Subuh tadi, Makcik Kiah bangun tersenyum syukur. Menarik nafas panjang dan menggerakkan tubuh manja. Alhamdulillah untuk satu hari lagi kehidupan, terima kasih Allah untuk nafas hari ini.
Makcik Kiah bangun menunaikan kewajipan solat Subuh dengan tenang tanpa perlu memikirkan hari semalam yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga, berfikir tentang esok yang belum tentu kedatangannya.
Selesai solat Subuh, Makcik Kiah masih duduk di sejadah sambil menadah tangan berdoa, berzikir dan membaca serta memahami Al-Quran dengan sekhusyuknya kerana hari ini adalah harinya, maka Makcik Kiah manfaatkan hari itu sebaik-baiknya.
Makcik Kiah anggap masa hidup hanya hari ini sahaja, seakan-akan dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Tidak mahu tersepit di antara masa lalu dengan pelbagai rasa sedih dan kegundahan atau memikirkan masa depan belum pasti dan mungkin menakutkan.
Hari ini, Makcik Kiah mulai membahagi waktu dengan bijak. Jadikan setiap minit itu seperti ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun, tanamkan segala kebaikan sebanyak-banyak pada hari itu. Makcik Kiah menyusun pelbagai aktiviti untuk pastikan segalan keindahan dan kebaikan itu ada pada hari ini.
Dengan rasa itu membuatkan hidup Makcik Kiah merasa aman dan tenteram, berdoa sungguh-sungguh untuk memohon keampunan Allah, menghabiskan masa bersama keluarga dengan tugas-tugas memasak dan mengemas rumah, dengan tangan terbuka dan rasa syukur.
Makcik Kiah tanamkan semangat positif dalam diri bahawa hari ini adalah miliknya. Bersyukur dapat makan nasi yang harum baunya, maka tidak lagi berfikir tentang nasi yang telah dimakan semalam.
Ada juga Makcik Kiah terfikir tentang apa nak dimasak esok, padahal esok masih angan-angan. Lalu Makcik Kiah terus menikmati nikmat hari ini dengan semangat dan tekad. Prinsip inilah membuatkan Makcik Kiah menyibukkan diri setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan.
Makcik Kiah tidak lagi membuang masa dengan tidak berfaedah, bergosip tentang artis bersama teman, tidak berkongsi fitnah atau perkara negatif melalui talian WhatsApp atau membenci orang lain. Kerana hanya hari ini, Mak Cik tidak mahu menyerabutkan keadaan. Biar semua berlalu dengan tenang dan bermakna untuk dirinya dan orang tersayang.
Hari ini juga, Makcik Kiah manjakan diri dengan membersihkan diri, jaga penampilan agar kelihatan cantik dan rapi. Pada waktu yang sama Makcik Kiah sempat membuat sumbangan derma melalui Tabung Prihatin COVID-19.
Makcik Kiah amat menghargai kehidupan hari ini dan sempat mengucapkan pada dirinya, “Wahai masa lalu yang telah selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi pemergianmu. Aku tidak mahu termenung untuk mengingati segala yang berlaku. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tidak akan kembali lagi.
Wahai masa depan yang belum pasti kemunculannya. Aku hanya mampu berdoa yang sebaik-baiknya bila ketibaan itu dan pasti akan bersyukur kala Allah memberi aku nafas untuk hadapi kehidupan seterusnya. Dan aku tanamkan dalam diri untuk buat yang terbaik pada hari-hari yang bakal aku jalani, insyaAllah,” bicara Makcik Kiah sambil menutup buku bertajuk Don’t Be Sad yang menjadi inspirasi dalam hidupnya. Kiffy Razak
Sumber Ilustrasi: @NPR
This website uses cookies.