Susur galur keluarga yang ramai dan kompleks membuatkan kerabat diraja Pahang, Tengku Izarul Mastura Tengku Badarulzaman Shah keliru dengan salasilah keluarga besarnya. “Dahulu saya jarang ambil tahu tentang keturunan keluarga saya sebab pening hendak faham. Tambahan pula, ia saling berkait kerana tradisi keluarga terdahulu yang gemar kahwin sesama saudara kerabat diraja.
Tapi sejak kebelakangan ini, saya mula ambil inisiatif untuk belajar sampaikan siap lakar, print dan tampal sendiri carta keluarga di rumah. Jadi, boleh saya tengok hari-hari dan ingat. Bukan apa kadang-kadang bila dapat berita kematian daripada ahli keluarga, saya rasa sedih sebab tidak kenal keluarga sendiri.”
Melihat peribadi yang dimiliki Tengku Mastura, penulis percaya wanita cantik ini seorang yang berpegang kuat kepada ajaran Islam. Menurut Tengku Mastura, sekembalinya daripada menunaikan umrah, beliau terdetik untuk mengenakan kerudung kepala biarpun niat untuk berbuat demikian sudah lama tersimpan di benak hati. Seiring pertambahan usia dan keinsafan terhadap kebesaran Yang Maha Esa, tanpa berlengah Tengku Mastura menjadikan hijab satu kemestian dalam penampilannya hari ini.
“Jangan pernah pandang rendah atau hina wanita lain yang belum berhijab kerana kita tidak tahu apakah pengakhiran hidup kita. Sedarlah bahawa kita juga dahulu seperti mereka. Saya percaya wanita Islam yang belum berhijab walau semoden mana pun, hati mereka tetap memasang niat untuk bertudung. Doakanlah yang baik-baik untuk mereka supaya Allah beri kekuatan dan hidayah.
Hijab dapat menjaga aib diri sendiri dan meninggikan martabat dalam mencapai redha Allah jika diamalkan dengan ikhlas dan sempurna. Bagi yang sudah berhijab, tunjukkan contoh yang baik terutamanya kepada orang bukan Muslim. Islam itu bukan untuk orang Melayu sahaja. Islam itu indah kerana Islam adalah untuk manusia seluruhnya.”
Ditanya pernahkah beliau berdepan situasi diskriminasi kerana berhijab, Tengku Mastura menyusun bicara, “Kita harus menghormati budaya dan ajaran agama antara satu sama lain. Hijab bukan penanda aras prestasi sebuah syarikat akan merosot jika pekerjanya berhijab. Bahkan belum ada rekod statistik lagi di Malaysia yang menunjukkan bahawa wanita berhijab telah menyebabkan kerugian kepada syarikat terlibat.
Alhamdulillah, saya belum pernah lagi melalui keadaan itu. Tetapi jika saya dilayan sebegitu, saya akan cuba hadapinya dengan tenang kerana mereka belum faham sepenuhnya tentang pemakaian hijab. Tiada alasan bagi sesiapa jua yang suka menganjurkan diskriminasi terhadap golongan wanita seperti saya dan mereka yang berhijab seolah-olah kami membawa keburukan. Saya percaya jika kita dapat mempraktikkan apa yang dituntut, perniagaan atau pekerjaan kita akan lebih lancar, maju serta diberkati. InshaAllah,” akhirinya.