Hidayah Datang Tanpa Diduga, Fashion Stylist Popular MIN LUNA Kini Manis Bertudung Sebaik Pulang Umrah

Nama Min Luna sememangnya tidak asing lagi dalam industri fesyen tanah air.

Berusia 39 tahun, kakak kepada aktres Nadiya Nisaa ini antara fashion stylist yang berjaya membina nama di usia muda.

Bukan calang-calang nama yang pernah menerima ‘sentuhan’ hebat Min Luna dalam penataan gaya antaranya Nurul Izzah Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Lisa Surihani, Neelofa, Scha Alyahya dan Ella.

Terdahulu, Min Luna pernah berkolaborasi dengan jenama fesyen terkenal iaitu FashionValet untuk Kuala Lumpur Fashion Week 2018 (KLFW2018).

Sebelum ini, Min Luna dikenali dengan imej ranggi sepadan dengan statusnya sebagai fashion stylist popular.

Baru-baru ini ketika ditemui di sebuah pertunjukan fesyen koleksi raya jenama popular, Min Luna tampil manis dengan bertudung. Kurung moden berfabrik emboidery lace rona putih menyerlahkan gaya elegan Min Luna. Ringkas namun tetap vogue!

“Sebenarnya saya dah mula bertudung selepas pulang dari umrah pada Februari lepas. Semasa pulang ke tanah air, saya rasa terlampau sayang untuk buka (tudung).

“Di sana kan kita pakai jadi bila balik tu rasa macam pelik (tak pakai tudung). Dan saya pakai.

“Saya pakai disebabkan pengalaman-pengalaman menakjubkan dekat sana. Inilah perkara paling sukar untuk saya lakukan untuk diri sendiri demi Allah SWT. Diharapkan saya kekal istiqamah.”

Tak dinafikan, dalam proses untuk berubah ke arah kebaikan pasti ada dugaannya. Min Luna tak terkecuali. Namun dia bersyukur kerana keluarganya menerima perubahan itu dengan baik.

“Apa yang membuatkan saya sangat terkejut ialah ada segelintir orang-orang dalam industri yang beranggapan saya tidak akan selamanya pakai tudung.

“Ada juga seolah-olah yang mengharapkan penampilan saya ini bukan selamanya.

“Tapi tak mengapa, saya faham dan memang sudah menjangkakan reaksi-reaksi seperti itu.

“Diharapkan saya dapat memberikan inspirasi yang baik-baik buat semua. Apa pun, saya tetap Min Luna.”

Semoga Min Luna terus kuat dan kekal istiqamah.

Sumber: Instagram Min Luna

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad