Keluarganya mungkin sentiasa terpalit dengan kontroversi, dari penyebaran video lucah kakak sulungnya sehinggalah kepada keputusan ayahnya untuk menukar jantina. Namun kesemua drama ini tidak membataskan impiannya untuk menjadi seorang wanita yang berjaya atau lebih molek penulis gelar gadis kerana usianya yang masih muda.
Kylie Jenner merupakan anak bongsu keluarga Kardashian-Jenner membuktikan dia juga boleh berdiri sama hebat dengan wanita lain yang berjaya. Mungkin ada di antara anda yang menonton rancangan realiti tv ‘Keeping Up With The Kardashian’, anda pasti ingat dengan telatahnya yang manja sebagai anak bongsu. Kini seiring dengan kedewasaan, dia merupakan seorang usahawan berjaya di dalam bidang kecantikan.
Lebih kurang setahun setengah yang lalu dia mengeluarkan rangkaian kosmetiknya sendiri Kylie Cosmetics dimulai dengan jualan Kylie Lip Kit yang hadir dalam tiga warna berbeza. Mengejutkan produk ini habis dijual di pasaran hanya dalam masa sejam ia dilancarkan. Sejak dari itu rangkaian kosmetiknya yang terus sampai kepada pengguna ini mengeluarkan beberapa lagi jenis barangan kecantikan seperti pembayang mata, pemerah pipi, berus solekan dan juga highlighters atau lebih popular dengan nama Kylighters.
Rabu lalu, telah diumumkan bahawa Kylie Cosmetics yang mana Kylie merupakan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai pemasaran dan ketua pegawai kreatif telah menjana jualan sebanyak USD480 juta bersamaan lebih kurang RM2 billion dalam masa 18 bulan. Ini menjadikan dia lebih berjaya jika hendak dibandingkan dengan usahawan kecantikan Amerika lain walaupun mewarisi syarikat turun temurun keluarga dan kebanyakan mereka berusia tiga kali ganda umur Kylie. Nampaknya gadis berusia 20 tahun ini benar-benar bijak menggunakan populariti dan juga kecantikannya dalam membangunkan sebuah jenama yang berjaya.
#KuasaWanita: Kenali 5 Menteri Wanita Hebat Dan Berpengaruh Dalam Kerajaan Perpaduan!
Kelmarin Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan senarai anggota kabinetnya. Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, Anwar mengumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan PBB, Fadillah Yusof yang mewakli Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai timbalan perdana menteri.
Sebanyak 28 kementerian diumumkan di mana Anwar pula memegang portfolio kewangan manakala Zahid dilantik menjadi menteri kemajuan desa dan wilayah manakala Fadillah sebagai menteri perladangan dan komuniti. Selain itu, terdapat juga beberapa muka-muka baharu dalam barisan kabinet.
Namun yang turut menarik perhatian adalah barisan Wanita hebat kali ini yang dipilih menerajui lima kementerian masing-masing. Jom kenali siapa mereka!
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
Dikenali sebagai seorang ahli politik veteran yang lantang bersuara, beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pernah memegang portfolio Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat wanita pertama di Malaysia. Memiliki latar pendidikan dalam jurusan pentadbiran awam dari Universiti Teknologi MARA dan jurusan undang-undang dari Universiti Malaya dan London School of Economics and Political Science. Kini dilantik sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.
HANNAH YEOH
Agak mengejutkan! Ahli Parlimen Segambut dan juga bekas peguam, Hannah Yeoh Tseow Suan dipilih sebagai Menteri Belia dan Sukan di bawah Kerajaan Perpaduan. Hannah memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Tasmania, Australia. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
FADHLINA SIDEK
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek pula dilantik menarajui Kementerian Pendidikan. Merupakan wajah baru dalam kabinet Kerajaan Perpaduan dan kali pertama bertanding pada PRU lepas. Beliau menang di parlimen Nibong Tebal dan memiliki latar belakang dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Sebelum ini beliau merupakan senator mewakili DUN Pulau Pinang ke parlimen Malaysia. Juga merupakan seorang peguam syarie dan pemilik Tetuan Fadlina Siddiq & Associates.
DR ZALIHA MUSTAFA
Merupakan wanita pertama menerajui Kementerian Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa adalah seorang doktor perubatan juga graduan jurusan perubatan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia. Selepas tamat pengajian, beliau berkhidmat dengan kerajaan dan kemudiannya bekerja pula dengan klinik swasta. Kini beliau memiliki kliniknya sendiri yang terletak di Bandar Putra Kulai. Sesuai dengan latar pendidikannya, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Khairy Jamaludin. Selain itu, beliau merupakan seorang ahli parlimen Sekijang di Johor Darul Takzim.
DATUK SERI NANCY SHUKRI
Anak jati Sarawak ini bukanlah nama asing dalam dunia politik. Datuk Seri Nancy Shukri yang merupakan ahli Parlimen Batang Sadong turut memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak telah diberikan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Memegang portfolio Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini, beliau mendapat pendidikan di UiTM dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam dan kemudiannya menyambung pengajian di University of Hull dalam jurusan Undang-Undang.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
“Kerjaya Pereka Fesyen Bukan Mudah, Banyak Tekanan But I Still Love My Job” EZZATI AMIRA
Jenama ‘Ezzati Amira’ kian mendapat tempat dihati penggemar fesyen tempatan. Rekaan segarnya memberikan nafas baru dalam pemakaian trendy harian serta pemilihan gabungan fabrik menjadikan setiap helaiannya tersendiri.
Pemilik jenama yang diungguli seorang wanita bernama Ezzati Amira Affandy atau mesra disapa sebagai Ezzati merupakan graduan jurusan rekaan fesyen dari Raffles Design Institute. Pengalaman hampir 10 tahun dalam industri fesyen membuktikan Ezzati mampu membina jenama dan empayarnya sendiri.
Ezzati memulakan kerjaya pertama sebagai pereka jenama ready-to-wear di syarikat high street fashion tempatan, Le Ann Maxima selama tiga tahun. Selepas itu, Ezzati memilih untuk bekerja sebagai jurujual di sebuah butik fesyen terletak di Publika.
Sejak kecil dunia fesyen sememangnya sudah sebati dengan wanita berusia 30an ini. Kerja-kerja home based seperti menjahit telah menjadi rutin bagi Ezzati sebelum tampil dengan jenama fesyennya sendiri iaitu ‘Ezzati Amira’ yang kian menjadi pilihan penggemar fesyen masa kini.
Pemilihan gabungan fabrik menjadikan setiap rekaan jenama ini cukup ekslusif dan tersendiri. Selain versatil jenama Ezzati Amira turut dikenali dengan signature cetakan atau motif yang menonjol. Menariknya lagi, dalam satu koleksi sang pemakai boleh menyuai padankan (mix & match) mengikut stail tersendiri.
PERMULAAN
“Tahun 2013 saya berhenti kerja untuk mencari pengalaman baru seterusnya melangkah ke satu tahap yang lebih baik. Dalam tempoh ini saya mencari jenama yang menghasilkan rekaan ready-to-wear namun ketika ini jumlahnya tidak ramai.
Lantas saya pun terfikir mengapa tidak untuk saya memulakan platform ini dan mencari kelainan. Trend rekaan pada masa itu ialah custom-made. Di Malaysia sebenarnya tidak ramai pereka fesyen wanita yang menghasilkan ready-to-wear. I really love designing ready-to-wear and I love to see people when they are wearing my brand.
Kedua ibu bapa menjadi tulang belakang paling kuat buat saya. Mereka juga mencadangkan saya untuk membuka jenama fesyen sendiri. Sejak itu semangat saya kian membara lalu saya teruskan kerja-kerja menjahit di rumah dan menghasilkan beberapa koleksi dalam skala kecil. Koleksi itu dikenali sebagai Spring/Summer 2013.
Kebetulan ketika itu pengaruh media sosial seperti Instagram baru menular di Malaysia. Maka saya ambil peluang dengan memuat naik gambar sample pieces. Tanpa diduga ia menjadi tular terutama di kalangan rakan-rakan but for me it is good. Saya mendapat banyak respon daripada pengikut di Instagram. Ramai juga yang bertanya di mana mereka boleh membelinya. Saya bersyukur kerana orang sudah mula nampak dan mahu membeli rekaan saya itu.
Kebetulan juga ketika itu Andrews Models bakal muncul dengan platform ready-to-wear untuk Kuala Lumpur Fashion Week. Mereka tertarik dengan rekaan saya dan memilih untuk berkolaborasi. I think that was the highlight of where I started the brand.
Ezzati Amira berkembang secara perlahan-lahan sehinggalah saya mula membuka studio pertama di Wisma Central berhampiran Kuala Lumpur City Centre. Pada tahun 2016 saya berpindah ke Jalan Maarof, Bangsar. Saya memilih rumah untuk dijadikan butik kerana ia lebih spacious, tenang dan memudahkan saya menyimpan stok dengan lebih tersusun.
NASIHAT
Nasihat saya buat mereka yang mempunyai impian untuk bergelar pereka fesyen atau yang masih baru dalam industri ini, usah overconfident. Saya sendiri sering bergaul dengan golongan lebih berusia, matang dan berpengalaman untuk melatih saya berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya tahu menghormati orang lain. Ini juga dikatakan adab sesama manusia, hati perlu sentiasa bersih.
Seterusnya, minat adalah kunci utama sukses. Sabar dan jangan mudah putus asa. Percaya dengan kemampuan diri. Jangan jadi kaya dengan cara yang ‘licik’ dan busuk hati kerana ia jelas tidak ikhlas malah tidak halal. Dalam hidup ini sama ada menang atau kalah, tiada yang betul atau salah kerana ia subjektif. Hari ini mungkin kita di atas, esok lusa mungkin di bawah pula.
Ingat dari mana bermula. Sentiasalah merendah diri, tanamkan impian yang besar dan sentiasa dahagakan idea-idea baru. Tahu dan cari apa kelebihan yang dimiliki. Kerja keras untuk apa yang kita ingin capai,” akhiri Ezzati yang mengimpikan untuk menjalinkan lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak pada masa akan datang.
Kredit Foto: Instagram @ezzatiamira_
Mitos BERSALIN ‘IKUT TINGKAP’ Yang Selalu Buat Anda Seram. Mitos #4 Paling Sebak!
Banyak betul kisah bersalin C-sect yang membuatkan ramai takut untuk melaluinya. Tapi, adakah semuanya fakta sahih?
Bersalin secara pembedahan atau Caesarean atau C-sect adakalanya bukan sengaja dipilih si ibu. Ada yang terpaksa dibedah kerana dibimbangi akan memudaratkan sama ada bayi dalam kandungan mahupun si ibu itu sendiri. Semua orang impikan untuk bersalin normal, jadi tak adil jika kita terus ‘menghukum’ wanita yang terpaksa bersalin bedah.
Sebenarnya, cerita-cerita yang dimomok pasal C-sect ni terlalu banyak. Tak percaya? Teruskan membaca.
Mitos #1: C-sect bukan satu bersalin
Jika bayi itu keluar dari rahim si ibu, sudah terang lagi bersuluh ia adalah proses bersalin! Tak semestinya lahirkan anak secara normal, keluar ikut faraj sahaja disebut ‘giving birth’. Bezanya, bayi ini keluar ‘ikut tingkap’. Itu je!
Untuk kebanyakkan kes, pembedahan C-sect dilakukan secara emergency dan bukan pilihan. Mereka juga turut melalui contraction dan merasai kesakitannya.
Mitos #2: Kelas antenatal tidak diperlukan sekiranya C-sect
Setiap ibu berhak melalui kelahiran terbaik. Antara pengalaman kelahiran itu adalah menghadiri kelas antenatal untuk meningkatkan keyakinan diri. Sungguhpun anda melalui C-sect, anda tetap sama seperti ibu yang bakal bersalin secara normal.
Mitos #3: C-sect mudah je!
Amboi, sedapnya cakap. Sungguhpun C-sect seakan menjadi kebiasaan tetapi tak bermakna ia tidak serius. Malah penjagaan selepas pembedahan lebih detail berbanding bersalin normal. Kalua tak jaga betul-betul, jahitan pada luka boleh terbuka, bernanah dan sengal. Ibu yang tidak menjaga luka pembedahan dengan betul juga boleh terkena bentan tau!
Mitos #4: Tidak boleh menyusu badan selepas bersalin C-sect
Mencabar tidak semestinya TIDAK BOLEH. Selepas pembedahan, anda mungkin perlu lebih berhati-hati ketika ingin menyusukan bayi kerana bimbang terkena pada luka. Anda perlu ingat, walau macam mana pun, sentuhan pertama itu sangat penting termasuklah titisan susu pertama yang mempunyai kolostrum.
Mitos #5: Tidak ada masalah pendarahan
Sebab utama wanita akan mengalami pendarahan selepas bersalin adalah disebabkan berlakunya pengecutan rahim di mana rahim kembali kepada size sebelum hamil. Dalam proses ini, pastinya akan berlaku pendarahan. Tak kisahlah sama ada bersalin normal atau pembedahan, pengecutan rahim tetap akan berlaku dan semestinya berlaku sedikit atau banyak pendarahan. Jadi, perbanyakkan stok tuala wanita atau ambil dari hospital ok!
Mitos #6: Sekali C-sect, selamanya C-sect
Tidak semestinya! Walaupun anda pernah bersalin secara C-sect, anda masih boleh bersalin normal, jika tidak ada halangan kesihatan dan sebagainya.
Mitos #7: Tak sakit!
Anda akan merasai kesakitan secara langsung sebelum dan selepas bersalin. Tetapi bagi wanita yang memilih untuk C-sect, kesakitan itu datang selepas ubat bius anda hilang. Malah, kesukaran untuk berdiri dek kesakitan juga akan dirasai. Siapa kata bersalin secara pembedahan tak sakit?
Jaga kata-kata depan ibu bersalin C-sect, mereka juga melalui kesakitan saat-saat kelahiran permata hati!
Kredit foto: FB Dr. Hamid Arshat