Orangnya memang sudah semula jadi cantik. Selepas berhijab lagi bertambah seri dan sejuk mata memandang. Mulan Jameela nyata cukup bertuah kerana selain dikurniakan raut wajah sempurna, dia juga beruntung mendapat hidayah Allah SWT dalam melaksanakan suruhan Maha Pencipta dan menutup aurat.
Ketibaan bulan Mei dan Ramadan setiap tahun pastinya menjadi memori terindah bagi isteri Ahmad Dhani ini. Mana tidaknya, pada detik inilah nalurinya ‘dijentik’ untuk berhijab.
Memetik kenyataan Mulan ketika ditemu bual Liputan 6, aktres berusia 41 tahun ini berkata dia memutuskan untuk memakai kerudung kepala sebaik pulang dari Palestin pada tahun 2018 iaitu beberapa hari sebelum Ramadan menjelang. Ujarnya lagi, niat berhijab sudah lama terdetik di hati apatah lagi suami sudah lama menanti untuk dia berubah.
“Berhijab dari tanggal 14 Mei. InshaAllah, berkekalan. Niat sudah lama sebenarnya cuma masih on off. Mahu terus berhijab tapi masih ragu-ragu. Suami dah lama luah hasrat nak tengok saya bertudung tapi apakan daya, hati belum diketuk hidayah Allah. Sejujurnya rasa mahu pakai hijab lepas pulang dari Palestin. Sembilan hari berada di sana dan berhijab, saya rasa tenang dan selesa saja.
Di sana saya belajar banyak perkara dan niat untuk berhijab bukan kerana Palestin semata-mata. Memang hati terdetik mahu pakai hijab ketika berada di sana lagi tapi paling utama adalah hidup di dunia ini singkat dan bukan selama-lamanya. Ada kehidupan lain yang sedang menanti.”
Jika sebelum ini peminat mengenali peribadi Mulan kerana penampilannya yang seksi, kini kompas hidupnya berubah. Baju yang selama ini ‘melekap’ di tubuh kini longgar tanpa mengikut bentuk badan, gaya tudungnya pula labuh dan mematuhi syariat Islam selain lengkap mengenakan stokin kaki dan tangan. Menepati ciri-ciri wanita muslimah sebenar. Untung Ahmad Dhani.
Mulan yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Ratu pernah menggegarkan industri muzik di Indonesia dan Malaysia menerusi lagu ‘berhantu’ mereka Teman Tapi Mesra. Kalau diminta untuk menyanyikan semula lagu tersebut pun mesti ramai yang masih mengingati setiap bait dan lirik lagu berkenaan. Memang legend!
Bersandarkan bakat nyanyian dan wajah jelitanya, tidak hairanlah nama Mulan melonjak naik sebaris dengan nama-nama penyanyi popular di Indonesia ketika itu.
Bagaimanapun sekitar tahun 2011, nama Mulan terpalit dengan kontroversi gara-gara penceraian rakan baik dan teman duetnya, Maia Estianty. Dia dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga Maia dan Ahmad Dhani yang kini menjadi suaminya.
Difahamkan Mulan dan Ahmad Dhani sah bergelar suami isteri namun menyembunyikan pernikahan mereka daripada pengetahuan peminat. Dakwaan tersebut bertiup kencang apabila khalayak mula menyedari perubahan diri Mulan yang dikatakan sedang hamil anak Ahmad Dhani.
Shafeea, anak perempuan sulung Mulan dan Ahmad Dhani kini berusia 9 tahun manakala seorang lagi anak mereka ialah Ahmad Syailendra Aerlangga, empat tahun. Sebelum bernikah dengan Ahmad Dhani, Mulan pernah berkahwin dengan Harry Nugraha dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tiara dan Daffi.
Kredit foto: Instagram Mulan Jameela