Kaedah pembelajaran online atau e-learning kini menjadi bahasa pendidikan baru sejak berkuat kuasanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dari peringkat tadika hinggalah sekolah menengah, mahu atau tidak ibu bapa kenalah hadam konsep ‘bilik darjah baru’ ini. Tapi cabarannya, susah pula anak-anak bagi tumpuan di rumah kalau kejap-kejap kacau Mommy di dapur, nak tengok TV atau bermain!
Ads
Memang pening cari jalan nak buatkan mereka fokus. Nah, cuba ikut beberapa tip belajar dari rumah ini supaya sesi pembelajaran anak-anak bertukar lebih efektif.
(1) Buat Jadual
Di sekolah, aktiviti anak-anak lebih tersusun mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ini membantu mereka memahami rutin.
Menurut Pakar Psikologi, Dr Jean M. Thomas, sikap anak-anak mudah diramal kerana mereka bergantung pada jadual untuk berasa selamat.
Jadual meningkatkan rasa selamat kerana ia membuat mereka tahu apa yang bakal dihadapi. Dalam masa yang sama, untuk membantu mereka menguasai kemahiran pengurusan masa sejak kecil.
Mommy semua boleh buat jadual sendiri jika tidak mempunyai papan putih di rumah. Banyak templates yang boleh dimuat turun. Gunakan kreativiti untuk menghasilkan jadual yang besar atau lekatkan stiker-stiker animasi kegemaran mereka.
(2) Ruang Belajar Yang Menyeronokkan
Seperti orang dewasa yang bekerja dari rumah, wujudkan sebuah ruang belajar yang selesa dan merangsang mood anak-anak untuk fokus pada pelajaran.
Mommy kena pastikan ruang ini lengkap dengan kemudahan belajar termasuk segala alat tulis dalam jangkauan tangan. Lebih cepat anak-anak menjumpai pensel warna mereka, lebih banyaklah masa untuk mereka fokus pada kerja rumah.
(3) Aktiviti Hands-On
Sesi belajar pasti lebih menyeronokkan melalui aktiviti hands-on. Biarkan anak-anak bereksperimen agar ilmu terasa lebih logik dan praktikal.
Ini mengingatkan mereka pada suasana bilik darjah di sekolah, dimana mereka bebas mencuba aktiviti kreatif. Mainkan peranan Mommy sebagai guru dengan memantau aktiviti tersebut dan berikan tugasan ‘kerja rumah’ baru jika perlu.
Ads
Kalau ketandusan idea, layari saja pelbagai laman web pendidikan. Anda boleh mencetak kertas kerja untuk diberi kepada anak-anak. Aplikasi percuma seperti Epson Creative Print Apps juga menawarkan banyak projek untuk dimuat turun. Hanya cari apps ini di App Store atau Google Play Store.
Inilah sebabnya sebuah pencetak di rumah sangat penting untuk kemudahan pembelajaran online. Contohnya pencetak Epson yang sangat ekonomi dan mudah dihubungkan dengan WiFi.
(4) Gunakan Projektor
Ads
Mahukan pengalaman belajar yang luar biasa? Mommy boleh gunakan projektor mudah alih untuk hasilkan momen belajar yang mengagumkan. Skrin lebih besar, lengkap pembesar suara.
Sekarang dah banyak projektor rumah mampu milik di pasaran. Umpamanya projektor Epson yang versatil ni. Lepas belajar, bolehlah tengok filem animasi kegemaran sama-sama, Frozen 2 atau Ejen Ali!
(5) Kongsi Minat Bersama
Pernah tak Mommy tengok bagaimana seorang guru tadika mengajar anak-anak mengenal ABC? Mereka pandai bermain suara dan mendekati si kecil melalui minat mereka. Inilah yang Mommy perlu buat pada waktu PKP ni, semakin kita tunjukkan minat terhadap pelajaran mereka, semakin seronoklah mereka belajar.
Selamat mencuba Mommy!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saya terdengar hasrat teman perniagaan yang ingin mewasiatkan seluruh hartanya kepada anak-anak yatim. Biarpun belum mendirikan rumahtangga, teman saya ini masih mempunyai saudara-mara kandung seramai dua orang. Saya ingin bertanya, apakah kepentingan wasiat sebagai orang Islam dan apakah pembahagian harta pusaka yang sebaiknya?
JAWAPAN:
Jika teman saudara bukan beragama Islam, beliau mempunyai kuasa tanpa sekatan untuk memindahkan harta pusakanya kepada sesiapa yang dikehendaki, termasuklah kepada rumah anak-anak yatim. Sebaliknya, Pewasiat Islam terikat dengan peraturan tertentu menurut Undang-undang Islam yang ditetapkan.
Sebelum seseorang mengambil keputusan akhir untuk menulis wasiat, beliau seharusnya menghalusi keindahan wasiat yang merupakan sebahagian daripada Syariat Islam. Menerusi Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat (2:180), apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia meninggalkan kebaikan (harta) supaya membuat wasiat memihak kepada ibubapanya dan sanak saudara dengan baik. Suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertaqwa.
Daripada ayat ini maka jelaslah maksud bagi orang-orang yang bertaqwa (takut kepada Tuhan) hukumnya adalah wajib membuat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiat, atau dari segi bahasa bemaksud sambung dan definisi syarak bermaksud sedekah hak milik harta yang dilaksanakan selepas kematian, merupakan sebuah amalan baik di dunia dengan harapan sesuatu kebaikan dapat diteruskan dengan harta peninggalan tersebut.
Bagi orang Islam, wasiat boleh dibuat hanya untuk 1/3 daripada harta yang ada dan kepada BUKAN WARIS, manakala baki 2/3 lagi hendaklah dibahagikan mengikut Faraid.
WASIAT BAGI MEMBOLEHKAN
Wasiat ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat Pewasiat.
Menentukan hasrat Pewasiat diberikan kepada orang yang ditentukan samada ahli keluarga atau pihak lain.
Menentukan isteri, suami, anak dan tanggungan lain dijaga kepentingan mereka sehingga masa yang ditentukan dalam wasiat.
Menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka yang telah ditentukan dan dijamin dengan warisan yang ditinggalkan.
Melantik Penjaga bagi anak-anak di bawah umur yang memerlukan jagaan orang yang dipercayai.
RUKUN WASIAT
Rukun wasiat terdiri daripada empat perkara iaitu Pewasiat, penerima wasiat, harta yang diwasiatkan dan lafaz wasiat. Contoh lafaz, “Serahkan seribu kepadanya selepas kematian saya”.
PEWASIAT YANG SAH
Mukallaf
Merdeka
Sukarela ketika mewasiatkannya
PEWASIAT YANG TIDAK SAH
Kanak-kanak
Orang gila
Orang yang dipaksa
Hamba walaupun mukatab yang tidak diizin oleh penghulunya
Pada asalnya wasiat hanya boleh dibuat kepada bukan waris yang layak menerima pusaka, tetapi ulamak berpendapat:
Sah wasiat yang dibuat untuk ahli waris samada lebih 1/3 atau tidak jika diluluskan oleh semua ahli waris,
Sah wasiat yang dibuat untuk bukan waris melebihi 1/3 jika diluluskan oleh semua ahli waris. Kelulusan/persetujuan waris yang diambil kira ialah selepas kematian Pewasiat.
Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan yang menunjukkan niatnya (tersirat). Contohnya, Pewasiat menarik balik wasiatnya dengan menjalankan urusniaga berkaitan harta yang diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.
Dengan Kerjasama: Umie Zaitun Junoh (B.Syariah Law (Hons) Malaya, DSLP U.I.A.M), Peguam Syarie di Kuala Lumpur
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melihat gaya hidup mewah Jinkee Pacquiao hari ini pasti membuatkan ramai yang berasa cemburu. Mana tidaknya, selain dilimpahi dengan kesenangan wang ringgit… isteri kepada salah seorang senator popular di Filipina yang juga atlet tinju terkemuka dunia ini juga cukup bertuah kerana dikurniakan ‘harta’ paling bernilai iaitu lima orang cahaya mata mereka. Yang pasti, Jinkee memiliki apa yang diimpikan setiap wanita. Kebahagiaan berkeluarga, kaya, ternama dan berjaya!
Namun di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Jinkee dan suaminya Manny Pacquiao pernah melalui liku hidup yang sukar. Mereka pernah hidup sengsara kerana selain kerjaya tinju suami yang kurang bersinar, Pacquiao juga dikhabarkan seorang suami yang gemar berfoya-foya, kuat merokok, kaki judi, kaki minum serta suka cari gaduh.
Dek kerana sikap negatif suami, Jinkee pernah terfikir untuk bercerai namun kerana sayangkan ikatan yang telah terbina… dia sanggup bersusah-payah membantu membina semula kerjaya suami sehingga berjaya seperti sekarang. Menurut GMA News, pasangan ini kembali menghangatkan hubungan yang kian retak menanti belah dengan menikmati bulan madu kali kedua mereka.
Dan buat pertama kalinya, Jinkee yang juga penerbit filem dan personaliti media Filipina ini hadir menemani suami tercinta ke pusat latihan tinju di Los Angeles. Dari situlah bermulanya perubahan positif Pacquiao hingga melonjakkan namanya selaku ahli tinju terkemuka dunia yang dikecapi hari ini. Berkat sokongan Jinkee dan usaha keras, Pacquiao atau lebih dikenali dengan gelaran PacMan di gelanggang tinju telah dianugerahkan Fighter of the Decade pada 27 Julai 2009.
Sehingga ke saat ini, Manny Pacquiao tersenarai dalam The 20 Richest Boxers In The World 2019 dan dia menduduki tangga keenam dengan meraih pendapatan setinggi USD190 Juta. Memetik laporan Forbes pula Pacquiao antara 2019 The World’s Highest-Paid Athletes Earnings dengan pendapatan berjumlah sekitar USD26 Juta bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.
Berdasarkan Post Magazine… ahli tinju berkenaan dilaporkan membeli rumah agam di Beverly Hills bernilai USD12 Juta yang dahulunya pernah didiami rapper Sean Combs. Pada 2010 Pacquiao dicalonkan sebagai Philippine House of Representatives dan bergelar Senator pada tahun 2016.
Jinkee yang kini berada di Los Angeles dilihat cukup gembira dengan apa yang dimilikinya hari ini dan meluangkan masa di samping anak-anak dan keluarga dengan mengunjungi taman tema popular, membeli-belah di butik mewah selain beriadah bersama lima anaknya di kediaman elit mereka di sana.
Mengintai Instagram wanita berusia 40 tahun ini, Jinkee turut memperlihatkan gaya hidup mewah dengan berkongsi kediaman mereka yang besar dan eksklusif serta cita rasa fesyennya. Gemar bergaya dengan jenama mahal dari hujung rambut ke hujung kaki… Jinkee turut mempunyai koleksi beg tangan Hermes pelbagai saiz dan jenis.
Bahkan dia juga merupakan penggemar jenama Christian Dior, Chanel, Louis Vuitton dan banyak lagi. Itu belum lagi kira kasut, jam tangan, baju, cermin mata hitam dan bermacam-macam aksesori lain yang ada dalam simpanannya.
Bukan hanya Jinkee bahkan kelima-lima anak mereka turut mengenakan persalinan mewah dan eksklusif dari label terkemuka. Disebabkan status suami sebagai senator dan antara ahli tinju terkaya di dunia… keluarga ini dikawal dengan beberapa pengawal peribadi yang mengiringi percutian mereka tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Sumber: Post Magazine & Forbes / Foto: Instagram Jinkee Pacquiao
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...