Hasrat Tak Direstui, Sarah Ismail Sebak Tak Mampu Buktikan Kejayaan Kelas Vokal Pada Arwah Ayah

Impiannya dalam bidang perniagaan mungkin berbeza dari mereka yang lain. Bukan mengejar kepuasan dengan menjual produk kecantikan atau makanan tetapi mempertaruhkan vokal sebagai produk dan brandingnya. Maisarah Binti Ismail (Sarah), 34 tahun merupakan seorang guru vokal dan underground singer. Memiliki Diploma, Degree dan Master Degree in Music National Academy of Arts Culture and Heritage (ASWARA).

Muzik itu indah, mampu membuatkan siapa sahaja tersenyum. Sarah Ismail, mempunyai impian besar dalam bidang perniagaan dengan menyimpan cita-cita untuk mempunyai sebuah akademi vokal di masa hadapan. “Saya ingin menjadi seorang speaker terbaik dengan meletakkan branding jenama saya sebagai seorang guru vokal terkenal. Saya sedang berusaha ke arah itu agar dapat menjadi inspirasi kepada orang lain mengenai perniagaan kelas vokal saya ini.

Impian saya suatu hari nanti, saya ingin mempunyai akademi sendiri dan menganjurkan ceramah terbesar di Malaysia dengan membariskan guru-guru vokal hebat dan mereka adalah kekuatan dalam empayar perniagaan saya untuk terus berkembang ke seluruh Malaysia, Brunei, Sabah dan Sarawak. Mungkin ke luar negara! Why not…” ujar Sarah Ismail yang melaksanakan aktiviti vokal menerusi one-to-one dan group session secara online dalam keadaan pandemik ini.

“Inilah cabaran terbesar saya dalam keadaan sekarang, semua pengajaran hanya diberikan atas talian. Agak sukar sebenarnya terutama dalam topik vokal yang memerlukan tunjuk ajar secara fizikal, dari segi penafasan dan nyanyian. Lebih menyedihkan apabila jumlah pelajar semakin berkurang kerana faktor hilang pekerjaan dan tidak mampu membayar yuran walaupun saya telah menurunkan harga yurannya,” jelas Sarah yang merasakan pembelajaran secara online ini tidak memberi kepuasan kepadanya sebagai seprang guru vokal.

Finalis Pencarian Nona Superwoman, Sarah Ismail terus berbicara tentang latar belakang kerjayanya, “Saya mulakan perniagaan kelas vokal ini melalui media sosial tanpa berfikir apa-apa. Sekadar untuk mencari rezeki secara sederhana dan membantu mereka yang memerlukan khidmat saya. Saya tidak mempunyai latar belakang perniagaan malah pelanggan iaitu student pun tiada. Namun saya beranikan diri untuk meneruskan perniagaan bermodalkan perkhidmatan ini.

Kemudiannya ada juga seorang dua yang tampil ingin menggunakan khidmat saya. Saya mengambil keputusan untuk sewa studio, walaupun kadang-kadang saya tidak memperoleh untung langsung. Tetapi saya tidak kisah tentang perkara tersebut, bagi saya ia adalah modal untuk buat content di media sosial bagi memperoleh lebih ramai pelanggan atau student. Alhamdulillah dengan content yang saya buat, ada beberapa artis mula notis kewujudan kelas vokal saya.

Tidak berapa lama kemudian, saya berpindah ke studio lain. Kelas vokal saya mula menerima sambutan di kalangan penyanyi amatur dan perniagaan saya semakin berkembang dengan cara urusan marketing saya tersendiri. Sekarang kelas vokal ini telah berusia 7 tahun. Saya berharap dengan penyertaan saya di dalam Rancangan Realiti Pencarian Nona Superwoman ini dapat mengajar saya lebih mendalam tentang dunia perniagaan, membuka lebih banyak peluang untuk saya mengenali mereka yang sukses dan tentunya ia adalah salah satu branding buat saya dan kelas vokal,” bicara Sarah Halim sambil tersenyum manja.

Kala menyentuh tentang pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya, “Saya seorang yang independent. Bukan bermakna saya sombong dan ego, cuma saya dididik oleh Mama untuk tidak menyusahkan orang lain. Lalu saya bangkit menjadi diri saya yang kental, biarpun ada di kalangan teman yang membuatkan saya down. Saya tidak peduli dengan suara negatif, terus keep going tanpa menoleh ke belakang.

Sebenarnya, dari awal pembabitan saya buka kelas vokal ini tidah direstui oleh arwah ayah. Katanya tiada jaminan masa hadapan yang cerah. Biasalah orang tua biasanya nak yang terbaik buat anak mereka. Arwah ayah cakap begitu sebab beliau pernah gagal dalam perniagaan dan dia tidak mahu saya mengikut jejak langkahnya.

Tetapi saya tetap buat juga, buka kelas vokal. Namun, ayah pergi dahulu meninggalkan saya. Saya sedih, kecewa dan terkilan arwah ayah tak sempat nak rasa bangga dengan pencapaian yang saya peroleh sekarang. Bila teringat peristiwa ini, pasti air mata saya mengalir,” ujar Sarah Ismail.

Kata akhir, “Saya masih belajar dalam dunia perniagaan. Kekuatan dan ilmu vokal saya adalah aset terbaik untuk perniagaan ini terus maju ke hadapan. Saya tutup mata dengan segala dugaan, saya tutup telinga dengan segala kata negatif. Yang penting saya tahu ke mana arah tuju yang ingin saya capai,” bicara Sarah Ismail yang bakal menemui anda semua menerusi Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.

Share
Published by
KR