Tinggal beberapa hari saja lagi kita bakal menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Apatah lagi, buat pertama kalinya dalam sejarah hidup kita menyambut bulan Ramadan ketika pandemik COVID-19. Sudah tentu suasananya sangat berbeza.
Namun dari sudut hikmahnya jangan dilupa kerana sebagai umat Islam kita harus sentiasa bersyukur. Duduk di rumah kali ini bukan saja dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19 bahkan kita juga dapat memutuskan rantaian dosa-dosa dari ‘kluster-kluster’ kehidupan yang melalaikan.
Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, ibadah puasa selama sebulan sebenarnya memberikan banyak manfaat luar biasa dalam kehidupan kita antaranya dapat meningkatkan tahap kerohanian kita.
Dengan memahami hikmah-hikmah berpuasa di bulan Ramadan ianya dapat membantu kita dalam meningkatkan lagi amalan dalam menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan ini. Antara hikmah-hikmahnya seperti berikut.
MENINGKATKAN RASA SYUKUR
Berbuka puasa dengan segelas air kosong dapat memberikan nikmat yang cukup luar biasa. Seperti mana kita tahu air kosong ini banyak manfaatnya terhadap kesihatan. Rasa syukur kita akan bertambah dalam rutin berpuasa. Saat mendengar laungan azan Maghrib tanda tibanya untuk berbuka puasa secara tidak langsung akan menerbitkan rasa syukur kerana berjaya menyelesaikan ibadah puasa pada hari itu.
MENJADI LEBIH PEMAAF
Niatkan berpuasa untuk beribadah kerana Allah SWT. Maka, secara tidak langsung ianya akan menanam sikap pemaaf dalam diri kita seterusnya membantu kita untuk menjadi lebih baik dalam menjaga silaturrahim dan persahabatan.
CEGAH KERAKUSAN NAFSU
Menahan diri daripada lapar dan dahaga sepanjang berpuasa dapat melatih diri kita untuk lebih menghargai makanan dan kehendak (nafsu). Tidak berlebih-lebihan dalam makan dan minum. Ketika waktu berbuka puasa, kita juga akan lebih menghargai setiap suapan makanan serta tidak menjadi seorang yang terlalu rakus dek kerana memenuhi nafsu sendiri.
MENJADI HAMBA YANG JUJUR
Berpuasa juga akan menguji sejauh mana tahap kejujuran kita. Betapa lapar dan dahaga sekali pun kita tidak akan makan dan minum walaupun tiada sesiapa pun melihat. Kita jujur dengan Allah SWT kerana Dia Maha Melihat. Jelaslah, ibadah puasa melatih diri kita menjadi seorang hamba yang jujur.
CETUS RASA DERMAWAN
Rasa kasih sayang dan dermawan dalam diri kita akan semakin kuat dengan ibadah puasa. Melalui rasa lapar dan dahaga, dengan izinNya akan menerbitkan kesedaran untuk kita menyayangi anak-anak yatim dan fakir miskin sekaligus menyantuni mereka.
MENINGKATKAN KESABARAN
Ketika berpuasa kita akan sentiasa diuji bagaimana untuk mengendalikan emosi. Orang yang berpuasa akan selalu berusaha untuk menahan amarah dan menghindari perbalahan meski pun diperlakukan dengan perkara yang kurang baik. Maka, demi menjaga pahala dan kebaikan berpuasa penting untuk kita menanam kesabaran dalam diri. Anggap ia satu dugaan berpuasa.
LEBIH SALING MENGHARGAI
Ibadah puasa menerbitkan kesedaran bahawa kita semua adalah hamba Allah SWT di mana kita perlu saling menghargai antara satu sama lain termasuklah tidak merendah-rendahkan orang lain.Tetaplah bersemangat dalam menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Radaman ini. Semoga setiap ibadah yang kita lakukan dikurniakan ganjarannya kelak oleh Allah SWT.
This website uses cookies.