Seketika lalu, heboh diperkatakan tentang pantang bayam atau sayur kegemaran Mr. Popeye itu yang tidak ramai orang ketahui.
Sayur bayam merupakan sejenis sayuran berdaun hijau yang kaya dengan khasiat. Antaranya seperti vitamin A, B, C, zat besi dan kalium.
Ia juga memiliki pelbagai manfaat untuk kesihatan seperti mengatasi masalah anemia, meredakan demam, meningkatkan fungsi ginjal dan sebagainya.
Bayam sering dijadikan pilihan ibu ibu untuk dihidangkan sebagai lauk utama. Namun dalam pada itu, khabarnya ada kesan sampingannya yang berbahaya jika dipanaskan semula.
Merujuk amaran The European Food Information Council (EUFIC), proses memanaskan semula bayam selepas 12 jam dimasak akan mencetuskan nitrosamin, sejenis bahan yang menyerupai karsinogen dan menyebabkan kanser.
Nitrosamin juga meningkatkan risiko Sindrom Bayi Biru, dimana kanak-kanak tidak mendapat bekalan oksigen sepatutnya di dalam darah mereka.
Dalam laporan terbabit, dikatakan bayam dan beberapa jenis sayuran berdaun hijau lain memiliki kandungan nitrat yang tinggi. Jika dipanaskan semula, kandungan nitrat ini akan berubah menjadi sejenis cairan korosif yang tak berwarna dan beracun kepada tubuh badan.
Kajian Saintifik
Walau bagaimanapun, selepas kenyataan ini disiarkan oleh The Independent dan seterusnya diterbitkan semula oleh sebuah akhbar di Hong Kong, seorang pelajar sains di sana tampil dengan penjelasan saintifik yang menyanggah dakwaan terbabit.
Albert, tekad menghantar laporannya kepada EUFIC termasuk hasil kajian yang dilakukan secara terperinci.
Jurucakap EUFIC mengesahkan berita ini dan mengambil keputusan untuk menarik artikel berkenaan selepas mengambil kira pelbagai faktor.
“Sebenarnya dengan kaedah penyimpanan, penyejukan dan pemanasan yang betul, tidak salah atau tidak berbahaya sebenarnya untuk memanaskan semula bayam yang dimasak.”
Albert bersungguh-sungguh membuktikan pendapatnya kerana sudah menjadi budaya di Hong Kong, masyarakat di sana memanaskan semula bekal makanan yang dimasak pada malam sebelumnya untuk dimakan di sekolah atau tempat kerja.
Justeru itu, tepuk dada tanyalah selera. Sebaik-baiknya, nikmatilah menu sayuran yang segar dimasak dan habiskan. Dengan cara ini dapatlah kita menikmati nutrien di dalamnya. Simpan lama-lama, bimbang juga kalau lauk dicemari bakteria, bukan? Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.