Hari Wanita Sedunia; “Wanita Bahagia Mampu Bawa Kebahagiaan Sekelilingnya,” Raja Permaisuri Agong

Sempena dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada hari ini, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah bertitah dan mengingatkan setiap wanita agar menyayangi dan menghargai diri sendiri untuk menjadi seorang insan yang hebat dan bahagia.

Foto: Instagram @istana_negara

Baginda bertitah wanita perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental diri sendiri serta keluarga kerana seorang wanita yang bahagia akan mampu membawa kebahagiaan kepada semua orang di sekelilingnya.

 “Wanita waja mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT itulah istimewanya kita wanita,” titahnya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial rasmi Istana Negara sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini.

Foto: Facebook Istana Negara

Jelas Baginda, kekuatan wanita terserlah ketika pandemik COVID-19 yang melanda negara kini apabila mereka mampu bangkit serta cekal mengatasi sebarang cabaran, sesuai dengan tema sambutan Hari Wanita tahun ini – Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.

Foto: Instagram @istana_negara

“Di sinilah kita melihat kekuatan seorang insan yang bergelar wanita. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, wanita tetap mampu bangkit dan cekal serta berjaya daripada cabaran tersebut,” titah Raja Permaisuri Agong.

Foto: Facebook Istana Negara

Baginda turut menyeru supaya masyarakat menghargai wanita, menyayangi, menghormati dan berlemah lembut dengan golongan wanita.

“Dengan ini, anda pasti mampu membawa kebahagiaan kepada semua insan di sekelilingnya. Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan kita dan keluarga. Sejahtera wanita, sejahteralah negara,” titah Raja Permaisuri Agong.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed