Cekalnya jiwa wanita hebat bernama Nor Albaniah Raffie. Menginjak usia 53 tahun pada Februari lalu, pelakon wanita yang popular era 90an ini masih aktif mewarnai industri seni dan cukup positif orangnya.
Disifatkan seorang yang tak lekang dengan senyuman, tidak hairanlah Nor Albaniah atau mesra disapa Nor dalam kalangan rakan-rakan artis tampil awet muda meskipun usianya sudah mencecah lebih 50 tahun.
Walau kedutan halus jelas kelihatan di raut wajahnya namun tak dinafikan Nor cantik dan jelita dalam kelas tersendiri. Pendek kata, memang natural beauty.
Malah dia pernah menyertai pertandingan Ratu Cantik pada lewat tahun 1980. Patutlah selebriti ini pandai menjaga penampilan diri dan sering kelihatan bergaya.
Menelusuri kerjaya seninya, dia mula menceburi industri pada tahun 1989. Difahamkan Nor bergelar pelakon seawal usia 19 tahun ketika ditawarkan watak Tengku Noraini dalam filem Kolej 56 oleh Ahmad Fauzee.
Sejak detik itu hingga, Nor antara pelakon veteran wanita yang masih aktif berlakon sampai ke hari ini.
Jelitawan ini juga pernah mendirikan rumah tangga dengan pelumba kereta iaitu Sudarman Daud pada tahun 1994 dan dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Syarra.
Kira-kira dua tahun bergelar isteri, Nor diduga dengan pemergian suami tercinta pada 10 Jun 1996.
Kongsinya di media sosial sambil mengenakan sut racing milik arwah suami pada 10 Jun lalu, “Tidak kesampaian nak sambung legasi racing. Ketika itu hanya sempat untuk pulihkan diri. Hari ni boleh pakai baju yang dikira mencari rezeki dan hobi dia.
Masa dah berlalu. Orang cakap jangan toleh ke belakang. Tapi saya cakap, selalu ada di depan mata. Tak toleh pun. Ingatkan baju/sut ni tak bererti.
Tapi bila selak-selak Instagram ada tertengok Reen Rahim dan Shukri Yahaya pakai sut racing untuk race...kakak pun ada.
Tapi baju dari legend Sudarman Daud. Sut ni sangat berharga bagi kakak yang mengenali Sudarman jer yang faham. Handal waktu jalan yang basah dan hujan. Al-fatihah.”
Anak tunggal Nor iaitu Syarra yang berusia 28 tahun merupakan lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Bagaimana pun pada Jun lepas figura ini diduga dengan kes anak tersayang yang menjadi perhatian masyarakat.
Pun begitu, ibu ini reda dengan ketentuan takdir dan terus melangkah laju mendepani masa mendatang.
Memetik kenyataannya kepada media, sejak ‘kehilangan’ suami tersayang dia tidak berkahwin lagi hingga sekarang. Cekalnya jiwa pelakon filem Vik2ria Secret berkenaan!
Sepanjang pembabitan Nor sebagai pelakon, dia sudah membintangi pelbagai filem dan drama. Antaranya filem Main-Main Hantu, Kekasih Awal dan Akhir, Gerak Khas, dan Nenek Bongkok Tiga.
Moga Nor Albaniah terus tabah menjalani kehidupan dan sentisa memberi aura serta semangat positif buat kaum wanita.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/jelita-sihat-usia-60an-aznah-hamid-enggan-kejar-populariti-tak-malu-berniaga-asal-halal/