Wanita dan kereta, bukanlah gabungan yang ideal namun Alex Hirschi membuktikan yang sebaliknya. Wanita ini membuktikan, dunia automotif bukan hanya milik kaum lelaki semata-mata. Bahkan, kaum hawa juga mampu mencipta kejayaan dalam bidang tersebut.
Itulah cerita seorang wanita yang dikenali sebagai Alex Hirschi. Hirschi sebelum itu telah mencuba pelbagai pekerjaan, namun semuanya tidak memuaskan. Pun begitu, empunya diri yang mendapat gelaran Supercar Blondie enggan berputus asa. Minatnya terhadap kereta membuatkan beliau menyewa sebuah Bugatti dan memuat naik ulasan berkenaan kereta tersebut menerusi laman sosial.
Siapa sangka, video tersebut meraih perhatian ramai. Rata-ratanya melahirkan rasa kagum dan memuji kreativitinya.
Hari ini Hirschi menjadi satu-satunya wanita yang dicari oleh pengeluar kereta mewah seperti Bugatti dan Ferarri bagi mempromosikan model terbaharu syarikat mereka. Ketika mengisahkan bagaimana permulaan beliau berjinak-jinak dalam bidang automotif, wanita berkenaan berkata, pada mulanya beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri.
Beliau juga tidak lari daripada kritikan dan statusnya sebagai seorang wanita membuatkan banyak syarikat kereta menolak cadangan bekerjasama dengannya. Pun demikian, isteri kepada jurufoto dan mantan pegawai bank itu terus mengorak langkah.
Beliau antara lain menghasilkan satu video seminggu dan ia dilakukan selama 52 minggu berturut-turut. Hasil usahanya, Hirschi yang pernah bekerja sebagai penyampai radio dan pengacara untuk Dubai Eye 103.8 mempunyai 6.5 juta pelanggan YouTube manakala pengikut Facebooknya mencecah 39 juta.
Menurut beberapa media antarabangsa, beliau merupakan salah seorang pengulas kereta wanita paling popular di dunia dan telah memandu lebih 500 supercar. Dalam pada itu, menurut South China Morning Post, berdasarkan tinjauan pada tahun 2020, laman web perbandingan perkhidmatan kewangan British GoCompare, Hirschi dianggarkan mampu memperoleh AS$1.4 juta setahun daripada siaran media sosial yang mendapat tajaan. Sehingga tahun 2021, nilai bersih Supercar Blondie miliknya dianggarkan berjumlah AS$17 juta.
Sumber SCMP & Alhushairi Samsudin
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Fasa Bahagia ZULIN AZIZ. Bina Nama Dalam Dunia Bisnes, Ingin Lebih “Kaya” Dari Suami Tersayang!
Sudah agak lama personaliti televisyen, Zulin Aziz tidak muncul di kaca televisyen. Sejak mendirikan rumahtangga bersama suami tersayang, Farhan Norzaini pada Februari lalu Zulin nampaknya sudah menemui cinta baharu selain cinta dalam industri seni. Ya, cinta yang membuatkan Zulin Aziz ingin lebih serius mendalaminya.
Walaupun tidak bercadang menoktahkan karier seninya sebagai pelakon, namun kini Zulin semakin sukses sebagai usahawan. Siapa sangka, dia mampu menjana pendapatan lumayan melalui media sosial berbanding lakonan!
Ya, satu realiti yang pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikat yang dapat dirasai sendiri oleh Zulin yang mula aktif sebagai anak seni sejak tahun 2009. Zulin kini aktif bergelar usahawan yang menggunakan medium TikTok sebagai medium untuk memasarkan produk penjagaan wajah, Bebita Beauty yang dikongsi bersama rakan perniagaannya.
Zulin, 33, ketika ditemui di kediamannya bersama krew majalah NONA bagaimanapun mengakui mahu memberi tumpuan dan perhatian kepada “cinta terbaharunya’ itu.
“Saya tak nafikan pendapatan daripada bidang perniagaan lebih menguntungkan dan cepat berbanding kerjaya lakonan. Walaubagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk saya tinggalkan terus bidang seni. Tidak dinafikan wajah saya kurang muncul di kaca televisyen sebagai pelakon kerana sibuk menguruskan perniagaan. Tetapi saya aktif di medium media sosial yang lain untuk mempromosikan perniagaan,” ujar Zulin yang jatuh cinta dengan dunia perniagaan atas dorongan suami tersayang, Farhan Norzaini.
Nampaknya Zulin sudah jatuh cinta dengan dunia baharunya itu. Tidak hairanlah mengapa Zulin memasang azam tahun hadapan untuk menjadi lebih kaya dari suami tersayang! Satu statement berani mati dari seorang isteri untuk seorang suami. Namun ada maksud tersirat dan tersurat di sebalik kenyataan Zulin itu. NONA berkongsi rasa dengan selebriti ini maksud kaya yang menjadi impiannya itu.
“Saya bercita-cita bukan sahaja nak jadi kaya dari segi harta, tetapi kaya dalam pelbagai aspek kehidupan sebagai isteri, anak dan ibu suatu hari nanti. Jujur banyak tawaran terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa serta fokus saya yang lebih tertumpu kepada perniagaan, tetapi ia bukanlah halangan untuk saya memperbaiki diri menjadi individu yang lebih baik dalam pelbagai aspek” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Kembali bercerita mengenai perkara yang banyak mengisi masa lapangnya kini, Zulin mengakui dirinya mampu menjana pendapatan lumayan apabila membuat ‘review’ di media sosial berbanding bayaran lakonan.
“Pendapatan untuk buat satu ‘review’ sahaja kadang-kadang melebihi bayaran untuk sebuah telemovie. Sebab itulah saya kini memilih naskhah yang betul-betul bagus dan bersesuaian sahaja,” katanya kali terakhir muncul di televisyen menerusi drama Penjara Janji terbitan JS Pictures pada Ramadan tahun lalu.
Mengulas mengenai produk terbaharu keluarannya iaitu Bebita, Zulin berkata, dia sudah lama bercita-cita untuk memiliki rangkaian produk penjagaan wajah sendiri. “Kecantikan begitu dekat dengan diri saya. Menyedari usia saya kian meningkat, sebab itu saya keluarkan produk yang memfokuskan kepada anti penuaan. Ramai orang masih tidak sedar mengenai kepentingan krim tabir suria.
“Alhamdulillah, walaupun produk tersebut baharu sahaja dilancarkan, ia berjaya meraih jualan lebih daripada RM100,000 walaupun belum membuka jualan kepada ejen dan stokis,” katanya.
Bebita Beauty merupakan produk penjagaan kulit yang diusahakan bersama influencer terkenal Kyrina Kassim. Malah Zulin banyak menghabiskan masa mendalami selok-belok perniagaan dan membuat kajian tentang produk bagi menghasilkan produk yang bersesuaian dan terbaik di pasaran.
Bebita Beauty mengeluarkan produk Whitening Sunscreen dan Lip and Cheek Treatment yang menggunakan Live Tik Tok sebagai platform utama memperkenalkan produk.
Zulin bersyukur di atas sambutan yang luar biasa diterimanya semasa memperkenalkan produk tersebut di platform digital Tik Tok.
Isteri kepada Farhan Norzaini ini juga memasang niat untuk membantu sesiapa sahaja yang ingin menjadi sebahagian keluarga Bebita sekaligus berpeluang menjana pendapatan sampingan untuk menampung kos kehidupan kini yang semakin meningkat.
Berpeluang menimba ilmu bisnes dan bergelar rakan kongsi kepada Kyrina Kassim yang juga merupakan seorang influencer yang terkenal di media sosial, Zulin menyerap segala ilmu perniagaan daripada rakan kongsinya yang mempunyai pengalaman luas lebih 7 tahun dalam perniagaan.
“Zulin banyak belajar mengenai selok belok perniagaan dari Kyrina. Pelbagai pengalaman yang telah ditempuh oleh Kyrina, jatuh dan bangun dalam perniagaan menjadikan beliau seorang yang lebih kuat dan matang di dalam dunia perniagaan ini.
Masing-masing mempunyai kelebihan, Zulin dan Kyrina amat dikenali di media sosial kerana kami aktif di platform seperti, TikTok dan Instagram.
Bukan itu sahaja, “content-content” yang dihasilkan juga menjadi ikutan dan inspirasi kepada semua orang di luar sana terutamanya pengikut-pengikut di laman social tersebut,” ujar Zulin lagi.
Baik Zulin mahupun Kyrina amat berharap usahasama mereka dalam bidang perniagaan akan mendatangkan faedah untuk semua dan amat menghargai sokongan semua pihak yang menjadi pendorong mereka untuk maju dalam dunia perniagaan.
Ketika artikel ini ditulis, Zulin dan Farhan sedang menikmati fasa berbulan madu sambil mencari peluang perniagaan di Korea. Kegembiraan jelas terpancar di wajah pasangan suami isteri ini menikmati bulan madu musim sejuk di Korea bersama rakan perniagaan mereka.
Menutup perbualan mengenai impian Zulin di tahun 2023, sudah semestinya dia menyimpan pelbagai impian untuk dikecapi sebagai seorang isteri, anak dan wanita yang bergelar usahawan. Meskipun pernah melalui fasa ‘kecewa’, namun Zulin tetap memasang angan untuk berjaya dalam apa jua yang diceburinya.
Teks: @rosmahidayu_as
Foto: @remyothman
Penata Gaya: @kiffy_razak
Solekan: Masz @makeupbymaszmirza
Sambung Bisnes Arwah Ibu Di Usia 18 Tahun, IRDIENA ‘Bawa’ Semangat FAZIANI ROHBAN!
Perginya pengasas kosmetik Dnars, arwah Faziani Rohban pada Mei 2019 meninggalkan seribu satu pengajaran. Bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji dan semangat cekal arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 18 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Aktif menaikkan kembali empayar kosmetik ibu tersayang, Irdiena atau nama panggilannya Gegirl sering mendapat perhatian ramai yang mengganggap dia umpama jelmaan usahawan ternama berkenaan. Dari gaya dan senyuman, memang saling tidak tumpah seperti Allahyarham Faziani. Tambahan pula, Irdiena selesa menggayakan baju, aksesori dan beg tangan milik arwah ibunya.
Mengikuti perkembangan terbaharu Irdiena, dia yang selesai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu lantas mengambil alih legasi peninggalan arwah ibu. Tidak menjadikan usia mudanya sebagai penghalang, Irdiena yang kini menyandang tugas selaku Pengurus Pemasaran Dnars Skincare optimis mengharungi jatuh bangun dalam dunia perniagaan seperti yang pernah dilalui ratu hatinya suatu ketika dulu.
Kerap ditemani abang tersayang dalam setiap kempen promosi, Irdiena menerusi media sosial miliknya sering meluahkan rasa rindu terhadap arwah ibu tersayang. Jelas tergambar betapa akrabnya hubungan ibu dan anak tersebut. “Tanpa berkat doa mami, kakak takkan mampu untuk hadapi setiap rintangan hidup dan kakak takkan jadi seorang anak perempuan yang kuat pada saat ini.
Impian kakak takkan pernah berubah, ia masih sama dan akan tetap terjadi seperti yang mami harapkan. Semoga mami terus melindungi kakak dan permudahkan setiap urusan hidup kakak. Andai sahaja hari ini mami masih ada kakak yakin mami pasti ibu yang paling bahagia kerana separuh daripada impian dan hajat mami sudah tercapai sekarang.”
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah usahawan kosmetik berkenaan sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Waktu itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.
Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati arwah. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit: Instagram Irdnar
Dikritik Kerana Tekad Bawa Kemajuan Pengangkutan Rel, CEO Berusia 60 Tahun Ini Optimis Terajui ERL
Daripada industri perbankan, wanita ini mencabar keupayaan diri untuk menceburi bidang pengangkutan awam. Awal penglibatan sekitar tahun 1995 banyak perkara baru yang harus diterokai namun atas kapasiti ibadah demi Allah SWT segalanya ditempuh dengan sabar. Sehingga berjaya mengecap puncak kerjaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL).
Dilahirkan pada 3 Ogos 1957, Noormah Mohd Nor yang berkelulusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom memulakan karier sebagai Ketua Unit Bahagian Perbankan Korporat di Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) yang kini dikenali sebagai CIMB Bank selama 11 tahun. Daripada bidang perbankan, kerjayanya kemudian menembusi industri pengangkutan rel.
Berpegang kepada falsafah ‘Work hard, give the best, always do the right thing and never give up’, Noormah mengakui kemerosotan ekonomi pada 1998 adalah cabaran terbesar bagi dirinya. Pernah dikritik khalayak kerana tekad meneruskan pelaksanaan ERL menjadi suntikan semangat buat anak kelahiran Negeri Sembilan ini untuk berbakti kepada kesejahteraan dan pembangunan bersama.
“Untuk memastikan kelestarian jangka panjang, a very good maintenance regime amat penting. Tren kami diimport dari Jerman yang memiliki kualiti dan teknologi terkini. Kami sentiasa memastikan penyelenggaraan tren mengikut jadual dan spesifikasi terperinci.”
Menguruskan lebih 500 pekerja nyata bukan tugas mudah. Ironinya, apabila wanita menjadi tulang belakang dalam sesebuah syarikat akan timbul keraguan terhadap kemampuan diri mereka sebagai pemimpin. Tatkala diaju tentang diskriminasi gender dalam arena pekerjaan, Noormah bersyukur situasi yang diibaratkan itu tidak berlaku kepada dirinya.
“Saya rasa bertuah sebab di negara kita isu diskriminasi jantina ini kurang dan hampir tiada. Mungkin kerana peredaran masa dan masyarakat kini lebih berfikiran terbuka. Apa pun, sebagai wanita kita perlu bekerja lebih keras daripada lelaki untuk buktikan kita mampu buat lebih baik atau setanding mereka. Jujurnya saya adalah wanita yang sangat kuat bekerja dan saya juga harapkan perkara sama di kalangan pekerja saya. Jenis saya, saya akan pastikan kerja yang dilakukan diterjemahkan dengan baik oleh pekerja secara lebih teliti. Walau tegas tapi hakikatnya saya juga amat mengambil berat tentang kebajikan mereka dan kerja berkumpulan,” terangnya.
Menginjak usia 60 tahun Noormah tetap menjadikan keluarga sebagai keutamaan. Kelapangan waktu cuti hujung minggu dimanfaatkan dengan aktiviti kekeluargaan sama ada hanya beriadah di rumah mahupun di pusat beli-belah untuk menonton wayang. Dikurniakan 2 anak lelaki dan seorang perempuan yang kini mempunyai kehidupan sendiri tidak mudah bagi Noormah untuk meluangkan masa bersama-sama. “I try to spend time dengan anak-anak misalnya dengan menikmati makan malam bersama atau berjumpa pada setiap hari minggu. Kalau ada masa lebih, kami akan pergi bercuti satu keluarga. Dalam negara pun jadilah. At least 3 ke 4 hari. Melancong ke luar negara pun ada tapi dalam setahun hanya sekali dua saja. Maklumlah, anak-anak dah kerja dan ada yang dah bekeluarga.
Jika ada kesempatan saya akan pergi bercuti bersama suami. Kami berdua memang suka berjalan tengok negara orang, masyarakat dan budaya di sana. Setiap negara yang dilawati, kami akan ambil perkhidmatan tren. Bukan saja kerana tren satu budaya pengangkutan popular di sana tapi servis mereka juga cekap dan terbaik seperti di negara-negara Eropah, China dan Jepun. Dalam masa sama, saya boleh ambil guna usaha yang mereka lakukan untuk dipraktikkan di sini,” terangnya yang gemar mengunjungi negara bersejarah dan kaya dengan alam semula jadi.
Menyokong pembabitan wanita dalam apa jua industri yang diceburi, Noormah sempat menitipkan kata-kata semangat berikut. “Untuk berjaya dalam apa jua bidang, kita perlu ada visi dan misi hidup. Saya selalu tekankan work hard to earn living tapi tidaklah terlalu sibukkan diri dengan kerja. Keluarga amat penting begitu juga dengan pengurusan masa. Pada saya, semuanya perlu berbalik kepada asas dan ajaran agama. Kita perlu sedar pekerjaan ini juga adalah satu ibadah penting kerana dengan bekerja kita dapat membantu orang lain. Terapkan apa yang dipelajari daripada ajaran Islam itu sebagai landasan kepada alam pekerjaan. Harus amanah, jujur, tawakal dan lakukan tugas sebaiknya serta usah mengalah. Insha Allah, ada berkah di kemudian hari.” SUZIANAABUDAUD