Bersenam sememangnya aktiviti riadah yang sihat dan amat digalakkan. Melakukan aktiviti senaman berintensiti tinggi sememangnya baik untuk kesihatan fizikal. Namun selepas bersenam, bukanlah lampu hijau untuk anda terus menuju kedai mamak dan memesan makanan kegemaran anda iaitu secawan teh tarik dan roti canai banjir.
Jika anda serius mahu membina otot dan menyingkirkan lemak yang sudah terkumpul di tubuh, anda juga harus memandang serius soal pemakanan selepas melakukan aktiviti senaman. Ini kerana, tubuh anda akan menghantar isyarat ke otak bahawa anda sedang kelaparan.
Ketika mentafsir isyarat itu, ramai yang memilih makanan yang salah. Selain tidak sesuai untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik, ia juga memudaratkan diri selepas bersenam dan menjadikan penat lelah anda bersenam sebagai sesuatu usaha yang sia-sia. Dengan mengelak daripada makanan-makanan yang menggemukkan ini, anda dapat mencapai sasaran senaman dan mengurangkan berat badan dengan lebih pantas.
MAKANAN PERLU ELAK
Agak mengejutkan pabila mengetahui bahawa sayuran mentah perlu dielakkan selepas senaman. Lobak, seleri, lada benggal dan brokoli mungkin sangat baik dijadikan snek sihat yang rendah lemak tapi untuk selepas senaman? Tidak cukup sama sekali untuk mengembalikan tenaga dan mengekalkan paras metabolik yang sihat. Namun anda masih boleh menikmati khasiatnya dengan menggabungkan sayuran mentah ini dengan celupan padat protein seperti yogurt, mentega kacang atau hummus.
Kentang goreng, burger keju dan sosej mungkin kelihatan enak selepas melalui waktu bersenam yang memenatkan. Tapi bayangkan ia juga membuat segala titik peluh yang dikeluarkan tidak berbaloi. Lemak-lemak baru akan kembali dihadam, sesuatu yang berlawanan dengan tujuan anda bersenam!
Snek yang masin seperti cip kentang dan pretzel boleh merendahkan paras potasium yang amat penting untuk fasa penyembuhan selepas bersenam. Potasium merupakan sejenis mineral penting untuk tubuh bagi meningkatkan fungsi sel dan elektrolit berbanding sodium. Memandangkan tubuh anda kehilangan elektrolit semasa bersenam, apa yang tubuh perlukan sekarang ialah lebih potasium.
Pizza juga tidak seharusnya menjadi pilihan anda selepas bersenam, lebih-lebih lagi jika ia ditabur dengan sosej atau pepperoni. Hanya satu keping pizza sudah mampu mensia-siakan peluh yang dikeluarkan. Jalan terbaik, nikmati sebiji mufin gandum penuh bersama keju jika mengidamkan snek berkeju.
5.SODA DAN MINUMAN BUAH
Walaupun sewaktu haus, jangan menggantikan cecair yang hilang dengan minuman manis. Sama ada ia soda atau air buah, mengambil minuman seperti ini dapat membuatkan senaman yang dibuat tidak berhasil bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan kerana ia melambatkan metabolisme. Anda boleh menikmati minuman kecergasan sekiranya peluh keluar dengan banyak di samping menggantikan elektrolit yang hilang. Sebaik-baiknya nikmati air kosong dan makan makanan tinggi potasium seperti pisang.
6.COKLAT SUSU
Kaya dengan gula dan kalori, coklat susu sebenarnya langsung tidak menawarkan apa yang tubuh perlukan selepas bersenam. Terdapat pula efek negatif di sebaliknya. Jika mahu, nikmati sedikit coklat gelap yang tinggi antioksidan bagi menentang radikal bebas dan bertindak seperti anti-inflamasi untuk memulihkan diri selepas senaman.
7.DONAT DAN PASTRI
Betul, anda perlukan karbohidrat untuk menggantikan glikogen yang hilang selepas bersenam. Tetapi dua jenis makanan ini boleh membekukan arteri. Nikmatilah bagel, roti bakar gandum penuh dengan mentega kacang atau jeruk buah jika terlalu lapar.
This website uses cookies.