Gara-gara terpikat dengan kepelbagaian rekaan dan warna kanta sentuh terkini, ada di kalangan wanita sanggup menggadaikan penglihatan. Lebih menyedihkan apabila kanta sentuh yang dibeli tidak menepati piawaian sekali gus mendedahkan pengguna kepada bermacam-macam komplikasi.
Jangan fikir perkara tersebut tidak pernah berlaku terhadap diri sendiri, bermakna anda bebas sepenuhnya daripada insiden berkenaan. Seperti yang berlaku kepada Nik Nur Adibah Athirah, dia sama sekali tidak menyangka peristiwa hitam yang dialami lima hari lalu boleh terjadi kepada dirinya. Perkongsian gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini menerusi akaun Facebooknya semalam ternyata wajar dijadikan iktibar buat semua.
=========================
Sebelum ni baca kisah orang, kali ni terkena kat diri sendiri. Awal 2018 yang agak menyedihkan.
29/12/17 – pakai lens, dalam 2-3 jam lepas tu tiba-tiba rasa sakit. Tapi tak dapat nak buang lagi sebab ada kat luar. Sampai rumah lebih kurang pukul 8, buang lens tu dan mata dah jadi kabur. Mula-mula tu ingat biasa, mungkin lepas tidur nanti jadi okey balik.
30/12/2017 – Nak pergi kerja mata kabur lagi. Pakai cermin mata pun kabur lagi. Lebih kurang tengah hari, mata sebelah kanan rasa tak selesa dan sakit. Macam ada benda asing masuk dalam mata. Check tengok dan basuh dengan air. Tapi takda apa-apa. Mata sakit lagi dan jadi berair. Mata sebelah kanan tak dapat nak buka macam biasa, boleh buka sikit dan akan berair sakit balik. Petang tu call ma, datang ambik kat tempat kerja sebab tak dapat nak balik sendri. Mata kabur + sakit tak dapat nak buka.
Malam tu, mata jadi lagi sakit kena banyak tutup mata. Azabnya rasa sampai nangis sebab sakit dan tak dapat nak tengok apa-apa. Mata tak boleh kena cahaya atau benda yang silau macam skrin handphone & TV . Titis eyemo pun tak jadi.
31/12/2017- Pergi klinik, masukkan ubat dalam mata dan nampak ada kesan garisan tercalar. Lepas tu buat vision test. Banyak huruf yang tak nampak, penglihatan dah kabur. Masa ni memang tak boleh kena cahaya langsung, jalan sambil tutup mata dan pimpin tangan ma. Tak dapat nak tengok apa-apa. Boleh buka mata kejap-kejap jadi sakit dan berair. Kalau kena cahaya, mata jadi sakit hingga ke kepala. Doktor di klinik buat surat dan suruh refer ke bahagian kecemasan di hospital. Pergi ke bahagian kecemasan, doktor check dan nak pergi ke bahagian pakar tapi masa tu dah lewat doktor pakar dah takda. Dan doktor di bahagian kecemasan minta refer
sy ke doktor di wad Oftamotologi. Doktor kat situ check dan titiskan ubat. Nampak ada kesan luka di kornea mata. Luka kat mata kanan dan kiri. Tapi yang bahagian kanan lagi besar luka. Doktor bagi ubat titis dan krim untuk letak kat dalam mata. Dan esok kena datang lagi jumpa doktor mata.1/1/2018 – mata sebelah kiri pun rasa sakit juga, dua-dua mata tak dapat nak buka lagi. Mata pedih, kabur, berair dan tak boleh kena cahaya lagi. Kat rumah semua lampu dalam rumah saya tutup. Pergi hospital, jalan pun tutup mata lagi nasib ada ma tolong pimpin. Doktor check mata, luka sebelah kanan dah makin kecil tapi tak pulih sepenuhnya lagi. Doktor pesan lepas titis ubat kena tutup dulu mata. Tak boleh banyak pergerakan mata sebab tisu-tisu akan tumbuh yang baru. Masa makan pun makan sambil pejam mata. Masa jalan pernah sampai terlanggar pintu.
2/1/2018 – mata masih lagi kabur dah boleh buka sikit-sikit, sakit dah kurang sikit tapi cahaya tak boleh kena lagi.
3/1/2018 – Mata dah makin ok , dah boleh kena cahaya tapi masih kabur sikit.
4/1/2018 – Ada appointment jumpa doktor. Untuk check mata dan bahagian saraf. Alhamdulillah semua ok. Cuma mata masih merah, doktor cakap nanti kesan merah akan hilang.
=============================
Sumber: Facebook Nik Nur Adibah Athirah
Pengajarannya, jika tiada keperluan untuk pakai kanta sentuh adalah baik jika tidak memakainya. Namun sekiranya anda perlu untuk berbuat demikian, pastikan ia dijaga dengan rapi dan dibersihkan setiap hari. Paling utama, produk yang dipakai mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
Ingat, mata adalah anugerah tidak ternilai. Jadi hargailah sebaik-baiknya.
This website uses cookies.