Henti Tradisi Cium Laga Pipi, Jabat Tangan, Cukup Letak Tangan Di Dada Jumpa Rakan Sekerja

Menjelang 4 Mei ini, kita menjangkakan kesesakan trafik kembali bermula apabila beberapa sektor perniagaan dibenarkan beroperasi.

Bagi segelintir wanita, berita ini tentu sekali menggembirakan hati selepas 46 hari ‘terkurung’ di rumah sejak PKP berkuatkuasa 18 Mac lalu.

Ada yang tak sabar-sabar untuk memulakan tugas dan berjumpa rakan sekerja. Ada juga yang sudah berkira-kira mahu ke Jakel membeli persiapan hari raya, makan roti canai di kedai mamak dan sebagainya.

Namun di sebalik amalan SOP seperti penjarakan sosial, pemakaian face mask dan hand sanitizer, kaum wanita juga seharusnya berhenti mengamalkan tradisi cium laga pipi dan berjabat tangan bagi lelaki.

TIDAK CIUM TANDA SAYANG

Perkara ini dikhuatiri berlaku apabila ramai yang berjumpa semula sejak sekian lama, selain reaksi syukur atau terlalu rindu terhadap rakan sekerja yang sudah lama tidak berjumpa. Kemesraan yang menjadi tradisi kita ini tanpa sedar boleh meningkatkan risiko jangkitan wabak.

Hakikatnya perubahan etika pertemuan ini sedang berlaku di seluruh dunia kerana Coronavirus yang kini menjadi wabak, menimbulkan ketakutan.

Di Perancis, Menteri Kesihatannya Olivier Veran menyaran agar warga Perancis menghentikan tradisi la bise atau berlaga pipi sebagai langkah menyekat penyebaran Coronavirus.

Sementara itu, pemain bola sepak dalam Liga Perdana England turut mengamalkan fist bump sebagai menggantikan tradisi bersalaman sesama sendiri atau dengan pemain lawan.

Jika dahulu, tangan dihulur, kini kaki pula yang bersilang temu. Tular pula Wuhan Shake

menggantikan tradisi berjabat tangan di kalangan warga Wuhan.

Di Malaysia, memadailah sekadar kita meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat bagi menggantikan dua tradisi tadi.

‘Salam Cara Malaysia’ ini patut dimasukkan bersekali dalam SOP mengawal jangkitan memandangkan sifat rakyat kita yang mesra dan peramah.

Share
Published by
Norzalina