Hikmah Tamat Kontrak Di Awan Biru, Rezeki Ayu Omar Kini Di Dapur & Jadi Usahawan Kek!

Dalam kehidupan, kita membangun di atas pelbagai fasa dan pengalaman. Kisah hidup kita berbeza walaupun menuju hala tuju yang sama. Bagi Ayu Omar, ujian sebagai ibu tunggal amat mendewasakan, membentuk masa depan dan impiannya hari ini untuk berjaya dalam perniagaan.

Berusia 28 tahun, semangat berniaga yang mengalir dalam diri Ayu memberi tuah tersendiri. Anak Kuala Lumpur yang merupakan peserta Pencarian Nona Superwoman ini pernah bergelar pramugari sebelum menjalankan bisnes Bella The Bakers secara sepenuh masa.

“Sebelum ni saya bekerja sebagai pramugari di salah satu syarikat penerbangan di Malaysia. Oleh sebab pandemik COVID-19, jadi kontrak saya tak disambung.

Rentetan peristiwa tersebut, saya mulakan perniagaan bakeri selepas ditamatkan kontrak. Dengan bermodalkan RM100, saya mula membuat Burnt Cheese Cake dan ambil tempahan kecil-kecilan.

Alhamdulillah, setiap hari ada yang order. Cabaran awal ialah nak bagi pelanggan kenal kek kita sebab ramai orang jual kek yang sama. Strategi marketing sangat penting dalam bisnes ni.” Ayu

Kenangan sewaktu bergelar anak kapal

 

Kecantikan Ayu sering menjadi tumpuan mata

 

UJIAN HIDUP

Meskipun sudah tertulis rezekinya di awan biru tidak berkekalan, namun Ayu bingkas mencari alternatif baru bagi meneruskan kehidupan.

Perniagaan Bella The Bakers terinspirasi daripada semangat Mamasab atau Puan Sabrina Soobri yang menjadi idolanya selama ini.

“Kisah hidup saya selepas SPM sentiasa ada turun naiknya. Tapi saya sentiasa ingat bahawa setiap kali kita jatuh, kita perlu bangkit. Usah terus terduduk dan meratapi benda yang dah terjadi.

Kita akan lalui banyak kegagalan dalam hidup tapi dari kegagalan itulah kita belajar mengecap kejayaan.” Ayu

Jom tonton video eksklusif bersama Ayu sambil melihat sendiri aksinya membakar kek di bawah ni…

 

Ibu kepada seorang anak lelaki ini juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap konsep keberkatan rezeki.

“Rezeki yang berkat bermaksud bila kita dapat hasil yang sikit tapi kita rasa cukup dan bila banyak, kita boleh berbahagi rezeki pula dengan orang yang memerlukan.

Saya percaya bahawa rezeki yang kita dapat bukanlah milik kita saja tapi ada rezeki milik orang lain juga di dalamnya.

 

Ayu ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-28

 

Sepanjang pandemik, bisnes saya masih lagi bertahan cuma perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mengolah produk kita. Saya faham majoriti pelanggan sukakan keunikan jadi inilah struggle pengusaha kek untuk marketing dan menarik minat pelanggan.

Jadi saya harap dengan menyertai Pencarian Nona Superwoman, saya dapat menimba lebih banyak ilmu, mengembangkan bisnes dan membantu lebih ramai wanita di luar sana untuk menjana pendapatan bersama Bella The Bakers.” Ayu

Sebelum mengakhiri temu bual, Ayu sempat berkongsi kenangan pahitnya yang kehilangan orang tua pada waktu yang singkat.

 

 

“Peristiwa yang paling sukar dilupakan adalah dimana saya kehilangan Abah pada bulan Mac 2015, iaitu sekitar 56 hari selepas saya kehilangan Mama.

Kenangan ini memang tak mampu saya hilangkan dari kotak fikiran. Ibarat rindu yang tak berpenghujung…” akhirinya.

Saksikan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.

Share
Published by
Norzalina