Hijrah Bermula Dari Dalam Jiwa! Lyn Al Khaired Akui Pernah ‘Lost’ Sebelum Terima ‘Hidayah’.

Sekitar tahun 90-an, pelakon ini cukup popular dengan bakat lakonan yang semula jadi dan mantap. Namun setelah mendirikan rumah tangga Sharifah Norazleenda seakan menyepi dari dunia seni.

Ternyata banyak perubahan berlaku padanya dan salah satu adalah penampilan beliau yang semakin sopan apabila memutuskan untuk berhijab dan berniqab. Beliau yang selesa disapa dengan panggilan Lyn AlKhaired juga sering menyebarkan dakwah kecilnya melalui medium sosial media.

Hijrah Bermula Dari Dalam ‘Jiwa’

Sebelum itu dalam satu tembual bersama NONA, Lyn yang terkenal dengan jolokan nama ‘Julia Robert Malaysia’ hanya kerana wajah seiras pelakon antarabangsa itu mengakui penghijrahannya bermula dari dalam jiwa.

“Ia bermula dari dalam jiwa. Saya mula kurang bersosial serta mula memikirka tentang kehidupan. Selain itu saya juga banyak menghadiri majlis-majlis agama. Kebetulan anak pula cenderung kea rah agama. Mungkin itu satu petunjuk buat diri saya untuk berubah menjadi wanita yang lebih baik.

“Selain menghadiri majlis agama, saya turut membuat inisiatif sendiri pergi ke Indonesia untuk menggali ilmu agama dengan lebih mendalam. Saya tinggalkan seketika anak-anak yang masih kecil ketika itu demi mengejar ilmu akhirat.

“Sejujurnya ilmu agama saya masih cetek. Maka sebab itulah saya mengambil tindakan sedemikian. Jiwa sentiasa tidak tenteram selagi tidak ‘mencarinya’. Di sana saya banyak bertemu dan bergaul dengan mereka yang pandai ilmu agama.

“Ketenangan jiwa adalah nikmat paling mahal buat saya. Kini saya lebih banyak fikirkan tentang kehidupan, diri sendiri serta keluarga. Anak-anak juga sering mendoakan saya agar terus menjadi ibu yang terbaik buat mereka. Semua ini petunjuk daripada Allah SWT untuk saya berhijrah.

Lyn Akui Pernah Rasa ‘Lost’ Jiwa Bergolak Tidak Tenang

“Bertahun-tahun saya rasa lost dan tercari-cari. Jiwa saya bergolak dan akhirnya apabila bertudung jiwa saya merasa sangat tenang.

“Dan itulah sebenarnya apa yang saya tercari-cari selama ini. Biarpun perubahan ini tidak terlalu drastik dan semoga saya terus istiqomah,” ujarnya yang menambah setiap kesilapan dilakukan itu adalah ‘guru’nya.

Ibu kepada lima orang anak ini juga turut menjadikan Ustazah Sharifah Khasif sebagai sumber inspirasi.

Perubahan yang dilakukan oleh Lyn juga turut mendapat sokongan daripada followernya. masing-masing mengharapkan beliau terus kekal istiqamah.

Share
Published by
Haifa Nasir