“Hidayah Itu Milik Allah” Model & Pempengaruh Sensasi MARINE EL HIMER Umum Sudah Memeluk Islam

Hidayah itu milik Allah dan Dia berhak menurunkan kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. Model, pempengaruh dan juga bintang televisyen Perancis, Marine El Himer memaklumkan dirinya telah memeluk agama Islam. Khabarnya, saat dirinya memeluk Islam merupakan ‘hari paling bahagia’ dalam hidupnya.

Difahamkan, Marine sudah memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu dan tidak mendedahkannya kepada umum sehinggalah pada Rabu lalu. Beliau berkongsi berita gembira itu melalui laman Instagram miliknya dengan memaparkan beberapa foto dan video saat-saat penghijrahannya memeluk agama Islam.

Marine juga berkongsi beberapa foto lain memaparkan dirinya memakai tudung dan berjubah di sekitar Kaabah di Masjidil Haram. Beliau mengharapkan perjalanan rohani yang dilaluinya akan sentiasa membawanya kepada YANG MAHA BERKUASA dan berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka sepanjang penghijrahannya itu.

“Moga perjalanan rohani ini akan terus mendorong dan membimbing saya, insya-ALLAH. Saya tidak malu menukar agama dengan memilih Islam kerana percaya agama Islam memberi ketenangan fikiran, hati dan jiwa.

“Ia adalah pilihan yang datang kepada saya dengan jelas dan saya mengamalkannya dengan bebas serta berasa bangga tentangnya. Ketahuilah, saya tidak ada rasa malu untuk menukar agama lain. Ia adalah hak asasi bahawa setiap orang harus hidup (memilih haluan) dengan bebas,” katanya.

Berita penghijrahan Marine disambut baik oleh peminat-peminatnya dan mereka mengucapkan tahniah atas keputusannya yang berani berhijrah pada waktu ketika dirinya berada di puncak populariti.

Marine dilahirkan pada Julai 1993 di Bordeaux, selatan Perancis, dan berketurunan Maghribi-Mesir. Dia Mempunyai saudara kembar bernama Oceane El Himer, dan Marine merupakan salah seorang model, bintang Instagram dan pempengaruh media sosial(influencer) yang terkenal di Perancis. Beliau memiliki lebih 1.5 juta pengikut di Instagram. Marine muncul dalam rancangan televisyen realiti Les Princes et les Princess de l’Amour (Putera dan Puteri Cinta) di Perancis.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Sumber: Sinar Plus

Share
Published by
Wan Firdaus