Saat menyelami perasaan ibu tunggal yang sangat tabah jiwanya, Shikin Maembong telah mengubah stigma negatif yang cukup sebati dalam masyarakat kita. Biarpun tanpa lelaki bernama suami demi anak dan masa depan yang lebih baik, Shikin Maembong atau nama sebenarnya Siti Nur Ashikin Ismail kini kembali bangkit setelah bercerai pada tahun 2016.
Berkat kekuatan dan sokongan insan-insan tersayang Shikin menjalani kehidupannya dengan penuh positif bersama anaknya, Arianna Natasya berusia tiga tahun. Biarpun sudah berpisah namun kakak kepada artis terkenal, Emma Maembong ini masih mengekalkan hubungan yang baik bersama bekas suami dan keluarga mertua.
DETIK PERIT
“Di awal perceraian memberi tamparan yang sangat hebat buat saya. Hidup dalam terumbang ambing, kemurungan, tertekan dan tidak terurus. Macam-macam gangguan dan masalah yang datang dalam fikiran saya. Duit dah banyak habis, anak pun kurang perhatian sampai jatuh sakit dan masuk hospital.
Makan pun selalunya mi segera saja. Apa yang saya makan itulah yang Arianna makan. Tak cukup dengan itu, saya pernah dihalau dari rumah sewa kerana bayaran tertunggak melebihi tiga bulan. Masa tu sewa bilik saja tapi atas faktor kewangan saya tak mampu nak bayar. Kemudian ayah panggil tinggal bersamanya di Ampang,” luah Shikin yang kini berusia 35 tahun.
MASA UNTUK BANGKIT
“Hampir setahun lebih saya berusaha mencari kekuatan diri untuk kembali bangkit. Saya bersyukur kerana ketika saya susah, keluarga dan adik beradiklah yang banyak membantu dan memberi kekuatan. Apa yang saya belajar ialah di saat kita jatuh hanya Allah SWT, keluarga dan adik beradik sumber kekuatan kita.
Selain kakak iaitu Coddy Maembong, adik saya Emma juga banyak membantu saya dan Arianna. Mama saya, Yatimah Zainab juga sumber kekuatan dan banyak memberi nasihat walaupun dah lama berpisah dengan ayah. Sebelum bercerai pun saya banyak berkongsi rasa dengan Mama.
Sejak kecil Mama mendidik kami adik beradik seperti kawan baik namun masih ada rasa hormat. Begitu juga ayah, beliau seorang yang cukup tegas namun tetap ada kelembutannya,” ungkap Shikin yang kini aktif menyertai persatuan ibu tunggal dan usahanita.
Shikin juga menjadi rakan kongsi perniagaan bersama kakaknya, Yaya Maembong serta adik, Emma Maembong. Mereka kini rancak mempromosikan produk Emma RTW, My Sketch Book Shawl dan My Honey Lips.
HARAPAN
“Harapan saya buat Arianna, semoga saya dapat membesarkannya dengan sempurna. Saya tak mahu ada sebarang kekurangan seperti dari segi didikan agama dan pelajaran. Semoga Arianna menjadi anak solehah, hormat orang tua, patuh agama dan menjadi seorang yang penuh dengan kasih sayang.
Doa untuk diri sendiri pula agar suatu hari nanti saya dipertemukan dengan seorang lelaki yang jauh lebih matang dan memiliki ilmu agama yang secukupnya agar dapat membimbing saya dan Arianna ke jalan diredhai Allah SWT. Di samping bertanggungjawab dan dapat menjadi bapa yang baik buat Arianna.
Kredit: Instagram Shikin Maembong & Arianna Natasya
This website uses cookies.