Gaya Hidup

Hasrat Rai Anniversary Ke-10 Terbantut, Che Ta Positif Covid-19!

Hasrat Che Ta atau Rozita Che Wan meraikan ulang tahun perkahwinan ke -10 pada 11 Disember ini terbantut selepas disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.

Isteri kepada Zain Saidin itu bagaimanapun reda dengan ujian menimpanya.

“Ikutkan semua persiapan nak raikan ulang tahun perkahwinan ke -10 itu sudah siap. Jemputan, lokasi majlis, solekan, busana pun sudah diatur.

“Tapi apakan daya, pada 8 Disember lalu saya melakukan ujian kendiri COVID-19 dan keputusannya positif. Nampaknya gelombang baharu virus ini datang kembali bukan omong kosong.

“Saya pun tak mahu risikokan diri, keluarga dan tetamu untuk majlis sambutan perkahwinan ini. Jadi buat sementara waktu, tunda dulu majlis berkenaan. Biar semuanya baik-baik dulu,” katanya.

Ditanya mengenai keadaannya kini yang melakukan kuarantin kendiri di banglo mewah di Damansara, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui keadaannya sedikit lemah.

“Nak tidur pun susah. Sakit kepala rasa macam nak pecah otak. Saya pun batuk berterusan macam nak terbelah dada.

“Pada 9 Disember lalu, saya buat lagi ujian kendiri COVID-19 dan masih positif. Harap semua akan baik-baik saja selepas ini.

“Jadi kita jangan ambil mudah perihal virus ini yang belum lagi ‘nyah’ dalam hidup kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta baru saja selesai penggambaran program masakan Cuit Cuit Che Ta musim ketiga yang akan disiarkan di TV Okey bulan Ramadan depan.

“Kali ini, saya mengendalikan program 30 episod itu bersama suami tercinta dengan kehadiran tetamu dalam kalangan artis sebagai ‘chef’ masakan.

“Selepas itu, saya akan jadi juri program The Mask Singer musim keempat. Selain itu saya akan lancar produk terbaharu ByRCW awal tahun depan,” dedahnya yang turut menerima anugerah dari Bumiputera Business Excellence Award 2023.

Setakat ini, Zain dan anak perempuan Che Ta iaitu Aaisyah Dhia Rana negatif Covid-19. Moga aktres jelita ini segera sembuh dan rumah tangga Che Ta berkekalan sampai syurga.

Share
Published by
Suzi