! Happy 44 years wedding anniversary dear.”
Memetik laporan laman web In Real Life, Datin Wira Dr Siti sewaktu kecil gemar meluangkan masa dengan persekitaran kampung di rumah datuk dan neneknya di Melaka. Datuknya ialah pengusaha padi yang juga imam.
Datin Wira Dr Siti melanjutkan pengajian ke luar negara dan menghabiskan masa selama lima tahun di Amerika Syarikat. Ketika masih bergelar pelajar, dia turut membuat kerja sambilan seperti menjaga budak dan kerja kerani.
Selepas tamat pengajian, dia kembali pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di universiti tempatan.
Pada akhir tahun 70an, Datin Wira Dr Siti bertemu suaminya yang ketika itu merupakan presiden Malaysian Student Organisation. Akui wanita bijak ini, dia terpikat dengan bakat kepimpinan suami selain sikap baik hatinya.
Sejurus menamatkan pengajian ijazah, mereka pulang ke Malaysia dan berkahwin pada 1979. Sah bergelar suami isteri, kedua-duanya meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana di Amerika Syarikat.
Mereka menerima kehadiran anak sulung pada tahun 1982 di Kuching, Sarawak dan anak kedua lahir pada tahun 1986.
Sewaktu menimang cahaya mata kedua, suami sudah pun membuka cawangan ketiga Mydin di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Akui Datin Wira Dr Siti Hawa, dia bersyukur dikurniakan suami yang memahami dan bertanggungjawab. Ketika dia melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD), Datuk Wira Dr Ameer banyak tugas mengurus rumah dan menjaga anak.
Pernah rasa putus asa untuk menamatkan pengajian, dia bagaimana pun bertuah kerana sokongan tidak berbelah bahagi suami tercinta yang menjadi kekuatan buat dirinya.
Datin Wira Dr Siti Hawa juga pernah menulis buku pertamanya ‘Strategi Belajar’ dan buku ‘Pengantar Psikologi’. Dia turut meraih anugerah The Best General Book Award, kategori Biografi Korporat di National Book Awards 2014.
Menelusuri perkembangan empayar niaga syarikat pemborong dan peruncit ternama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) sudah pun 67 tahun bertapak kukuh di pasaran.