Hati-Hati, 4 Kawasan KL Ini Dikenalpasti ZON MERAH COVID-19!

Setakat semalam, 22 Mac 2020 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 123 kes terbaharu berkaitan Covid-19 menjadikan kes keseluruhan kes jangkitan itu seramai 1,306 orang. Daripada jumlah itu, Malaysia telah mencatatkan 10 kematian.

Bimbang dengan pertambahan angka akibat virus ini, Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Tan Sri Annuar Musa tampil membuat siaran langsung sidang media menerusi laman Facebooknya semalam. Daripada data yang diterima, Tan Sri Annuar empat kawasan di Kuala Lumpur telah dikenalpasti sebagai Zon Merah Covid-19.

Jelasnya, kawasan yang terlibat adalah Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras. Merujuk statistik yang dikeluarkan KKM bertarikh 21 Mac 2020, Lembah Pantai dilaporkan mempunyai 90 kes jangkitan, Titiwangsa dengan 41 kes, Kepong 24 kes diikuti Cheras 11 kes. Berdasarkan taburan kes Covid-19 di Malaysia ini juga, Petaling Jaya merupakan lokasi paling tinggi dijangkiti virus ini dengan 96 kes.

Menerusi kenyataan Tan Sri Annuar Musa, “Kawasan-kawasan ini akan diberi pemantauan yang lebih rapi terutama di mana tempat-tempat dan sekitar kejadian yang telah direkodkan dari pemerhatian akan diberi perhatian secara lebih intensive.”

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) di lebih 40 ribu rumah pangsa di Wilayah Persekutuan diseru memainkan peranan menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan. JMB dituntut menasihati meminimumkan pergerakan penduduk dan memastikan kebersihan persekitaran terutama di bahagian lif.

Selain itu, JMB juga digalakkan membantu menguruskan mana-mana penghuni yang uzur khususnya mereka yang menunjukkan simptom Covid-19 untuk di bawa menjalani ujian saringan kesihatan di klinik atau hospital berdekatan. Selain itu, Tan Sri Annuar turut melahirkan rasa kurang puas hati dengan penjarakan sosial di beberapa tempat di Kuala Lumpur semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan sejak 18 Mac lepas hingga 31 Mac depan.

Katanya, “Saya mendapat maklumat di Pasar Chow Kit, di kedai tertentu di kawasan Brickfields dan juga di Selayang… pematuhan ini belum begitu memuaskan. Jadi saya menyeru dan merayu kepada operator berkenaan supaya mengambil langkah-langkah untuk memastikan arahan dan panduan yang diberikan itu dapat diikuti sepenuhnya.”

Kerjasama daripada pihak pasaraya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperlukan untuk memastikan perkara tersebut dapat dijayakan bersama. Selaku individu yang diberi kepercayaan untuk mengurus Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar turut memaklumkan terdapat 11 pusat kuarantin di Wilayah Persekutuan akan mula digunakan hari ini yang dikelolakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata pusat itu akan menempatkan sebahagian jemaah tabligh yang kini dikuarantin di Masjid Sri Petaling. Prihatin dengan keadaan penduduk terutamanya mereka yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini, Tan Sri Annuar Musa memberikan khabar gembira berikut.

3 Tindakan Segera Menteri Wilayah Untuk Covid-19

1. Pengecualian sewa 1 bulan untuk peniaga di premis DBKL

2. 806 orang yang dikuarantin di Masjid Sri Petaling akan ditanggung makan dan minum dengan perbelanjaan sejumlah RM300 ribu

3. Lebih 500 orang petugas DBKL yang bergaji hari akan dibayar seperti biasa sebagai ehsan walaupun 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan

.

 

 

IKLAN
Share