Hati tak keruan saat membelek wajah di cermin. Melihat bintik-bintik hitam yang degil, jengkel dan memalukan mengundang tidak yakin diri. Sudah penat berusaha cegah bintik-bintik hitam ini timbul tetapi kehadiran yang tidak di undang ini seperti tidak mahu beralih. Tidak mahu bintik-bintik hitam ini terus mencacatkan penampilan, ayuh singkir bintik-bintik hitam daripada terus melekat di lapisan luar kulit agar kelihatan cantik dan berseri.
KELUPAS DENGAN SODA BIKARBONAT
Pori-pori yang tersumbat sebenarnya merupakan punca terjadinya bintik-bintik hitam ini. Soda bikarbonat mampu menyingkirkan segala bintik-bintik hitam umpama membuat rawatan micro dermabrasion di pusat rawatan kecantikan. Caranya sangat mudah dengan mencampurkan soda bikarbonat dengan air sehingga membentuk seperti tekstur pes. Sapukan di wajah terutama di kawasan yang mempunyai bintik-bintik hitam. Jika sering dilakukan dapat menyingkir segala bintik-bintik hitam di wajah.
PORE STRIPS
Pore Strips telah diangkat sebagai hero untuk menyingkirkan bintik-bintik hitam yang melekat di wajah. Telah digunakan sejak dahulu lagi dan ternyata terbukti keberkesanannya. Tidak perlu bersusah payah, cuma beli pore strips di kedai atau farmasi. Basahkan kawasan yang mahu dirawat dan letak pore strips di situ, biarkan selama 15 minit. Apabila sudah kering tarik pore strip serentak. Tarik dengan lembut agar tidak menyakitkan kulit. Hasilnya, bintik-bintik hitam akan melekat keluar mengikut pore strips. Kemudian, jangan biarkan pori-pori terus terbuka, sapu pelembap untuk mengelak kerengsaan kulit.
CLAY MASKS
Topeng muka yang berasaskan tanah liat mampu menyedut keluar ketidaksempurnaan kulit umpama sebuah mesin penyedut. Tanah liat umpama magnet yang boleh menyingkirkan bintik-bintik hitam atas kulit. Selagi kerap membersihkan wajah dengan topeng muka berasaskan tanah liat ini, anda pasti teruja dengan hasilnya. Sebaik-baiknya guna topeng muka ini seminggu sekali dengan menyapu ke seluruh bahagian wajah. Biar seketika dan bersihkan dengan air suam sehingga bersih.
SALICYLIC DAN GLYCOLIC ACID
Jadikan kedua-dua jenis asid ini sebagai BFF. Ketika memilih untuk membeli pencuci muka dan penyegar, pastikan kedua-dua jenis asid ini terpampang di label kandungannya. Salicylic acid adalah lipophilic mampu menarik lemak atau minyak di lapisan kulit. Bukan itu sahaja konsentrasi asid ini boleh membersihkan liang pori-pori kulit. Penggunaan secara konsisten boleh membantu mengelakkan bintik-bintik hitam hadir dan membantu kulit yang sihat dan cantik. Manakala glycolic acid pula merupakan alpha hydroxy acid (AHA) berkuasa menyingkirkan sel kulit mati dan kotoran di atas kulit. Kombinasi kedua-dua asid ini boleh membantu mengatasi masalah bintik-bintik hitam daripada terus menular.
RETINOIDS
Biasanya retinoids ini akan di pek bersama vitamin A untuk mendapat kesan yang optimum pada kulit. Retonoids ini membantu memperbaiki pertumbuhan kulit agar jerawat tidak muncul. Malah ia juga boleh membantu menyingkirkan sel kulit mati dengan berkesan. Ketika pertama kali menggunakannya kulit akan mengelupas seperti selepas melakukan proses pengelupasan. Selepas dua atau tiga minggu kulit tidak akan mengelupas dan akan menjadi lebih cerah dan cantik secara semula jadi. Boleh memilih produk mengandungi retinoids yang dibeli di farmasi atau mendapatkan preskripsi doktor yang bertauliah.
JANGAN PICIT
Seperti biasa apabila terdapat bintik-bintik hitam atau jerawat di wajah pantas sahaja tangan hendak memicitnya keluar. Jangan sekali-kali memicit bintik-bintik hitam dengan tangan lebih-lebih lagi jika terdapat bakteria yang tidak kelihatan di tangan. Memang tidak sabar melihat bintik-bintik hitam di wajah tetapi tindakan memicit keluar hanya akan memburukkan lagi keadaan sahaja. Biar sahaja mereka yang pakar sahaja mengeluarkan bintik-bintik hitam itu. HAMIZATUL MAIZAN MOHAMED
This website uses cookies.