Tidak seperti wanita lain yang malu dengan masalah bulu badan, penampilan gadis England bernama Harnaam Kaur ini, menarik perhatian dunia. Berusia 31 tahun, beliau yang dinobatkan ‘The Youngest Female With a Full Beard’ oleh The Guinness World Records ini rupa-rupanya mempunyai masalah kesihatan dan masih menjalani rawatan sehingga sekarang.
Di sebalik kelainan dirinya, Harnaam Kaur bangkit sebagai seorang wanita kuat yang memperjuangkan kepentingan ‘self-love’. Wanita asal Slough, 33km dari London, England itu juga bergelar penceramah motivasi, model dan aktivis wanita.
Beliau sering diundang ke pelbagai acara pendidikan termasuk rancangan TEDx Talk bagi meningkatkan keyakinan diri seseorang apabila dipandang berbeza oleh masyarakat.
Lapor Daily Star, Harnaam Kaur yang kini sudah berusia 31 tahun disahkan menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Simptom tersebut turut memberi kesan kepada kitaran haid, tumbuh bulu di bahagian muka dan kesukaran mengandung disebabkan penghidap PCOS mempunyai tahap hormon lelaki (androgen) lebih tinggi.
Selepas mengetahui keadaan Harnaam, ibunya membawa dirinya ke salon untuk membuang jambang yang tumbuh di mukanya. Bagaimanapun, proses tersebut hanya menyebabkan bulu tersebut tumbuh lebih lebat dan kehitaman.
Disebabkan itu, Harnaam membuat keputusan untuk membiarkan jambang tersebut tumbuh seperti biasa.
“Saya merasai kesakitan kerana kulit saya lembut dan sensitif. Bermacam-macam cara saya cuba, namun tidak berhasil.
Keadaan menjadi lebih teruk dan saya mula mencederakan diri sendiri.
Saya diejek secara berterusan dan pernah mengalami mimpi buruk diserang dengan kejam oleh pembuli di sekolah.” Harnaam Kaur
Situasi tidak normal itu ternyata memberi kesan kepada kerjaya dan perasaan ingin bercinta seperti orang lain.
Katanya, ketika berusia 21 tahun dia sudah mengikat tali pertunangan dan belum pernah berjumpa dengan bakal suaminya.
“Pertunangan itu diaturkan oleh kuil Sikh dengan lelaki dari India.
Semasa itu, saya mahu bercinta dan ingin mempunyai anak, sedangkan dalam budaya kami, ia bukanlah suatu kebiasaan.” Harnaam Kaur
Harnaam berkata, hari pertama dia berjumpa bakal tunangnya dalam keadaan formal dan mereka mengikat tali pertunangan sembilan hari selepas pertemuan itu.
Jelasnya, lelaki itu kelihatan baik kerana langsung tidak menegur tentang jambang saya.
Namun, dia seperti mengongkong apabila tidak membenarkan saya memakai alat solek, bertatu dan menindik. Tidak lama kemudian, Harnaam memutuskan pertunangannya dengan lelaki tersebut.
Semakin beliau dewasa, Harnaam Kaur mula sedar betapa pentingnya menanam semangat ‘cintakan diri sendiri’ ke jiwa generasi muda. Beliau selalu menentang standard kecantikan yang berat sebelah dan mementingkan kesempurnaan sejak bertahun-tahun.