Gaya hidup selebriti Indonesia ini memang ibarat kehidupan seorang puteri raja. Apa tidaknya selain mengenakan persalinan dan aksesori jenama mewah dari hujung rambut ke hujung kaki, selebriti kaya dan usahawan Syahrini juga kerap menaiki jet peribadi untuk bercuti ke luar negara!
Bukan calang-calang tempat pelancongan pula tu, kebanyakan destinasi percutian Syahrini adalah mahal dan eksklusif. Malah ada ketika juga dia dilihat menggunakan khidmat limosin mewah tatkala melawat ke negara asing.
Makin anggun sejak berhijab, penampilan Syahrini yang mengenakan jenama mewah antarabangsa dari hujung rambut ke hujung kaki sering raih perhatian.
Artikel https://www.nona.my/rambang-mata-tengok-beg-tangan-hermes-syahrini-macam-macam-warna-bentuk/
Kebelakangan ini, penampilan selebriti kaya Syahrini yang mempunyai lebih 40 juta followers di Instagram mengundang persoalan dalam kalangan peminat.
Dilihat gemar mengenakan persalinan besar dan bergambar dengan menutup bahagian perut, peminat membuat spekulasi figura berkenaan sebenarnya sudah berbadan dua.
Akhirnya, 22 Mei Syahrini membuat pendedahan mengenai khabar tersebut beserta gambar terkini di samping suami tercinta, Reino Barack.
“Bismillahirrahmannirrahim, we made one wish, and it came true,” kongsi jelitawan berusia 42 tahun ini.
Difahamkan kandungan Syahrini sudah pun mencecah usia tujuh bulan. Sementara itu, Reino turut tidak ketinggalan mendedahkan berita gembira tersebut di laman sosial miliknya.
“Our greatest adventure is about to begin.”
Menerusi foto terkini itu, jelas kelihatan kandungan Syahrini yang kian membesar. Dia yang mengenakan dress putih tampil berseri-seri. Apatah lagi dijaga rapi dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh suami tercinta yang segak dalam tuxedo kelabu.
Syahrini dan Reino sah bergelar suami isteri pada 27 Februari 2019. Lima tahun melayari alam rumah tangga, pasangan romantis ini tidak ubah seperti kekasih yang sedang hangat bercinta.
Meskipun sudah lima tahun majlis persandingan selebriti ini berlalu namun kegemilangan resepsi Syahrini dan Reino masih terpahat di ingatan peminat.
Mana tidaknya, busana perkahwinan Syahrini dihasilkan pereka fesyen bertaraf antarabangsa yang juga pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.