Perwatakan Sweet Qismina yang menyenangkan membuatkan sesiapa saja rasa selesa bekerjasama dengannya. Ramah dan tidak lokek mengukir senyuman, nama pelakon cantik ini kian meniti di bibir peminat seni tanah air.
Terbaharu, Sweet tampil membintangi filem berkisarkan kekeluargaan iaitu Babah dan menjayakan watak sebagai Maya dalam karya arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim tersebut.
Sweet Qismina Bahagia Di Samping Suami
Bertemu dengan Sweet Qismina atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, aktres berusia 27 tahun berkenaan tanpa berselindung berkongsi kehidupan bahagianya di samping suami tercinta, Adam Lee.
Selamat bergelar isteri Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee pada 24 Oktober 2022 sewaktu menyambut ulang tahun kelahiran ke-25, Sweet mengakui dirinya berubah menjadi seorang wanita lebih matang dan berdikari selepas berstatus isteri.
Jika sebelum ini, kehidupannya bergantung kepada ibu tersayang namun kini Adam menjadi peneman setia Sweet Qismina dalam keadaan susah mahupun senang.
“Saya mempunyai seorang suami yang sangat mengambil kisah, sangat sayang dan sanggup buat apa saja untuk saya. Benda tu orang kata hadiah terbesar buat saya, iyalah mak jauh. Jadi dapat suami yang betul-betul sayang kita rasa macam benda (kasih sayang) tu tak hilang.”
Tambahnya lagi, suami seorang yang romantis dan penuh dengan kejutan terutamanya setiap kali hari lahir Sweet.
“Setiap tahun dia akan belikan gold bar sebab dia tahu isteri dia ni suka gold bar. Every year dia akan belikan untuk saya,” ujarnya sambil tertawa.
Sweet Qismina Hilang Figura Bapa
Sementara itu, Sweet Qismina mendedahkan dia kehilangan kasih sayang seorang bapa iaitu Allahyarham Supandi Mohammad sejak berusia 11 tahun. Meskipun bapanya meninggal dunia sewaktu dia masih kecil namun kenangan bersama insan kesayangannya itu tetap tersemat kemas dalam sanubari.
Pelakon drama Bidadari Salju ini bagaimana pun menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang bapa mentua yang baik. Sekaligus mengubati kerinduannya kepada bapa tersayang.
“Alhamdulillah saya ada ibu dan bapa mentua yang terbaik. Sweet kehilangan arwah ayah masa usia 10-11 tahun. Ayah dah tak ada, saya rindu figura seorang bapa. Bila Allah bagi seorang bapa mentua yang sangat baik dan sayang kepada menantu sebab dia tak ada anak perempuan.
View this post on Instagram
Ibu mentua pula sangat sempoi, berlainan dengan mama yang sangat soft. Apa-apa pun saya sangat bersyukur. Different character, tapi cara mereka terima diri saya yang lembut ini, saya rasa sangat bersyukur sebab terima saya seadanya.”
Selain berlakon, Sweet Qismina juga pernah menjadi pengacara, model dan penyanyi.