Setiap wanita pastinya menginginkan pasangan yang terbaik buat keluarga. Seorang yang bertanggungjawab, penyayang serta penuh rasa cinta. Sedar atau tidak, lelaki yang menyayangi serta memuliakan ibunya adalah seorang yang tahu menghargai dan membahagiakan wanita dicintainya.
Lelaki seperti ini juga dipercayai memiliki perasaan yang lembut dan romantik terhadap wanita. Melihat kepada ciri-ciri inilah, pelakon dan hos televisyen popular, Shenty Feliziana memilih aktor kacak dari seberang, Reuben Elishama Hadju sebagai teman hidup.
“Reuben seorang yang family-oriented serta sangat rapat dengan ahli keluarganya. Bagi saya, lelaki yang melayan isteri seperti bidadari membuktikan bahawa he has been raised by a queen. Malah, Reuben juga sentiasa bersangka baik bukan hanya terhadap wanita bahkan terhadap orang lain juga tanpa melihat darjat mahupun status.”
Setelah dua tahun mendirikan rumahtangga, Shenty dan Reuben kini kekal bahagia. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran permata hati mereka iaitu Biru Abiyyu Yusuf yang kini berusia 10 bulan.
Pasangan ini bertemu atas dasar kerja. Namun sudah dinamakan jodoh, Shenty dan Reuben akhirnya bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Saya mengenali Reuben ketika sama-sama menjalani penggambaran mini-series Astro berjudul Dosa, sebuah produksi Nusantara. Tanpa sedar, penggambaran yang memakan masa sekitar 58 hari itu telah menjadikan kami kawan rapat. Waktu itu kami hanya selesa berkawan sahaja dan belum sampai tahap bercinta.
Sebaik penggambaran selesai dan pulang ke negara masing-masing, saya menerima satu pesanan WhatsApp daripada Reuben berbunyi “I miss my best friends!” Saya katakan kepadanya kalau mahu berkawan lebih serius mintalah restu ibu bapa saya dahulu. Saya sendiri tidak berminat untuk bercinta kalau tidak ada penghujungnya.
Seterusnya pada pertemuan kedua, Reuben datang bersama keluarganya untuk melamar. Bersaksikan kedua-dua keluarga, Reuben melafazkan kata-kata cinta sekaligus menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan saya.
Mengambil keberkatan bersempena dengan hari Isra Mi’raj, pasangan ini bernikah pada 13 April 2018 di Singapore Botanic Gardens, Villa Halia. Majlis pernikahan berlangsung dalam suasana penuh tradisi iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
This website uses cookies.