Keluarganya mungkin sentiasa terpalit dengan kontroversi, dari penyebaran video lucah kakak sulungnya sehinggalah kepada keputusan ayahnya untuk menukar jantina. Namun kesemua drama ini tidak membataskan impiannya untuk menjadi seorang wanita yang berjaya atau lebih molek penulis gelar gadis kerana usianya yang masih muda.
Kylie Jenner merupakan anak bongsu keluarga Kardashian-Jenner membuktikan dia juga boleh berdiri sama hebat dengan wanita lain yang berjaya. Mungkin ada di antara anda yang menonton rancangan realiti tv ‘Keeping Up With The Kardashian’, anda pasti ingat dengan telatahnya yang manja sebagai anak bongsu. Kini seiring dengan kedewasaan, dia merupakan seorang usahawan berjaya di dalam bidang kecantikan.
Lebih kurang setahun setengah yang lalu dia mengeluarkan rangkaian kosmetiknya sendiri Kylie Cosmetics dimulai dengan jualan Kylie Lip Kit yang hadir dalam tiga warna berbeza. Mengejutkan produk ini habis dijual di pasaran hanya dalam masa sejam ia dilancarkan. Sejak dari itu rangkaian kosmetiknya yang terus sampai kepada pengguna ini mengeluarkan beberapa lagi jenis barangan kecantikan seperti pembayang mata, pemerah pipi, berus solekan dan juga highlighters
atau lebih popular dengan nama Kylighters.Rabu lalu, telah diumumkan bahawa Kylie Cosmetics yang mana Kylie merupakan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai pemasaran dan ketua pegawai kreatif telah menjana jualan sebanyak USD480 juta bersamaan lebih kurang RM2 billion dalam masa 18 bulan. Ini menjadikan dia lebih berjaya jika hendak dibandingkan dengan usahawan kecantikan Amerika lain walaupun mewarisi syarikat turun temurun keluarga dan kebanyakan mereka berusia tiga kali ganda umur Kylie. Nampaknya gadis berusia 20 tahun ini benar-benar bijak menggunakan populariti dan juga kecantikannya dalam membangunkan sebuah jenama yang berjaya.
This website uses cookies.