“Hebatnya Cara Rasulullah SAW Mendidik Anak” – Ustazah Asni Abu Mansor

Anak-anak adalah amanah Allah SWT sekaligus menjadi penyeri dalam rumahtangga. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi didikan yang sempurna terutama dari sudut agama.

Tak dinafikan, mendidik anak-anak pada zaman sekarang lebih mencabar berbanding zaman ibu bapa kita dahulu. Zaman ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran. Paling ketara ialah pengaruh teknologi maklumat termasuklah sosial media tanpa sempadan. Jika tak dikawal maka ianya boleh memudaratkan khususnya di kalangan anak-anak.

Perkongsian Ustazah Asni Abu Mansor ini sangat bagus untuk kita hadamkan. Tentang bagaimana cara mendidik dan menegur kesalahan anak-anak mengikut peringkat usia mereka.

“Saya rangkumkan semua elemen ini daripada satu hadith yang sangat hebat.

Abu Daud dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Umar bin Syu’aib daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Suruh anak-anak kamu mengerjakan solat, sedang mereka pada usia tujuh tahun, dan pukul lah mereka kerana meninggalkan sembahyang apabila telah mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka”.

Dalam hadith ini, Rasulullah SAW menetapkan hanya pada umur 10 tahun anak dibenarkan dihukum pukul kerana alasan tidak solat. Sebelum anak dijatuhkan hukum atau denda, tidak adil jika mereka tidak diberikan ilmu dan pemahaman. Dalam kes solat, Rasulullah SAW memberikan masa sehingga 9 tahun untuk mendidik anak tentang solat dan pemahaman mengenainya.

Dalam Islam, memukul tindakan paling akhir jika segala nasihat, tunjuk ajar dan ancaman tidak memberi apa-apa kesan terhadap anak. Sebelum dijatuhkan hukuman, perkara-perkara berikut perlu diambil kira. Ambil tindakan terhadap kesalahan anak dengan:

  1. Lemah lembut dan belas kasihan. Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam Al-Adab Al-Mufrad, sebuah hadith berbunyi:

“Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras dan jahat.”

  1. Mengikut sikat dan tabiat anak. Setiap anak mempunyai kelainan sikap dan cara berbeza untuk kita menegur kesalahan mereka. Ada yang kita hanya perlu besarkan mata, ada yang perlu nasihat dan sebagainya. Ada sesetengah ulama’ dalam pendidikan Islam seperti Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina, tidak diharuskan menjatuhkan hukuman kecuali pada saat-saat memerlukan. Dan tidak boleh memukul kecuali setelah diingatkan dan diancam.
  2. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak secara berperingkat-peringkat. Mengenakan hukuman dan denda adalah jalan paling akhir. Jadi, sebelum peringkat denda dan menghukum, anak-anak mesti melalui proses pemahaman dahulu. Mereka perlu ada tauladan yang baik di rumah dan sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada ibu bapa.

Jelaslah dalam Islam, ibu bapa dibenarkan mendenda atau memukul anak tetapi ada syarat-syarat seperti dinyatakan di atas.

MENDIDIK CARA RASULULLAH SAW

Usia Anak 0-6 Tahun

Pada usia ini Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas. Berikan mereka kasih sayang secara adil tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu. Tidak boleh dirotan jika mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar mendidik.

Anak-anak lebih dekat dengan kita yang mereka anggap sebagai rakan dan rujukan terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu anda (ibu bapa) selalu ada di sisi mereka.

Usia Anak 7-14 tahun

Kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan). Memukul bukan untuk menyeksa, sekadar untuk menggerunkan mereka.

Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam.

Usia Anak 15-21 tahun

Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan menjadi ‘kawan’ mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Hal ini penting agar anak-anak berasa tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Anak-anak juga berasa dirinya ada tanggungjawab terhadap hal-hal keluarga.

Usia 21 Tahun dan Ke Atas

Ibu bapa sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh kehidupan sebenar.  Akan tetapi lihatlah perkembangan serta berikan nasihat dan peringatan apabila anak membuat kesilapan.

Kredit Foto: Instagram Ustazah Asni Mansor

 

 

Share
Published by
Amy Mohd