Pasti ramai generasi Y yang membesar dengan program 3R, malah kenal sungguh salah seorang pengacaranya iaitu Kartini Kamalul Ariffin. Mesra disapa Tini, ibu penyayang dan pintar ini menggemparkan peminat apabila berkongsi mengenai dirinya yang kini disahkan menghidap kanser payudara tahap satu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Tini yang kini berusia pertengahan 40-an berkata dia bersedia untuk berkongsikan mengenai perkara itu selepas dapat mengawal emosi.
“Saya dah simpan berita ini selama lebih kurang dua bulan. Tak pasti sama ada saya nak kongsikan atau sekadar buat tak tahu seperti benda ini okay, atau benda ini tak ada apa-apa pun.
Tapi, saya terpanggil nak kongsikan sebab saya tahu, di luar sana, ada ramai wanita yang melalui perjalanan ini sama seperti saya. Saya harap, perkongsian saya ini bermanfaat.
Saya sekarang sudah dapat mengawal emosi, memproses berita ini, mendapatkan maklumat dan saya di situasi yang lebih baik sekarang.” Tini
Sejak dua bulan lalu, Tini disahkan menghidap barah payudara. Beliau hanya sedar kewujudan ketulan di payudara ketika sedang mandi. Tanpa membuang masa, Tini terus ke hospital untuk melakukan pemeriksaan pada keesokan harinya.
Tini juga mengakui bahawa dia sering melakukan pemeriksaan Mammogram dan Ultrasound setiap tahun sejak memasuki usia 40-an sebelum menyedari kewujudan ketulan itu.
“Saya secara konsisten, melakukan Mammogram dan Ultrasound setiap tahun sejak saya melangkah ke usia 40 tahun. Tahun lalu, tak ada apa-apa.
Sedar akan kewujudan ketulan itu, satu perkara. Tak tahu apakah benda itu, satu lagi perkara. Tak keruan saya dibuatnya.
Cadangan pertama, saya perlu jalani pembedahan dan sampel ketulan itu akan dihantar ke makmal untuk diuji. Kalau ia kanser, doktor akan teruskan dengan prosedur seterusnya.
Saya seterusnya meneruskan dengan biopsi selepas meneliti cadangan kedua. Saya nak tahu sama ada ketulan atau ketumbuhan itu adalah benda biasa atau yang akan merosakkan.
Tak ada pembedahan besar, cuma ambil sampel pertama dan hantar ke makmal. Langkah ini lebih sesuai dengan situasi pada ketika itu, di mana, saya agak tertekan selepas mendapat tahu mengenai wujudnya ketulan itu.”
Menurut Tini lagi, rata-rata mengatakan dia bertuah kerana dapat mengesan kanser tersebut lebih awal dan terus bertindak.
“Penantian untuk keputusan biopsy itu mengambil masa tiga hari bekerja. Saya terus berdoa dan berfikir secara positif bahawa ketulan dan ketumbuhan itu adalah bukan benda yang buruk. Ramai yang mendoakan saya agar semuanya okay. Saya sangat bersyukur.
Allah tahu segalanya dan keputusannya, ia adalah kanser tahap satu. Semua yang berada di hospital berkata, saya bertuah sebab saya dapat kesan mengenainya lebih awal dan terus bertindak. Bayangkan, kalau saya simpan sendiri dan anggap bahawa ia adalah ketulan biasa?” Tini
Perkongsian Tini mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya. Ramai yang berkongsi pengalaman, nasihat dan panduan untuk mengharungi fasa ini dengan tenang. Perkara ini membuatkan Tini sangat terharu dan beliau sendiri reda menerima takdirnya.
Antara yang dilakukan adalah berusaha mengawal emosinya dengan baik menerusi penulisan. Dengan ilmu dan kesabaran, insyaAllah Tini pasti mampu berdepan dugaan hidup ini dengan sebaik mungkin!
Antara coretan Tini yang dikongsikan…
This website uses cookies.