Ketika seseorang berusaha menjauhi hidupmu, biarkanlah. Pemergiannya akan membuka pintu bagi seseorang yang lebih baik untuk masuk.
Mungkin begitulah kehidupan terkini Joy Revfa, isteri penyanyi nasyid terkenal Hafiz Hamidun apabila rumah tangga mereka bergolak kencang dibadai taufan.
Pada saat dia terduduk mengenang mimpi bahagia yang tak kesampaian, Tuhan datangkan bantuan dalam bentuk sebuah persahabatan. Dan mereka adalah para sahabat solehah untuk Joy sedar, ini bukan masanya untuk menyerah.
Ads
Semenjak ditimpa musibah membabitkan isu status perkahwinannya yang didakwa tidak sah, Joy Revfa atau Siti Arifah Mohd Amin, 30, dilihat akrab dengan selebriti Heliza Helmi dan Ustazah Asni Mansor.
Kerap kali terlihat usahawan kosmetik itu memuat naik aktiviti lapangnya bersama mereka. Sambil menambah ilmu agama bersama-sama, Joy cuba bangkit dengan semangat baru demi masa depan dirinya dan anak tersayang.
Inikah hikmah yang ingin Allah tunjukkan? Tatkala dia berusaha berubah untuk menjadi baik kerana Allah, Allah hantar orang-orang yang baik untuk bersamanya. Mungkin sekali gema doanya untuk berubah, menembusi pintu langit dan dimakbulkan tanpa sedar.
Ikuti temu bual Nona bersama Joy Revfa (JR) ini, berkisah penghijrahan hatinya yang cukup sebak dan menginspirasikan!
Nona: Kebelakangan ini, terlihat anda semakin akrab dengan beberapa teman baru iaitu selebriti Heliza Helmi, Ustazah Asni Mansor dan ramai lagi. Boleh ceritakan bagaimana perkenalan ini bermula?
JR: Itulah salah satu hikmah dan hadiah daripada Allah SWT yang terlalu indah untuk diri saya. Sebelum ini circle of friend saya tiada yang berilmu agama sedalam mereka.
Jauhnya orang yang saya cintai daripada diri saya mungkin kerana Allah SWT mahu dekatkan diri saya kepada-Nya. Allah nak saya rindu dan menyebut nama-Nya selalu.
Sejujurnya saya berkenalan dengan Heliza Helmi selepas saya solat tahajud dan istikharah di rumah. Saya minta pada Allah di bulan Ramadan, “Ya Allah, aku kesunyian dan tertekan. Aku telah diabaikan oleh orang yang aku cintai. Jika benar Kau menyayangi aku sebagai hamba-Mu, Kau hadirkanlah orang yang dapat membimbingku ke jalan-Mu.”
Dengan kuasa Allah Yang Maha Besar, saya dan Heliza (Ija) pun keep in touch dalam Whatsapp. Kami juga kerap berjumpa untuk berkongsi ilmu. Mula-mula dulu waktu Ramadan, setiap kali jumpa Ija, saya hanya mampu menangis dan takut luahkan apa-apa, tapi Ija tetap tenangkan saya dengan zikir, doa-doa dan panduan sebagai wanita solehah.
Kemudian saya kenal dengan beberapa ustazah yang baik-baik daripada Ija sendiri dan salah seorangnya adalah Ustazah Asni Mansor. Beliau adalah seorang yang cukup hebat dalam membahaskan soal hukum, fikah dan hak wanita dalam perkahwinan.
Saya menganggap mereka berdua sebagai rujukan pada saat saya perlukan sokongan jiwa, berasa khilaf dan sebagai penyejuk hati.
Nona: Secara peribadi, apa sifat-sifat mereka (Heliza dan Ustazah Asni) yang anda kagumi serta ingin contohi?
JR: Bagi saya, sahabat yang solehah adalah ‘malaikat’ yang mengangkat kita ketika sayap kita lupa caranya untuk terbang dan merekalah juga yang akan membentuk peribadi kita menjadi lebih sempurna di mata Allah SWT.
Sifat-sifat peribadi mereka yang saya kagumi adalah mereka menjaga cara penampilan mengikut syariat Islam namun tetap cantik dan kemas. Mereka juga pandai menyentuh hati saya dan membuat saya tenang.
Mereka meyakinkan saya bahawa sayalah insan terpilih oleh Allah utk melalui dugaan ini. Mereka ajarkan saya zikir harian, doa-doa dan sekali gus membuat hati serta jiwa saya benar-benar dekat dengan Tuhan.
Saya dapat rasakan keikhlasan hati mereka mendekati saya. Bahkan jika dunia menyerang saya sekalipun, sahabat-sahabat inilah yang selalu ada untuk memberi saya semangat, sokongan jiwa, bimbingan dan tunjuk ajar.
Walau saya bukanlah wanita solehah yang sempurna, mereka tetap memuliakan saya. Tetap selalu bersama dan bukan semakin membenci atau menjauhi saya.
Nona: Kata-kata atau nasihat mereka yang paling menyentuh hati anda?
JR: Zikir-zikir dan doa-doa yang diajar oleh sahabat saya Heliza Helmi banyak menjadi penyejuk hati saya pada saat jiwa tidak tenang. Kadang-kadang, pagi-pagi pun dia sanggup call saya untuk kasi tazkirah, kerana dia seolah-olah tahu seandainya hati saya tidak tenang.
Kata-katanya seolah memeluk saya dengan erat dan mengatakan bahawa, tawakal dan berserah saja pada Allah. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yg merancang semuanya. Jika niat awal sememangnya berpaksikan Allah, maka Allah akan berpihak kpd kita.
Sehingga hari ini Ija sentiasa bertanya khabar malah hubungan kami semakin akrab dan saya cuba berusaha menjadikan diri sebagai seorang Muslimah yang sempurna.
Puisi daripada Ustazah Asni Mansor ini istimewa untuk saya. Ia selalu membuat saya rasa kuat dan lebih bersemangat.
Renungan jauh..
Renungan firasat..
Renungan emosi..
Renungan tiada asbab..
Renungan penuh prasangka..
Renungan tiada tawakal..
Renungan cemburu..
Renungan tanpa akal..
Itulah renungan fitrah seorang wanita..
Lemah jika tidak berdalil..
Salah jika tidak dipandu..
Kabur jika tidak digilap..
Goyang jika tiada sandaran..
Jatuh jika tidak disambut..
Kusut jika tak diurai..
Sesat jika tak ditunjuk ..
Itulah wanita..
Tapi.. Himpunan dari kelemahan itu.. Apabila dia menadah tangan..
Hasilnya makbul, doanya qobul
Berhati-hati mereka yang menari dan beriadah di atas longgokan kelemahannya.
Sokongan jiwa yang mereka berikan bermula sebelum Ramadan 2017 yang lalu, sangat memberi kesan mendalam pada saya. Saya jadi lebih tenang dan saya serahkan segalanya kepada Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama, saya berusaha untuk perbaiki mana yang termampu.
Ads
Tapi apakan daya. Ketika saya cuba untuk meraih mimpi, pihak di sebelah sana cuba untuk menghentikan mimpi. Saya sentiasa percaya dengan Qada’ dan Qadar kerana saya yakin, apapun yang terjadi tidak ada yang kebetulan, semua yang terjadi adalah ketentuan-Nya. Pasti akan hadir hikmah terindah nanti.
Saya juga banyak mendapat nasihat daripada Ustaz Izhar Arif, Ustaz Syed Kadir, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang lain. Syukur, nasihat mereka saya jadikan panduan untuk memperbaiki khilaf dan menjadikan diri lebih sempurna.
Nona: Perubahan hidup anda selepas bersahabat dengan golongan agamawan? Serta bagaimana persahabatan itu bantu meningkatkan ilmu dan amalan anda sebagai Muslimah?
JR: Alhamdulillah, hidup saya semakin tenang dan ceria. Saya semakin ligat dalam melakukan amal ibadah serta sentiasa mendidik jiwa supaya terus bahagia di jalan Allah SWT kerana cita-cita terbesar saya adalah menjadi ketua bidadari di syurga Allah SWT nanti.
Nona: Selalunya apa aktiviti bila bersama mereka? Selalu ke berjumpa dan topik yang selalu dibualkan?
JR: Topik yang selalu kami bualkan adalah tentang pemakaian Muslimah yang mengikut syariah, cara solat yang betul, ilmu fikah, cara sebutan Al-Quran dan alat muzik Islamik. Semakin hari saya bersama mereka, buat saya semakin bahagia.
Nona: Perasaan anda sekarang?
JR: Tenang dan saya yakin Allah SWT pasti berpihak pada saya kerana niat awal saya hanya ingin menjadi isteri yang taat, solehah dan yang membahagiakan.
Allah tahu niat saya, Allah tahu betapa saya impikan kebahagiaan bersama suami dan Allah tahu siapa saya. Alhamdulilah, rezeki saya juga semakin mencurah-curah dan yang paling penting, anak dan keluarga saya sihat walafiat.
Nona: Jika tak keberatan, boleh beri pencerahan makna ‘buku bertemu ruas’ yang dimaksudkan kepada Hafiz Hamidun?
JR: Bagi saya, Allah SWT telah menyusun jalan pengakhiran rumah tangga saya dgn dia seperti ini. Buku bertemu ruas maksudnya, saya adalah lawan yang tepat untuk dia.
Ads
Kasihan jika lawan dia adalah wanita lain yang tak mampu berbuat apa-apa atau tak berani menegakkan keadilan. Maka Allah SWT telah susun, saya adalah lawan yang tidak boleh dipermain-mainkan.
Nona: Akhir sekali, anda selalu dilabel netizen sebagai orang yang suka membuka aib suami. Komen?
JR: Jika fikir secara logik, terlalu bodoh jika saya ingin membuka aib suami kerana seboleh-bolehnya saya ingin simpan. Namun, aib saya pula (kisah penceraian tidak didaftar di Malaysia itu) yang sepatutnya hanya kami berdua saja yang tahu, dibongkar pada wartawan serta blogger kenalan rapatnya.
Banyak kali saya pesan pada dirinya, jangan bongkar sebab benda ini boleh diselesaikan. Dan tiba-tiba saya terlihat di muka akhbar, terpampang cerita yang tidak benar bahawa saya ini masih isteri orang.
Itu tidak benar, sedangkan saya telah diceraikan pada 2 tahun lalu dan isunya penceraian bersama bekas suami yang dulu tidak didaftarkan. Jadi kerana artikel itulah saya decide untuk adakan sidang media bagi memberitahu perkara sebenar.
Netizen mula menghidu keretakan rumah tangga kami selepas Hafiz tiba-tiba memfitnah diri saya pada wartawan Mstar, 4 Julai 2017 lalu bahawa akaun IG beliau telah di block oleh saya.
Sedangkan saya tidak block dia dan saya hairan kenapa dia setegar itu memfitnah saya. Akhirnya berita itu mulai tersebar dan orang mula berkata-kata tentang keretakan hubungan kami.
Sejak dari itu ramai yang kecam saya, kata saya isteri derhaka disebabkan gambar billboard serta kenyataan palsu Hafiz tentang kes IG tu, netizen bertubi-tubi menghukum saya tanpa belas kasihan. Betapa beratnya fitnah yang saya kena lalui.
Lebih memburukkan keadaan, pada 10 Ogos 2017, Malaysia digemparkan lagi dengan berita tentang Hafiz Hamidun yang telah memadamkan semua gambar saya daripada akaun Instagramnya. Ramai yang mula membuat andaian sampaikan ada blogger menulis ‘Joy & Hafiz bakal bercerai’.
Saya amat kecewa dengan tindakannya seperti itu sedangkan gambar dia selalu saya upload di IG supaya orang lain tidak terhidu, namun apakan daya ini jalan yang dia sendiri pilih.
Namun saya yakin daripada kontroversi yang tercetus, Allah SWT sebenarnya ingin saya memahami sesuatu yang tersirat kerana Allah uji sebab sayang.
Keretakan rumah tangga pasangan ini mula dihidu sebulan selepas tarikh pernikahan mereka pada 1 Mei 2017. Hafiz mendakwa status pernikahan mereka tidak sah kerana Joy Revfa masih lagi isteri orang dan bukan isterinya, gara-gara perceraian lalu tidak didaftarkan di Malaysia.
Kes mereka akan dibicarakan semula pada 28 September 2017. Sebagai orang luar, Nona mendoakan pengakhiran yang baik buat pasangan ini. Norzalina Mohd Alias
Dapatkan lebih banyak kisah menarik tentang Joy Revfa secara eksklusif dalam majalah Nona Oktober 2017… Di pasaran sekarang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Travel with style! Menyedari minat rakyat Malaysia yang gemar melancong dan ingin kelihatan hebat ketika melancong, Guardian Malaysia telah bekerjasama dengan pereka terkenal Anna Sui untuk menghasilkan koleksi rekaan eksklusif, istimewa untuk para pelanggannya.
Koleksi Bagasi Anna Sui terdiri daripada dua beg troli, satu beg tote, dan satu beg pereka (designer case), boleh ditebus pada harga diskaun istimewa di bawah program kesetiaan terbaru yang bermula hari ini.
Bercakap di majlis pelancaran program tersebut, Pengarah Pemasaran Guardian Health And Beauty Sdn Bhd, Ms. Christina Low berkata, “Kami memlilih untuk bekerjasama dengan Anna Sui kerana beliau memiliki pengaruh yang kuat dalam kedua-dua aspek kecantikan dan fesyen, yang sangat relevan kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan kami.
Ia juga bertujuan untuk membawakan jenama beraspirasi pada harga yang berpatutan ke pasaran umum.”
Anna Sui menampilkan koleksi bagasi yang diilhamkan oleh minyak wangi, rama-rama dan bunga ros dan warna-warna terang dari seni Pop seperti fuchsia dan oren.
Malah setiap rekaan diilhamkan oleh pelbagai peristiwa yang pernah berlaku di sepanjang perjalanan kerjayanya. Tambahan pula, Anna Sui yang gemar melancong ke destinasi seperti London, China dan sebagainya menjadikan elemen travel with style sebagai elemen utama untuknya melancong sambil mencari ilham.
Bukan itu sahaja, Guardian menawarkan dua wangian Anna Sui Eau De Toilette (EDT) edisi terhad bermula November. EDT tersebut, yang didatangkan dalam saiz 30ml, iaitu Dreams Yellow, dan La Vie De Boheme, kedua-duanya berharga RM99.00, termasuk GST, dan hanya boleh didapati di 150 buah stor Guardian terpilih.
“Kerjasama eksklusif dengan Anna Sui ini, kami percaya ia adalah cara yang tepat untuk kami berterima kasih kepada para pelanggan setia kami. Rekaan dan koleksi beliau sama ada fesyen atau minyak wangi, sememangnya dicari dan digemari oleh ramai wanita.”
CARA-CARA PENEBUSAN BEG
Untuk setiap pembelian RM20, pelanggan akan menerima sekeping setem. Sekeping setem tambahan akan diberikan jika pembelian tersebut mengandungi salah satu daripada 33 jenama yang mengambil bahagian. Antara jenama-jenama tersebut adalah Bio-Essence, Dettol, Dove, Maybelline, Nivea dan Pantene.
Pelanggan perlu mengumpul 10 keping setem untuk menebus satu barangan pada harga diskaun. Harga potongan untuk empat barangan ini adalah:
Beg troli 24-inci pada harga RM159.90 (berbanding harga jualan RM399);
Beg troli 20-inci pada harga RM129.90 (berbanding harga jualan RM199);
Beg tote pada harga RM69.90 (berbanding harga jualan RM129);
Kes pereka pada harga RM59.90 (berbanding harga jualan RM99).
Setem-setem akan dikeluarkan bermula pada 28 September 2017.
Penebusan pula akan bermula pada 28 Oktober dan berakhir pada 31 Disember, 2017 atau sementara stok masih ada. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.guardian.com.my. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Jika kami terpaksa berbuat jahat dan lakukan rasuah apabila besar nanti, harap tuhan jangan benarkan kami menjadi dewasa”
Itu antara doa yang disampaikan empat kanak-kanak cilik berlainan bangsa dan agama, ketika mereka memohon kepada tuhan masing-masing untuk dijauhkan dari dosa membuat rasuah dan kejahatan.
Ia merupakan sebahagian misi transformasi #NilaiMoralKarakterBangsa, dengan melancarkan empat video bertemakan ‘Merdekakan Kami Daripada Rasuah’.
Menurut Pengerusi Karangkraf, yang juga ketua inisiatif #RasuahBusters, Datuk Hussammuddin Yaacub, video-video berkenaan mengetengahkan Said Faleeq Mohd Fareez, Kimi Ng Yee Bin, Krishan Ganapathy and Dayna Leia Soliano Rozells sebagai anak-anak Malaysia yang mewakili perbezaan agama dan bangsa di negara ini.
“Rayuan anak-anak kecil dengan tulus memohon kepada Tuhan agar diri mereka dijauhkan daripada terlibat dengan najis rasuah dan mereka menyedari bahawa bahaya serta hukuman yang menanti akibat perbuatan keji tersebut amat besar dipaparkan dalam video empat bahasa itu.
Kesedaran yang ingin dipupuk melalui video itu bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan akan tetapi membawa erti supaya kemerdekaan itu perlu berterusan diisi dengan jiwa yang suci dan bebas daripada gejala rasuah,” katanya lagi.
Dalam video tersebut, Said Faleeq, yang dikenali sebagai ‘Amir’, melahirkan kehairanan mengapa orang dewasa sering mengingatkan golongan muda untuk mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang baik, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya.
“Amir tak fahamlah. Kenapa orang besar suruh kita jadi orang baik, rajin, jujur, tapi diorang sendiri tak buat. Ayah kata ada orang buat jahat, tak kena tangkap. Sebab dia upah orang sampai tak kena tangkap. Itukah rasuah?
“Amir takut, Amir taknak tipu, taknak mencuri, taknak jadi jahat bila besar nanti. Taknak masuk neraka. Ya Allah, jauhkan Amir dari rasuah. Aaminn,” doa si cilik itu lagi.
Mesej yang sama turut disampaikan oleh Kimi, Krishnan, dan Dayna Leia, dalam empat video berkenaan.
Hussamuddin dalam kenyataan itu menjelaskan, video yang menampilkan kanak-kanak itu walaupun santai tetapi memberi mesej yang jelas bahawa rasuah ditolak oleh semua agama.
“Rasuah juga merupakan sesuatu yang jijik dan anak-anak kita tidak mahu dibesarkan dengan najis rasuah, duit haram hasil rezeki yang kotor.
“Mereka adalah anak-anak kecil yang masih suci dan kita tidak patut membiarkan mereka dan masa depan mereka ditenggelami dunia rasuah kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab pada hari ini.
“Saya berharap sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka kita kongsikan video-video ini seluas-luasnya kerana kita inginkan anak-anak kita terdidik sejak kecil bahawa rasuah itu salah, hina dan perlu dijauhi,” katanya lagi.
Beliau berkata, karakter rasuah yang terbina sekian lama begitu sistemik dan kolektif menyebabkan cabaran menanganinya amat besar.
Justeru, Hussammuddin berkata, #RasuahBusters menyeru seluruh rakyat agar bangkit membina #MalaysiaTanpaRasuah dengan menghayati kembali semangat Rukun Negara dengan membebaskan diri dari penjajahan rasuah sebagai batu asasnya.
Tegasnya lagi, kestabilan dan demokrasi negara ini dengan sendirinya akan dapat dipulihkan jika setiap rakyat dan pemimpin kembali mengamalkan ajaran agama yang betul dan berusaha untuk hidup secara harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saban kali menatap laporan berita tentang kes haruan makan anak, terasa geramnya bagai mahu meletup kepala. Rasa marah meluap-luap memikirkan bagaimana harga kepercayaan keluarga menjadi semurah ini.
September lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan kes seorang bapa yang didakwa dengan 623 pertuduhan rogol dan liwat terhadap anak kandungnya yang berumur 15 tahun.
Meskipun Mahkamah telah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kelakuan kejinya, namun jenayah sumbang mahram atau inses jelas lebih terkutuk daripada jenayah rogol.
Terus mengejutkan masyarakat, seorang lelaki berpangkat bapa saudara merogol anak saudara kandungnya yang yatim piatu di Alor Setar manakala dalam satu kes lain di Serian, dua beradik menjadi hamba seks bapa, datuk dan bapa saudara mereka tanpa belas kasihan.
Menyedari bahawa kes seperti ini kian tenat di negara kita, Nona tertarik untuk menghadiri sesi Wacana Sinar Harian berjudul ‘Perogol Dalam Rumah!’ yang diadakan pada 28 November lepas.
Program sekitar dua jam tersebut membawakan empat orang ahli panel iaitu Pakar Motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad; Pengarah Kempen Stop #PerogolDalamRumah, Abjda Dato’ Zulkifli; Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim; dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIA, Dr. Mazlena Mohamad Hussain.
Selain membincangkan perihal akta dan perundangan, Nona tertarik mendengar penerangan Abjda Dato’ Zulkifli tentang maksud sumbang mahram.
“Istilah sumbang mahram adalah label yang terlalu lembut bagi seorang perogol. Masyarakat sepatutnya dididik untuk menggunakan istilah ‘rogol’ bagi menggambarkan perbuatan keji perogol yang tinggal sebumbung dengan mangsa.
Rogol adalah penyakit yang menular dalam masyarakat hari ini. Untuk membanterasnya daripada awal, kita kena didik anak kita sejak kecil untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, apa yang boleh dipegang dan apa yang tak boleh disentuh oleh ahli keluarga lelaki khasnya.
Terdapat dua jenis perogol dalam dunia ini. Perogol yang lahir dengan masalah mental dan perogol yang melakukan jenayah dalam keadaan mental yang sihat,” katanya lagi.
Proses Hukuman
Bagi Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cara mereka sendiri dalam menyiasat kes-kes membabitkan pesalah rogol.
“Katakanlah ada lelaki ini dituduh kerana merogol, apa akan jadi seterusnya? Adakah polis akan terus tangkap?
Ada cara sistematik yang dipraktikkan. Polis akan menyiasat yang mana mangsa ini akan dibawa ke hospital terlebih dahulu untuk ujian klinikal. Di situ akan diketahui sama ada terdapat kesan koyakan atau kemasukan dan sebagainya sebelum suspek ini dikesan lalu ditangkap.
Kemudian, suspek akan dihantar untuk jalani ujian forensik dan setelah disabit salah kerana jenayah itu, suspek akan dipenjarakan.
Di sini, pesalah perogol terutama perogol kanak-kanak, saya boleh katakan adalah kasta paling bawah dalam kategori mereka yang dipenjarakan berbanding jenayah-jenayah lain.”
Tingkat Kesedaran
Menurut Dr. Mazlena Mohamad Hussain pula, ramai mangsa rogol tidak tahu ‘cara bertindak’ selepas mereka menjadi mangsa rogol.
“Kadang-kadang masyarakat kita tak diajar untuk mengendali diri sendiri apabila sudah dirogol, sebab kita tak tahu hak kita.
Kadang kala mangsa sangat malu dan dia nak bersihkan diri dia, tetapi tanpa sedar dalam membersihkan diri sebenarnya dia juga mencuci segala bukti yang ada.”
Justeru itu beliau menasihatkan agar mangsa menyimpan segala bukti yang ada bagi memastikan pelaku tidak terlepas. “Sebab dalam mahkamah semua perlukan bukti yang kukuh.
Masyarakat juga perlu diajar mengenai perkara ini, dan keluarga juga perlu mengajar anak-anak mereka tak perlu berkias dalam bercerita mengenai perkara ini,” katanya.
Kesan Psikologi
Pakar motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah berkongsi perkara negatif ini di media sosial, apatah lagi anak-anak kecil turut terdedah dengan perkara negatif tersebut.
“Setiap kanak-kanak dirogol, ada juga yang tidak dirogol tapi sayang sebab kita tidak memandang ‘anak-anak’ ini. Kita lebih fokus kepada mereka yang menjadi mangsa.
Namun, dalam tidak sedar, anak-anak ini turut menjadi mangsa, bukan rogol fizikal tetapi rogol fikiran seperti pendedahan dan pemikiran negatif berkaitan dengan isu ini.
Perkara-perkara ini secara tidak langsung memudaratkan anak-anak tersebut, Oleh sebab itu, kita yang dewasa kena berjaga-jaga,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menekankan pentingnya konsep ‘memaafkan’ sekiranya mangsa rogol ingin meneruskan kehidupan mereka.
“Apa yang jadi sudah terjadi, kita tidak boleh ubah masa lampau kita dan jalan yang ada hanya ke depan. Sebab itu, kita perlu memaafkan apa yang terjadi, ‘let it go’. Selagi kita tidak melepaskan,lagi susah kita nak ‘move on’.
Namun ia tidak bermakna kita ‘merelakan’ apa yang terjadi, kita kena percaya pada ALLAH SWT, ‘believe in the system’. Perbaiki diri supaya jadi lebih baik,” katanya.
Kembali Pada Agama
Sumbang mahram dari segi syarak pula memberi maksud perbuatan zina yang dilakukan oleh seorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan di mana perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi agama, undang-undang dan adat resam sesuatu budaya tersebut.
Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah dan nasab tersebut, disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 23)
Di dalam Islam, hukum jenayah sumbang mahram adalah haram dan salah satu daripada dosa besar. Kerana itulah Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitab az-Zawajir berkata: “Zina yang paling keji adalah berzina dengan muhrim (ahli keluarga).” Kejinya itu kerana seseorang yang sepatutnya melindungi ahli keluarganya telah mengambil langkah menganiaya ahli keluarganya sendiri.
Mangsa di dalam hal ini jika dipaksa serta teraniaya tidak dikenakan hukuman. Manakala pelaku yang melakukan secara sukarela wajib dijatuhkan hukuman hudud seperti kesalahan zina di atas perbuatannya itu.
Jumhur ulamak mengatakan bahawa hukuman terhadap jenayah sumbang mahram adalah hukuman ke atas jenayah zina. Hukumannya adalah 100 kali sebatan jika sekiranya pelakunya masih lagi belum pernah merasai persetubuhan dari nikah yang sah. Jika sudah merasai persetubuhan dari nikah yang sah, hukumannya adalah rejam sehingga mati. Norzalina Mohd Alias/Foto Rosli Talib.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seawal pembabitannya dalam dunia seni lagi, ramai terpikat dengan kejelitaan Nur Fathia Abdul Latiff. Mana tidaknya, bukan hanya berbakat besar sebagai pelakon, dia juga...