Hidangan Melayu Nusantara Cara MAMANDA. Hidang Makanan Dalam Talam Penuh Gaya!

Jika diamati, Mamanda yang berbumbung di bawah Mamanda Group  bukanlah nama baharu dalam dunia masakan kerana ia telah dibangunkan di sebuah rumah agam berusia 173 tahun di 73, Sultan Gate Singapura pada tahun 2012.

Kini, mantan juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012, Dato’ Fazley Yaakob membawa jenama Mamanda ke Malaysia bertujuan menjelmakan menu dan pengalaman sama bagi dinikmati sendiri oleh pencinta makanan tempatan yang sentiasa berkehendakkan kelainan dalam menikmati hidangan.

Menurut bapa kepada empat cahayamata itu, perasaan teruja muncul dalam dirinya tatkala dapat membawa masuk cawangan kedua Mamanda di Malaysia kerana ia merupakan sebuah konsep restoran yang menepati jiwanya sebagai cef selepas sukses membangunkan SukaSucre Bistro.

“Menariknya, pengunjung bakal merasai suasana mewah ibarat istana Melayu sewaktu berada di situ sambil menikmati bermacam hidangan Melayu Nusantara ala Diraja yang  menggamit selera pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan status,” katanya ketika ditemui di Mamanda baru-baru ini. Mamanda diuruskan oleh Pengarah Mamanda Group, Encik Zulkarnine Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Masmunah Abdullah.

Untuk melunaskan tuntutan gastronomi, tambah Fazley, seleksi menu menyelerakan sedia dinikmati oleh pelanggan kelas medium yang bercitarasa tinggi seperti hidangan Nasi Ambeng, Nasi Tumpang, Nasi Ulam Ayam Bakar Bendahara, Nasi Kerabu, Nasi Bahtera, Nasi Bukhari Pendita dan Nasi Briyani Raja Adil.

“Tidak hanya itu, menu Hidangan Istimewa juga mempersembahkan Assam Pedas Temasek, Ikan Pepes Temenggong, Udang Semerah Sambal, Ayam Rendang Mamanda, Udang Galah Lemak Cili Padi dan banyak lagi. Pencuci mulut pula terdiri daripada Bubur Kacang, Creme Brulee, Serawa Durian, Tat Pandan dan banyak lagi,” ujarnya mengenai menu yang disediakan di restoran baharunya.

Hidangan yang dipersembahkan juga bakal menarik perhatian kerana ia dihidangkan di dalam konsep dulang tembaga perak dan emas yang sekaligus bakal mengembalikan nostalgia hidangan makanan dahulu kala yang diamalkan oleh masyarakat Melayu yang sememangnya kaya dengan pelbagai budaya, adat dan kesopanan dalam menyediakan hidangan untuk keluarga dan tetamu.

 

Mamanda mementingkan kesegaran bahan, keaslian rempah ratus dan kesenian Timur agar kekal menjadi lambang sajian diperhalusi kaedah memasak tradisional, diperisa herba berkhasiat serta dijalin dengan ramuan rempah ratus yang terbaik.

MAJLIS IKUT KESELESAAN

Sambil menikmati embience menghijau luas padang golf TPC, Mamanda yang mengamalkan tema Menjunjung Santapan Warisan itu turut menyediakan empat buah bilik privasi untuk digunakan oleh kumpulan pelanggan berhajat untuk menganjurkan majlis secara tertutup. Secara tidak langsung, ia menjadikan Mamanda sebagai pilihan terbaik untuk lokasi bersosial, majlis korporat, pelancaran produk, persidangan media dan seminar.

Setiap bilik privasi boleh memuatkan sehingga 10 orang tetamu dan ia turut mempunyai bilik privasi yang boleh dibuka kepada dua bahagian sekiranya pelanggan datang dalam jumlah melebihi 10 orang. Pendek kata, soal keselasaan sepanjang menikmati hidangan di sini diberi keutamaan yang terbaik.

Tidak cukup dengan itu, ruang letak kenderaan yang luas memudahkan para pelanggan untuk datang dan tanpa kerisauan untuk meletakkan kenderaan di dalam kawasan TPC Kuala Lumpur yang mempunyai kawalann keselamatan yang ketat.

 

Lebih istimewa, majlis pertunangan, pernikahan atau persandingan juga boleh dilangsungkan di Mamanda kerana salah satu sudut Mamanda telah menyediakan kemudahan pelamin khas buat mempelai beserta caj menu bermula RM120+ bagi seorang tetamu. Mamanda yang berlokasi di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur, No. 10, Jalan 1/70D, Bukit Kiara, 60000, Kuala Lumpur beroperasi setiap hari Isnin hingga Ahad dari jam 12 tengahari ke 10 malam.

 

 

 

 

 

 

 

 

IKLAN
Share